Ahad, 25 Januari 2015

ISU PENDIDIKAN : Mendepani cabaran pendidikan negara


DR. RAM AL JAFFRI SAAD (RAM@UUM.EDU.MY) 

BARU-BARU ini semasa majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat cabaran utama kementerian itu sepanjang 2015.

Pertama, cabaran bagi mendepani perkembangan ekonomi ASEAN yang pesat yang dijangka muncul sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia. Kedua, cabaran untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan antarabangsa bagi mendepani kemajuan dan ketidakpastian masa depan.

Ketiga, cabaran memperkasa peranan kementerian untuk menghasilkan modal insan minda kelas pertama. Keempat, cabaran melahirkan pengguna teknologi maklumat dan komunikasi yang bertanggungjawab.

Keempat-empat cabaran yang digariskan tersebut adalah sangat penting untuk dihayati oleh semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam dunia pendidikan. Hanya melalui penghayatan dan pemahaman mendalam membolehkan usaha dan strategi digerakkan bagi memastikan kejayaan untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut.

Dalam konteks cabaran pertama, Menteri Pendidikan menyarankan agar sektor pengajian tinggi merangka perancangan strategik bagi menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang dilihat lebih terbuka. Perkembangan pesat ekonomi negara-negara ASEAN akan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau yang seterusnya dapat meningkatkan perdagangan antara negara-negara tersebut.

Hasil rangsangan perdagangan ini secara langsung dapat menggalakkan perkembangan sektor perniagaan. Hal ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keperluan terhadap tenaga kerja mahir antara negara-negara anggota.

Cabaran mobiliti tenaga kerja mahir boleh berlaku dalam pelbagai sektor sama ada sektor korporat, pendidikan dan sebagainya. Justeru, pelan perancangan strategik bagi mengurus hal ini wajar diusahakan agar mobiliti ini dapat diuruskan dengan baik dan negara mendapat manfaat yang besar daripadanya.

Dalam konteks cabaran kedua, sektor pendidikan negara diharap mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di dunia. Ini penting kerana negara bukan sahaja berdepan dengan pendidikan dunia yang berkembang pesat, namun negara juga berhadapan dengan ketidaktentuan dunia ekonomi dan politik dunia.

Bagi mengurus cabaran ini kerjasama wajar dijalinkan dengan sektor pendidikan di negara-negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan. Kerjasama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Australia boleh terus diperkasakan.

Selain itu, kerjasama dengan negara-negara lain terutamanya negara-negara Islam wajar juga diberi perhatian serius. Ini kerana perkembangan pendidikan di negara-negara tersebut adalah sangat menggalakkan dan ia mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Jika dilihat kepada sejarah, sektor pendidikan di negara-negara Islam berada pada satu tahap yang cukup membanggakan pada suatu ketika dahulu. Ia berkembang ke negara-negara Eropah dan Asia sehingga negara-negara ini mendapat manfaat yang besar.

Justeru, usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan ini wajar dilakukan. Negara kita yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain perlu mengge­rakkan usaha ini. Di samping menjadi contoh, kita juga dapat mengutip kha­zanah-khazanah pendidikan silam yang maju untuk disuburkan kembali di negara-negara Islam.

Dalam cabaran seterusnya, aspirasi negara untuk mencapai status negara maju tidak akan dapat dicapai sekiranya sektor pendidikan negara tidak mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama. Inilah cabaran besar sektor pendidikan iaitu untuk memastikan negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Modal insan yang mempunyai minda kelas pertama adalah individu atau kumpulan orang dalam masyarakat yang mampu menguasai sesuatu bidang ilmu yang tinggi, berdaya saing, akhlak yang hebat, budaya kerja cemerlang, berintegriti, menjunjung nilai-nilai murni dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Modal insan ini dilahirkan dalam acuan budaya, kesenian dan wa­risan tanah air. Mereka menjaga agama, bangsa dan negara. Hanya dengan perancangan yang baik dan berterusan mampu melahirkan modal insan ini.

Cabaran terakhir adalah ber­kaitan moral dan di­siplin diri yang kuat yang harus ada pada anak bangsa kita untuk mendepani kecanggihan dan kepesatan teknologi. Secanggih mana pun teknologi dengan infrastruktur berkelas dunia yang ada dalam negara kita akan tidak membawa makna sekiranya masyarakat dan anak-anak muda tidak mempunyai akhlak dan etika yang baik sebagai pengguna teknologi.

Umum dapat melihat bagaimana salah guna teknologi berlaku dalam negara kita. Penyebaran berita-berita palsu, provokasi, mengadu domba dalam kalangan masyarakat, fitnah dan macam-macam lagi merupakan antara contoh salah guna teknologi yang melibatkan masyarakat kita.

Adalah menjadi tanggungjawab institusi pendidikan untuk melahirkan generasi pengguna teknologi yang bertanggungjawab. Pengguna teknologi wajar dididik dengan ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni agar mereka tidak menyalahgunakan teknologi.

Sebagai kesimpulannya, pendidikan merupakan nadi kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Pe­rancangan pendidikan negara harus dirangka sebaik-baiknya agar mampu melahirkan generasi berilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Empat cabaran semasa yang harus ditempuhi oleh sektor pendidikan dalam negara menjadi agenda besar yang perlu diberi perhatian serius oleh warga pendidik. Cabaran-cabaran ini wajar difahami sedalam mungkin sebelum perancangan strategik dapat dibuat. Semoga cabaran-cabaran ini akan ditempuh dengan jayanya.

PENULIS ialah Pengarah Penerbitan UUM (UUMPRESS) merangkap Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen