Sabtu, 20 Julai 2013

ISU SOSIAL : Pemanduan tak beradab punca kemalangan


Oleh : Jeniri Amir
 
Kematian akibat nahas di Malaysia 6.3 kali lebih tinggi berbanding UK, Sweden, Belanda

Berjuta-juta pengguna dan kenderaan akan berada di jalan raya dan lebuh raya ketika balik ke kampung pada musim Aidilfitri beberapa minggu lagi. Kesesakan akan berlaku dan ini sekali lagi bakal menguji emosi dan sikap pemandu.

Namun, jika hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) baru-baru ini dipegang, kita mempunyai alasan kuat untuk berasa khuatir sikap pemandu Malaysia. Kajian itu dijalankan antara 2009 hingga tahun lalu, mengukur tahap keberangan 5,248 pemandu di lebih daripada 103 daerah di seluruh negara.

Satu daripada sikap buruk rakyat Malaysia mengikut rakan saya dari negara asing dan pelancong yang saya temui ialah pemanduan yang buruk.

2.4 juta pemandu berang aras tinggi

Pemandu kita mudah berang dan gagal mengawal emosi ketika memandu. Berdasarkan kajian tadi, 18 peratus atau 2.4 juta daripada 13.3 juta pemandu kita berada pada kategori berang aras tinggi. Dari segi sikap buruk itu, wanita dikatakan mempamerkan sikap negatif itu lebih teruk daripada lelaki. Saya sering menyaksikan sikap berang pemandu di jalan raya terutama di kota dan bandar besar. Perangai mereka bertukar agresif sehingga nekad membuli pengguna jalan raya lain atau mengejar pemandu yang dimarahi.

Mengikut kajian itu, pemandu kita tiga atau empat kali lebih berang berbanding pemandu di Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand, Sepanyol dan Turki. Mungkin pemandu kita perlu belajar daripada pemandu di negara berkenaan dan juga di Jepun untuk memahami maksud pemandu berdisiplin. Mereka yang pernah ke Britain dan Jepun, pasti faham bagaimana tertib dan berdisiplinnya pemandu terbabit. Mereka sentiasa menghormati pemandu dan pengguna jalan raya lain. Sebaliknya, pemandu kita mudah dikuasai emosi dan kemarahan sehingga menjejaskan pengguna lain.

Sabar sebahagian daripada iman, tetapi itu dianggap tidak lebih sebagai slogan. Pemandu kita mudah marah, antaranya disebabkan perlakuan buruk pemandu lain, pemanduan tidak beradab dan berhemah, kehadiran polis, pemanduan perlahan dan sekatan jalan raya. Segelintir pemandu seolah-olah berasa diprovokasi jika pemandu lain memintas kenderaan mereka atau memandu terlalu perlahan. Kalaulah pemandu menjaga perangai, disiplin dan emosi, pasti, jumlah kes buli dan kemalangan di jalan raya tidak akan meledak.

Ops Sikap yang diadakan lebih 20 kali seolah-olah tidak mendatangkan kesan terhadap pemandu kenderaan bermotor di negara ini. Berdasarkan data rasmi, ada 200 peristiwa kemalangan jalan raya yang membabitkan kematian dan 230 insan terkorban sepanjang kempen Ops Sikap ke-22. Semua itu bertolak daripada sikap pemandu yang tidak berdisiplin dan tidak dapat mengawal perasaan ketika memandu. Berbanding di bandar kecil dan pekan kecil, pemandu bandar dan kota lebih tidak berdisiplin dan dikuasai emosi.

Kenderaan semakin bertambah

Adakah jumlah kenderaan yang semakin meningkat sehingga kesesakan semakin teruk menjadi punca? Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia tahun lalu meningkat 21,401,269 unit berbanding 20,188,072 pada tahun sebelumnya.

Amat penting bagi pemandu bukan saja mematuhi segala peraturan, tetapi juga sentiasa mengawal emosi ketika memandu. Pemandu yang berang boleh dianggap berisiko tinggi kerana emosi berkenaan besar kemungkinan menguasai perasaannya sepanjang perjalanan. Pemandu jenis ini tidak boleh diprovokasi kerana emosinya mudah terganggu, malah dia sanggup melakukan sesuatu di luar pemikiran manusia biasa. Pemandu jenis ini turut menyumbang kepada jumlah kemalangan yang tinggi.

Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris mencatatkan ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling ketara antara tiga negara itu ialah Malaysia, Argentina dan Kemboja. Malaysia berada pada kedudukan teratas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk. Angka ini bukan sesuatu yang menggembirakan dan membanggakan.

Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia ialah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Bagi 22 Ops Sikap dalam tempoh 2001-2010 itu 279,204 kes kemalangan, dengan 3,909 peristiwa kemalangan membabitkan sekurang-kurangnya seorang mati. Jumlah yang mati pula ialah 4,479 orang.

Adakah kemarahan ini cerminan tekanan di tempat kerja dan di rumah atau ini hasil peribadi yang lemah? Adakah kita kurang menekankan soal etika dan cara pemanduan berhemah ketika mereka menjalani latihan pemanduan?

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen