Khamis, 1 Ogos 2013

ISU SOSIAL : Peringatan tentang bahayanya mercun buatan sendiri


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

MERCUN sinonim dengan perayaan kerana dikatakan tidak meriah kalau tidak mendengar bunyi dentumannya. Mercun dipercayai berasal dari negara China yang mempunyai sumbu dan dibalut dengan kelongsong kertas yang sangat tebal untuk menampung letupan besar.

Mercun adalah budaya dan tradisi orang Cina yang percaya mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baharu untuk menghalau puaka dan nasib malang.

Di Malaysia, pembakaran mercun diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991. Pengharaman mercun di Malaysia adalah susulan kejadian tragedi letupan kilang mercun Bright Sparkles, Sungai Buloh pada tahun 1991 yang mengorbankan seramai 26 orang.

Sebelum bercakap tentang mercun buatan, saya menyentuh tentang penguatkuasaan terhadap mercun ini yang terlalu longgar dan mudah lolos dengan mudah. Kes dua beranak termasuk seorang lelaki menjadikan kawasan pekarangan masjid sebagai transit untuk mengedar mercun amat dikesalkan.

Di bazar-bazar Ramadan di celah-celah peniaga menjual juadah ada juga pihak yang menyelit mengambil  kesempatan menjual mercun. Terdapat kira-kira 75 jenis mercun di pasaran dan ada pula mercun baharu dengan pelbagai nama seperti mercun aiskrim, langsuir, osama dan bunga api sate.

Rata-rata berminat dengan mercun yang menyerupai bom tangan yang dikatakan diimport dari Thailand. Sepatutnya, kita takut dan mengelak untuk dekat dengan bom tangan yang membawa unsur peperangan. Kes mercun bom tangan dibaling ke dalam rumah hingga mencetuskan keadaan panik di Bayan Baru kerana yang diingatkan bom tangan tidak sepatutnya berlaku. Apabila kanak-kanak melihat mercun tersebut maka mereka akan berkeinginan untuk cuba membuat mercun buatan.

Semasa bulan Ramadan, kita banyak mendengar kes yang melibatkan kecederaan akibat mercun buatan. Peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak berlaku dalam kalangan kaum Melayu semasa menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kes kecederaan akibat mercun  meningkat saban tahun bukan sahaja  akibat bermain mercun tetapi kanak-kanak beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.

Sedih kita mendengar apabila hendak raya, ada saja orang yang putus  jari, hancur tangan, melecur di bahagian badan dan ada yang buta mata disebabkan mercun. Malang tidak berbau, kadang-kadang mereka merasakan tidak mengapa jika mencuba kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya.

Baru-baru ini beberapa kes melibatkan mercun dilaporkan. Kes hari pertama bulan Ramadan melibatkan sekumpulan remaja bermain mercun buatan sendiri mengundang padah apabila dua daripada mereka melecur di muka dan jari kanan selepas batang paip besi yang diisi belerang meletup sebaik-baik dicucuh api di Baling, Kedah.

Remaja kini, kononnya ingin berinovasi dengan ciptaan mercun buatan sendiri. Memang baik jika anak-anak kita mempunyai semangat hendak menjadi saintis tetapi mencipta sesuatu perlu  dilaksanakan dengan bijak dan sesuai dengan keadaannya. Semangat penyelidikan dan inovasi perlu kita sokong tetapi jika anak-anak yang berjiwa  saintis dan berinovasi tidak kena pada tempatnya, pening kepala kita dibuatnya. Menguji  mercun buatan  sendiri sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya  akhirnya boleh mengundang musibah dan boleh membunuh diri sendiri.

Minggu lepas, satu lagi kes di Kota Bharu, Kelantan dilaporkan apabila  seorang murid Tahun Lima cedera di mata kanan dan melecur di sekitar mulutnya. Dia bermain bunga api yang menggunakan belerang daripada mercun jenis bola dan pasir yang dimasukkan ke dalam botol air mineral. Mengapa peristiwa sebegini sering berulang? Cukupkah peringatan kepada anak-anak kita?

Peranan ibu bapa sangat penting untuk memberikan peringatan tentang bahayanya mercun. Ibu bapa jangan memberi peluang langsung walaupun anak-anak merayu dan menangis sekalipun. Peliknya, segelintir ibu bapa pula yang lebih bersemangat bermain mercun seperti menggalakkan dan menimbulkan tanya tanya kepada anak-anak kenapa yang lebih dewasa boleh bermain. Orang dewasa juga patut menunjukkan contoh teladan dengan tidak bermain mercun. Guru-guru di sekolah perlu memberi pendedahan dan peringatan kepada pelajar-pelajar tentang akibat membuat mercun buatan sendiri dengan memberikan contoh-contoh kes. Ceramah-ceramah dan kursus-kursus perlu diadakan khususnya menjelang   musim perayaan.

Pihak Kementerian Pendidikan perlu memantau keadaan ini dengan serius dengan mengedarkan risalah-risalah tentang bahaya mercun dan bahana mercun buatan ke sekolah-sekolah. Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga menyiarkan iklan-iklan bahayanya mercun dan pencegahan mercun buatan sendiri di media khususnya radio dan televisyen. Papan-papan iklan peringatan juga boleh diletakkan di tepi jalan.

Peranan kita sebagai rakyat Malaysia boleh membantu menerusi  media sosial  dalam penulisan blog, facebook, twitter, mahupun instagram dengan memberikan nasihat berguna tentang bahayanya mercun buatan.

Ingat-mengingati adalah amalan mulia supaya kita sentiasa peka kerana kadang-kadang kita alpa dan lupa. Pendidikan tentang bahaya mercun ini perlu sentiasa dilakukan dalam memberikan peringatan berulang. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan anak-anak kita daripada tragedi mercun buatan yang berlaku setiap tahun. Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen