Isnin, 3 Februari 2014

ISU KENEGARAAN : Perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan

Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) 

Oleh  : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

KEHARMONIAN etnik selari dengan perayaan-perayaan di Malaysia boleh diamalkan dengan kunjung- mengunjung sesama kita. Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kita dapat mengamati wajah-wajah 1Malaysia di media-media sosial dan di mana sahaja terpancar senyuman kegembiraan ketika berkunjung ke rumah rakan-rakan berbangsa Tionghua. Kita sama-sama merayakannya tanpa mengira pangkat, darjat, bangsa dan agama.

Menariknya lagi, kita juga berpeluang lebih mengenali budaya satu sama lain dan merasai juadah serta adat yang berbeza. Seronok apabila menerima kad ucapan raya, kiriman e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan berlainan bangsa yang amat dihargai kerana situasi sebegini nampak ringkas tetapi amat bermakna dan boleh mengeratkan perpaduan.

Hari ini begitu banyak cerita berkaitan perkauman yang kita dengar di media sosial namun kita tidak sepatutnya terus mempercayainya dan jangan cepat terpengaruh dengan hasutan untuk memecah-belahkan kaum. Kita perlu menilai sendiri erti semangat muhibah dan kerharmonian yang telah kita capai kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk.

Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun mereka berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan, interaksi sosial dalam kalangan mereka amat kurang dan hubungan antar mereka amat terbatas dan pembahagian tugas dilakukan atas garis-garis ras.

Maka, sudah menjadi perkara biasa ada sesetengah perkara yang membuatkan kita tidak gembira namun setiap perkara ada penyelesaian jika pemimpin menjadi pendengar yang baik dan mendengar luahan rasa hati rakyat sehingga ke peringat akar umbi.

Justeru, penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dilancarkan pada 25 November 2013 menggantikan Panel Penasihat Perpaduan Negara diharapkan dapat membawa sinar dalam menilai erti perpaduan. Anggota MKPN dibarisi oleh 30 tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil pertubuhan bukan kerajaan selain ahli politik daripada Barisan Nasional dan pembangkang yang diharap dapat memperkasa keharmonian ke arah penyatuan nasional negara ini.

Melaluinya, peluang suara akar umbi untuk melontarkan apa sahaja yang terbuku selama ini adalah jalan terbaik untuk kita berdialog dan berbincang mencari penyelesaian.

Panel tersebut memainkan peranan dalam mengesyorkan cadangan penyatuan nasional kepada kerajaan sebelum dibincangkan di peringkat Kabinet. Dialog Perpaduan iaitu aktiviti turun padang pula akan diadakan mengikut zon mulai bulan ini. Ini adalah antara usaha murni kerajaan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di mana laporan interim dalam masa enam bulan sebelum ia dibawa ke peringkat Kabinet.

Bercakap tentang perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan, tiga perkataan dengan satu kata akar 'padu' dan tiga perkataan keramat ini menjadi tunjang perpaduan negara diperkenalkan kepada saya semasa menghadiri bengkel tugasan sebagai pelapor untuk Dialog Perpaduan, Tiga Perkataan yang mempunyai makna tersendiri dalam mencari nilai perpaduan.

Pengarah Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA) Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, kita sering bercakap tentang perpaduan yang lebih berbentuk "Moment of Unity" kerana perpaduan sebenarnya sukar dicapai sehingga kini.

Di Malaysia, kita berada di peringkat kesepaduan iaitu masih mencari nilai perpaduan yang sering dicabar dengan kontradiksi dan untuk mencapai penyatupaduan pula, usaha yang lebih giat diperlukan dengan kerjasama semua rakyat iaitu suara akar umbi untuk merealisasikannya.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh panduan dalam usaha menjayakan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Panduan itu antara lain menterjemahkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan nasional kekal selain melaksanakan sebarang dasar berlandaskan Perlembagaan Negara.

Selain itu, tujuh panduan itu juga mengambil kira Model Ekonomi Baharu dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dengan Rukun Negara sebagai panduan. Usaha mengukuhkan perpaduan nasional merupakan proses yang panjang.

Konsep 1Malaysia diharap dapat menyatupadukan rakyat tanpa mengenal etnik, agama dan bangsa. Sebagai rakyat yang hidup dalam masyarakat majmuk, kita harus peka dan faham dengan keperluan dan kehendak rakyat kumpulan majoriti dan jangan kita lupa kepentingan suara hati kumpulan minoriti yang sama pentingnya dalam pembangunan negara.

Isu-isu sensitif perlu dibincang dari hati ke hati dengan sebaiknya terutama yang melibatkan isu-isu sensitif iaitu agama dan pantang larang.

Saya berharap golongan belia kini turun padang dan didedahkan secara serius adat resam dan budaya berlainan bangsa supaya tidak wujud salah faham yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum. Kepelbagaian etnik dalam Malaysia memerlukan tolak ansur, faham-memahami, hormat-menghormati, setiakawan, tolong-menolong sama ada pada waktu negara dalam keadaan senang ataupun susah.

Sama-sama kita merealisasikan tiga kata keramat iaitu perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan menjadi realiti. Salam 1Hati.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti PertahananNasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan