Jumaat, 24 Mei 2013

ISU SOSIAL : Keluarga tunjang kehidupan


Oleh : Nor Hatina Shuib

Kajian IIM menunjukkan institusi keluarga di negara ini semakin renggang dan longgar

Institusi kekeluargaan adalah unit paling asas dan penting dalam proses pembentukan landskap masyarakat yang harmoni. Fungsi institusi keluarga tidak hanya terbatas sebagai kesinambungan keturunan saja sebaliknya meliputi skop yang begitu luas. Sekiranya institusi keluarga berpecah-belah ia memberi impak terhadap pembangunan sosial dan ekonomi secara keseluruhan

Justeru, banyak perkara perlu diperhalusi termasuk membentuk sikap dan nilai murni yang menjadi tonggak ke arah memantapkan integriti masyarakat.

Tumpuan pembentukan nilai murni seharusnya bermula daripada peringkat awal dan ibu bapa adalah pembimbing yang terbaik bagi menentukan hala tuju sesebuah keluarga.

Cabaran membina keluarga sudah jauh berubah sejajar dengan pemodenan negara. Berjaya atau gagal terletak kepada peneraju dalam rumah tangga.

Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) yang dijalankan sejak tiga tahun lalu ke atas 16,000 responden di seluruh negara memperlihatkan institusi kekeluargaan semakin longgar disebabkan pelbagai faktor.

Hasil kajian, mendapati 29 peratus responden menjelaskan mereka jarang dapat makan malam bersama keluarga, manakala 27 peratus tidak mengambil tahu aktiviti dilakukan anak yang keluar pada waktu malam.

Menerusi indeks kajian itu juga mendapati, hubungan antara ibu bapa dengan anak semakin renggang, tidak kisah anak balik lewat dan mengamalkan makan malam bersama keluarga.

Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata hasil kajian menunjukkan masalah dalam institusi keluarga semakin kritikal.

Katanya, kajian itu seharusnya dijadikan penanda aras untuk merangka strategi lebih komprehensif agar masalah dalam institusi keluarga dibina tidak bertambah parah.

Berdasarkan senario sekarang, rata-rata terutama ibu bapa yang berkerjaya tidak mempunyai masa terluang dan berkualiti bersama anak.

“Sepatutnya ibu bapa menggunakan meja makan sebaik mungkin untuk berkomunikasi, mendengar, berbincang pelbagai masalah dan menerapkan nilai murni dalam suasana yang harmoni.

“Kajian jelas menunjukkan komunikasi terbina ketika seisi keluarga berkumpul bersama ketika waktu makan yang dianggap masa begitu efektif,” katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.

Jangan abai anak

Beliau berkata, statistik menunjukkan setiap tiga daripada 10 keluarga mengalami kepincangan dalam pelbagai aspek.

Katanya, walaupun kebanyakan masyarakat di negara ini sibuk dengan kerja sepatutnya mereka tidak mengabaikan keluarga sebaliknya menyeimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Antara cara untuk merapatkan hubungan, beliau mencadangkan semua majikan sewajarnya menyediakan pusat jagaan di tempat kerja untuk menempatkan anak bagi membolehkan mereka menjenguk atau menyusukan pada waktu rehat.

“Apabila ada pusat jagaan di tempat kerja kebajikan anak lebih terjamin. Ibu juga dapat menjadi pekerja yang baik. Pada masa sama, ia dapat membantu meningkatkan kualiti kerja,” katanya.

Mohd Tap berkata, tenaga wanita diperlukan dalam semua sektor.

“Wanita mempunyai peranan besar. Selain membantu bebanan dan kewangan keluarga mereka juga menyumbang dalam pembangunan negara. Cuma bagi saya kesibukan tugas di pejabat janganlah sampai pula mereka semakin kurang meluangkan masa dengan keluarga,” katanya.

“Sebagai ibu bapa, perlu tahu apa anak buat, apa aktiviti luar anak. Jika anak keluar malam, perlu tahu apa tujuannya, dengan siapa dia bergaul atau berjumpa. Ia adalah proses integriti dalam institusi kekeluargaan yang perlu diterapkan sejak usia kecil,” katanya.

IIM bincang kepincangan institusi keluarga

Institut Integriti Malaysia (IIM), antara institusi yang berperanan mengukuhkan pembangunan insan. Menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN) pihaknya menetapkan lima sasaran utama termasuk untuk memantapkan institusi kekeluargaan di negara ini.

Walaupun tidak memfokuskan terus kepada golongan wanita, dalam PIN turut menyediakan program berhubung kait fungsi wanita dalam pembentukan keluarga bahagia.

Ibu bapa atau penjaga memainkan peranan penting untuk menerapkan nilai murni. Bagi mencapai matlamat itu, ia juga bermula daripada kestabilan dan kebahagiaan dalam rumah tangga termasuk memastikan dari segi emosi dan kewangan.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata pihaknya memasukkan program bagi meningkatkan peranan wanita sebagai ibu dan penjaga keluarga.

“Peranan wanita sebagai ibu dianggap penting dalam membantu proses integriti. Wanita mempunyai peranan untuk memantapkan institusi kekeluargaan dan melahirkan masyarakat sejahtera,” katanya.

Pelbagai seminar kewanitaan

Sejajar itu, IIM menganjurkan pelbagai seminar, bengkel, kursus dan poster secara berkala dengan memfokus isu tertentu termasuk berkaitan pembangunan, kepimpinan wanita dan keluarga.

Seminar berbentuk itu kerap diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat serta Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita menjalankan program kewanitaan berintegriti dengan persatuan lain seperti dengan isteri penjawat awam termasuk Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT). Di sini, kita menjadikan wanita sebagai pemangkin integriti dalam keluarga.

“Sejak penubuhan IIM, setiap tahun pelbagai program meningkatkan sistem keluarga dan peranan wanita diadakan. Antara program yang mendapat sambutan ialah membabitkan program pembangunan, kepimpinan dan kekeluargaan. Malah banyak program yang dijalankan penyertaan wanita lebih ramai berbanding lelaki,” katanya.

Setiap lima tahun sekali, IIM akan menjalankan kajian dinamakan Indeks Persepsi Integrasi Nasional (IPIN) untuk menilai TEKAD yang disasarkan.

Indeks nombor antara sifar hingga 10 akan menentukan tahap sasaran tercapai atau tidak.

“Berdasarkan kajian, kemantapan institusi kekeluargaan berada pada tahap 7.3 daripada indeks 10. Institusi keluarga patut mencapai indeks lebih tinggi. Bagaimanapun banyak masalah sosial seperti isu perceraian dan pembuangan bayi menjadikan indeks gagal mencapai tahap tertinggi,” katanya.

Kepincangan institusi kekeluargaan boleh diatasi dengan menekankan kepada sistem kekeluargaan yang bersistematik dan meningkatkan kemahiran keibubapaan.

“Dulu pasangan yang mahu bernikah tidak perlu menghadiri kursus kahwin seperti sekarang. Masalah perceraian juga tidak terlalu ketara seperti hari ini yang berlaku kepada golongan muda. Dulu anggota keluarga bertindak dalam mengukuhkan institusi keluarga berbanding kini yang tidak menerima sokongan moral daripada keluarga,” katanya

INFO : Integriti
* Didefinisikan sebagai peribadi mulia yang ada pada diri individu membabitkan nilai murni seperti amanah, jujur, ikhlas, sabar, telus dan bertanggungjawab.
* PIN diadakan sejak 2004 dan dinilai setiap lima tahun sekali.
* Menetapkan lima sasaran dikenali sebagai TEKAD

Agenda Integriti untuk keluarga:
* Pembangunan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia.
* Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani.
* Pemantapan nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.
* Pembabitan keluarga dan komuniti setempat untuk memperkasakan integriti budaya masyarakat dalam jangka panjang.
* Masyarakat berorientasikan keluarga dan komuniti.
* Nilai keluarga dan komuniti kukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

Peranan IIM:
* Mengendalikan penyelidikan berkaitan dengan integriti institusi dan masyarakat.
* Menganjurkan persidangan, seminar dan forum.
* Menghimpunkan pendapat pelbagai sektor mengenai kemajuan atau halangan kepada pelaksanaan integriti.
* Menerbitkan dan mengedarkan bahan bercetak, menggubal dan melaksanakan program latihan dan pendidikan.
* Mengemukakan perakuan dasar bagi peningkatan integriti dan etika.
* Memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan mengenai program dan strategi bagi meningkatkan integriti
* Mewujudkan jaringan dengan organisasi antarabangsa bagi membolehkan peranan dan sumbangan IIM diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen