Khamis, 29 Ogos 2013

ISU BAHASA : Cap, cop, serunding dan serondeng

Serondeng daging 

Oleh : MUHAMMAD DAUD

APABILA saya mengajukan persoalan kepada sekumpulan peserta  kursus bahasa baru-baru ini, 47 orang daripada keseluruhan peserta yang seramai 50 orang meyakini bahawa kata majmuk ‘cop jawatan’ lebih tepat penggunaannya berbanding ‘cap jawatan’.

Mereka seolah-olah terkejut dan ada yang  menganggap saya bergurau apabila saya memberitahu bahawa penggunaan ‘cap jawatan’ lebih tepat.

Ketidakpuasan hati mereka telah menuntut saya untuk menjelaskan secara terperinci tentang hal berkenaan.

Dalam artikel pada hari ini juga, saya akan cuba untuk mengupas kekeliruan yang timbul dalam kalangan pengguna bahasa Melayu berkenaan hal tersebut. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 246, cap bermaksud:

i)    alat untuk menurunkan bekas atau kesan tanda dengan menekannya di atas kertas

Contoh : Puan Ariza telah menempah beberapa unit cap dari kedai itu untuk kegunaan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

ii)    cetak, cetakan

Contoh : Siti Norizah telah diterima untuk bekerja sebagai tukang cap di sebuah kedai buku milik Nozeli.

iii)    bekas atau kesan yang dibuat dengan cap

Contoh : Pihak penganjur terpaksa menolak penyertaan pasukan berkenaan kerana tidak disertakan cap presiden kelab.

iv)    tanda yang berupa gambar dan lain-lain

Contoh : Beberapa botol budu cap pisang dibawa oleh Nik Ali untuk anaknya di Port Dickson.

v)    kiasan tentang ciri dan sifat

Contoh: Sikap itu telah melambangkan capnya yang sebenar.

Manakala cop dalam Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 288 membawa beberapa maksud dalam dialek Kedah:

i)    sejenis alat untuk menggali tanah
ii)    sejenis alat untuk mengupas kelapa
iii)    meniup (lilin, pelita minyak tanah) dengan menggunakan mulut, menghembus

Cop turut digunakan dalam dialek Kelantan yang bermaksud sejenis alat untuk menggali tanah atau cangkul dan maksud ini sama dengan salah satu maksud cop dalam dialek Kedah.

Berdasarkan maksud yang telah dinyatakan, maka sudah jelas bahawa penggunaan yang tepat ialah cap jawatan dan bukannya cop jawatan.

Selain penggunaan perkataan cap dan cop yang sering dilakukan kesilapan oleh pengguna bahasa Melayu, ada beberapa perkataan lagi yang perlu diperbetul aspek penggunaannya. Salah satunya ialah serondeng. Ada antara pengguna bahasa Melayu yang tercengang-cengang apabila disebut perkataan serondeng kepada mereka.

Bagaimanakah pula dengan keadaan mereka apabila disebut perkataan serunding? Mereka akan memberitahu bahawa serunding ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada daging. Benarkah begitu?

Apabila kita merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sebenarnya tidak ada langsung entri serunding dalam kamus berkenaan. Hal ini demikian bermakna tidak wujud kosa kata serunding dalam bahasa Melayu. Kalau begitu, apakah pula maksud serondeng? Serondeng bermaksud:

i)    sejenis makanan yang dibuat daripada kelapa yang dikukur
ii)  sejenis makanan yang tahan lama daripada siatan daging, udang, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama-sama santan dan rempah-rempah sehingga kering.

Jadi sudah jelaslah bahawa makanan yang kita makan itu ialah serondeng bukannya serunding. Sehingga saya menulis artikel ini, belum pernah saya melihat perkataan serondeng digunakan dalam iklan atau papan tanda atau sebarang cap yang mempromosikan serondeng. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang menggunakannya namun bilangannya hanya dapat dikira dengan jari.

Bahasa Melayu milik kita semua, oleh itu bangsa Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan perlu berusaha untuk memantapkan bahasa Melayu. Mantapnya sesuatu bahasa, maka mantaplah bangsanya seterusnya majulah negaranya. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen