Khamis, 11 April 2013

ISU PENDIDIKAN : Enam Inisiatif PPPM Berjaya Dicapai Dalam Tempoh 100 Hari Pelaksanaan


BANGI, 10 April -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan tahun ini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sudah mencapai kejayaan membanggakan dalam tempoh 100 hari pertama pelaksanaannya.

Inisiatif tersebut merangkumi pelancaran 1Agenda KPM, penubuhan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU) dan PADU Corporation, pelancaran dan pengagihan saranan ibu bapa, pengujian guru bahasa Inggeris dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT), pelaksanaan Program Rintis Program Transformasi Daerah dan penyediaan video e-guru.

Selain enam inisiatif itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata 19 inisiatif lagi akan diberikan keutamaan dan tumpuan tahun ini dalam menjayakan Pelan Transformasi Pendidikan Negara.

"Kita telah menyaksikan 100 hari pertama yang diwarnai pelbagai onak dan duri. Namun, berbekalan kesedaran akan pentingnya merealisasikan agenda modal insan negara in, KPM berjaya dan membuahkan hasil yang dibanggakan.

"Namun, kita tidak seharusnya lalai dan leka memandangkan transformasi ini masih panjang dan mencabar. Sesungguhnya, laporan pencapaian 100 hari pertama ini adalah langkah pertama daripada seribu langkah yang bakal dijejak," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis Pencapaian 100 Hari Pertama PPPM 2013-2025, di Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Rabu.

Muhyiddin berkata inisiatif 1Agenda KPM berjaya menyatupadukan semua bahagian di kementerian itu di bawah satu matlamat iaitu melaksanakan agenda PPPM secara efisyen dan telus, manakala unit PADU dan PADU Corporation pula melaporkan status pelaksanaan PPP kepada beliau selaku menteri.

Menerusi kefasihan guru Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata seramai 61,000 guru menjalani ujian kefasihan melalui CPT dan mereka akan terus diberikan latihan dan sokongan ke arah penambahbaikan tahap kompetensi dan profesionalisme sebagai persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus BI di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2016.

Menerusi inisiatif saranan ibu bapa, katanya sarana pembangunan dibekalkan kepada ibu bapa supaya menjadi rakan aktif pembelajaran anak masing-masing dalam usaha membantu meningkatkan prestasi dan pencapaian anak mereka.

Katanya inisiatif program transformasi daerah pula dirintis di Sabah dan Kedah, dengan seramai 352 jurulatih mengikuti program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) serta Rakan Pembimbing Pembangunan (SIPartner+) dalam kalangan pensyarah Institut Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki manakala guru cemerlang pula ditempatkan secara sepenuh masa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi sokongan kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah.

Video e-guru yang merupakan inisiatif keenam, meliputi himpunan video terbaik dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran di bilik darjah.

Muhyiddin berkata kerajaan telah mengorak langkah untuk berada dalam kelompok teratas negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.

"Transformasi pendidikan ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta pelajar hari ini, malah seluruh anak bangsa pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin juga bangga terhadap peningkatan peratusan bilangan prasekolah iaitu daripada 67 peratus pada 2009 kepada 80.5 peratus atau 24,737 prasekolah sehingga 2012.

Selain itu katanya, program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) turut diperkenalkan kepada semua murid Tahun 1, dengan sasaran 100 peratus murid tiada masalah pembelajaran boleh membaca, menulis dan mengira apabila melangkah ke Tahap 2.

"Kementerian juga menyediakan bayaran insentif khas kepada semua pengetua dan guru besar sebagai menghargai usaha kepimpinan sekolah yang berjaya mencapai kecemerlangan yang ditetapkan atau menunjukkan lonjakan dalam prestasi sekolah," kata Muhyiddin.-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan