Rabu, 5 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Mengajar harus disertai kebijaksanaan

Prof  Madya Abdul Mua'ti Ahmad bersama pemimpin Singapura
yang turut serta dalam Seminar Bahasa Melayu 2013 
MENGAJAR tidak seharusnya sekadar memenuhi tuntutan sukatan pelajaran semata.

Guru harus berusaha menyuntik unsur kebijaksanaan dalam pelajaran yang disampaikan.

Umpamanya, seseorang pelajar pada zaman dulu biasa disuruh mengutip sampah dan membersihkan sekitarannya.

Pelajar masa ini pula tidak dianjurkan berbuat demikian kerana ia bukan tugas mereka.

Sebenarnya, terdapat kebijaksanaan di sebalik tugas mengutip sampah - iaitu memupuk keprihatinan dalam diri pelajar terhadap keadaan alam sekitarannya.

Demikian dijelaskan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad.

"Apa yang sudah lama hilang dalam pengajaran ialah kebijaksanaan. Guru mungkin sibuk dengan sukatan pelajaran dan rutin, jadi ia tidak lagi ditekankan dewasa ini.

"Kebijaksanaan boleh hilang apabila masyarakat tidak berusaha mencarinya.

"Sehubungan itu, idea yang terjana dalam minda menggambarkan kebijaksanaan. Lantas, guru boleh memperluas idea menerusi pembacaan. Luaskan horizon (jangkauan) bahan bacaan," ujar beliau.

Profesor Abdul Mua'ti merupakan penyampai ucaptama Seminar Bahasa Melayu 2013 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) di Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOELC), Bishan, semalam.

Dalam ucaptama bertajuk Bahasa dan Jati Diri Melayu: Kesantunan Berbahasa dalam Komunikasi itu, Profesor Abdul Mua'ti meneliti unsur-unsur mempengaruhi pandangan Melayu secara keseluruhannya, iaitu alam sekeliling, adat resam dan Islam.

Menurutnya, kesemua ciri tersebut mencipta cara percakapan orang Melayu, lalu membentuk jati diri serta kelakuan mereka ketika berkomunikasi.

Antara lain, Profesor Abdul Mua'ti mengesyorkan orang Melayu memperteguh jati diri dengan menyemai rasa cinta terhadap bahasa Melayu itu sendiri.

Ini dapat dilakukan jika guru atau pihak berkuasa dapat menggalakkan orang Melayu memahami sejarah dan budaya mereka sendiri, walaupun dilanda arus pengaruh seperti Gelombang K-Pop atau kegilaan budaya pop asal Korea Selatan.

"Yang mustahak, kita harus yakinkan anak-anak tentang keberuntungan mereka memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

"Kita juga harus meyakinkan orang Melayu bahawa mereka boleh menjadi Muslim yang baik dan masih juga menjadi seorang (yang berpegang pada budaya) Melayu.

"Belajar bahasa tidak boleh dilakukan dalam satu malam. Ia harus diterapkan sedikit demi sedikit.

"Kita perlu ada media bahasa Melayu, bahan bacaan dan perkhemahan. Guru pun harus menggunakan bahasa yang difahami pelajar," ujar Profesor Abdul Mua'ti.

Beliau turut menampilkan panduan berkomunikasi, antaranya ialah merancang idea sebelum berkomunikasi, mencerakin penerima mesej atau sasaran, kebenaran isi bicara, gaya bahasa yang sesuai lagi baik, susunan maklumat yang jelas, bahasa badan yang menyokong lisan, berhujah dengan waras dan mengambil kira pendapat orang lain.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan