Ahad, 19 Mei 2013

ISU BAHASA : Sastera Melayu wadah perpaduan


Oleh  : DR. AMINUDIN MANSOR

Bidang sastera selalu juga ada isu politik tetapi dalam sastera tidak ada politik kepartian. Justeru, sastera mampu mengeratkan perpaduan kaum di negara ini berikutan perpecahan akibat fahaman politik. Walaupun ada dalam kalangan orang sastera terlibat dalam politik tetapi mereka tidaklah terbawa-bawa dalam penulisan dan kegiatan sastera.

Oleh itu, sastera mampu menjana perpaduan kaum yang utuh dan padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Melalui penulisan dan pelbagai kegiatan sastera, rakyat dapat disatukan dan menjadi wadah ke arah perpaduan.

Karya-karya sastera di negara ini banyak menjurus ke arah perpaduan kaum melalui tema, watak, latar masyarakat dan latar kehidupan. Perjuangan sastera lebih ke arah menyatupadukan kamu, kehidupan yang harmoni dan juga menerapkan rasa kemanusiaan ke arah membentuk tamadun bangsa. Perkara ini boleh dilihat dan didapati melalui hasil karya pengarang besar seperti Ishak Haji Muhammad Pak Sako), Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Kemala, Azizi Haji Abdullah dan Baha Zain serta beberapa penulis lain.

Perkara ini dapat dilihat menerusi karya-karya selepas merdeka dan dalam usaha mengisi kemerdekaan negara. Seperti kata-kata Usman Awang dalam puisinya Jiwa Hamba iaitu, "Di atas robohan kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka."

Sebagai contoh, karya-karya Usman Awang banyak menyuarakan perpaduan kaum dengan pemikiran yang peka kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat terbanyak di negara ini. Penglibatan atau komitmen Usman Awang sebagai pelopor karya yang sarat dengan perpaduan dengan perutusan dan amanatnya berkaitan perpaduan sangat jelas.

Sajak-sajaknya seperti Pemuda dan gadis Tionghua, Anak Jiran Tionghua, Penjual Pisang Di Kaki Lima (kepada Ibu tua Tionghua), Malam Penghabisan, Suasana (Serentak Dua Hari Raya), Kambing Hitam, Sahabatku (Kepada Dr. MK. Rajakumar), naskhah drama Tamu Bukit Kenny dan beberapa karya lain. Menurut Usman Awang, "Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual, tetapi lahir dan timbul daripada masyarakat, dan perjuangan rakyatlah yang memulakannya."

Landasan

Justeru, sastera kebangsaan iaitu sastera Melayu adalah landasan terbaik ke arah menyatukan perpaduan kaum. Penulis dan sasterawan sudah lama memainkan peranan ke arah menyatukan perpaduan kaum dalam karya-karya yang dihasilkan. Dalam Teori Sastera Perpaduan yang dikemukakan oleh Dr Chew Fong (2005) , sastera perpaduan bermaksud: " Satu mekanisme untuk mewujudkan perpaduan antara kelompok masyarakat berbagai-bagai latar belakang berdasarkan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama dari segi sosial dan budaya sehingga terbentuknya peranan toleransi dan perkongsian hidup bagi menyatukan masyarakat yang berbilang kaum, seterusnya melahirkan satu sentimen di negara ini."

Menurutnya, penulis bukan Melayu juga banyak menyumbang ke arah perkembangan sastera kebangsaan dengan mesej dan tema perpaduan kaum, antaranya seperti Lim Swee Tin, Akhbar Goh, Chong Chee Seong, Li Chuan Siu, Cheng Poh Hock, Peter Agustine Goh, Mary Wong, Teo Huat, On Ah Guan, Lee Yak Ing, Lim Swee Tin, Lim Kim Hui, Siow Siew Sing, Atma Goh, Jong Chian Lai, Awang Abdullah, Amir Tan, Lai Choy, Mohd. Azli Lee Abdullah, Lee Keok Chin, Selina SF Lee, Chan Khun Neng, Siow Yee Woo, dan banyak lagi.

Melalui kajiannya beliau mendapati, sebanyak 43.36 peratus daripada responden menyokong agar sastera perpaduan diperluaskan bacaannya ke agensi bukan kerajaan. Apa yang lebih menarik melalui kajiannya juga ialah sebanyak 66.48 peratus responden mahukan sastera perpaduan dipelajari oleh semua aliran pelajar di semua institusi pendidikan, dari sekolah rendah hingga ke universiti.

Mereka juga mencadangkan sastera perpaduan dijadikan subjek utama dalam sistem pendidikan negara selain mengesyorkan satu Hari Sastera Kebangsaan diwujudkan.

Peranan ini juga telah dimainkan oleh penulis bukan Melayu iaitu terdiri daripada kalangan penulis India yang juga menyumbang kepada perpaduan kaum di negara ini. Justeru, sastera kebangsaan sewajarnya mendapat perhatian daripada kerajaan untuk mengeratkan perpaduan bukan hanya dengan peruntukan RM2 juta tetapi mungkin lebih daripada itu menggalakkan penerbitan hasil karya yang menjurus kepada perpaduan kaum di negara ini.

Sastera mampu memupuk integrasi kaum dan mestilah bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Bahan-bahan karya sastera dalam Komponen Sastera (Komsas) pada masa akan datang mestilah dipilih daripada karya yang bertemakan dan mementingkan perpaduan dan juga penyatuan kaum.

Oleh itu, peranan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan dalam masyarakat Cina dan India serta kaum-kaum lain sewajarnya dilihat sebagai bahasa penyatuan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa pengucapan seni yang halus dan indah. Sastera sejak dahulu sudah memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Sastera mestilah dijadikan pemangkin kepada integrasi dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia. Memperbanyakkan penerbitan karya sastera berbentuk perpaduan ini akan mengangkat budaya, bahasa dan sastera sebagai teras perpaduan di negara ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan