Dr. Mohd. Zaidi
bin Ismail
Sudah dimaklumi ramai bahawa Islamophobia adalah masalah besar yang
mengharung Umat Islam di pelbagai tempat di dunia kini.
Imej Islam menjadi tercemar ekoran tindakan melampau kelompok-kelompok
tertentu daripada kalangan Kaum Muslimin, selain mainan propaganda beberapa
pihak bukan Islam yang mempunyai agenda dan muslihat mereka sendiri.
Justeru, penegasan semasa Kerajaan Malaysia agar ciri Rahmah pada Islam
diberikan penekanan adalah suatu langkah yang tepat dan wajar disokong.
Penekanan yang dimaksud itu, bagaimanapun, perlu dilakukan dengan penuh
kejujuran dan berpandukan kefahaman yang jelas sepadu agar tujuan murni yang
diinginkan itu dapat terhasil. Juga penting untuk dipastikan bahawa langkah-langkah pentadbiran yang
dikaitkan dengan tema-tema utama dan istilah-istilah pokok Agama Islam seperti
wasat (yakni adil), rahmah dan yang lain-lain seumpamanya ini tidak bersifat
musiman dan bersilih ganti mengikut pertukaran pucuk-pucuk pimpinan pemerintah
atau parti-parti politik yang membentuk kerajaan.
Sekiranya pertukaran sedemikian dibiarkan berlaku, sangat dikhuatiri bahawa
maksud-maksud mulia yang terkandung dalam tema-tema dan istilah-istilah itu
bakal dijadikan bahan momokan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang
mempunyai motif yang tidak baik, atau pihak-pihak yang berasa tertipu, bosan,
dan mual.
Sebagaimana yang telah sering kita dengari, antara ayat-ayat penting yang
menjadi sandaran utama penekanan perihal Islam sebagai Agama Rahmah adalah
berkenaan perutusan Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai Rahmat untuk sekelian
Alam (Surah al-Anbiya’: 107).
Menarik untuk kita perhatikan bahawa dalam Al-Quran, selain ayat yang
dimaksudkan di atas yang dinyatakan dalam bentuk susunan kata “wa ma arsalnaka
illa…” (tiada kami utuskan kamu, iaitu Baginda Nabi Muhammad SAW, melainkan…),
terdapat tiga lagi ayat dengan bentuk aturan yang serupa.Tiga ayat tersebut adalah: Surah Saba’: 28; Surah al-Isra’: 105; dan Surah
al-Furqan: 56.
Dapat difahami daripada ayat-ayat tersebut bahawa sementara perutusan Nabi
Muhammad SAW secara amnya adalah Rahmat untuk sekelian Alam, dalam
ruang-lingkup penzahiran Rahmat yang menyeluruh itu kepada sekelian bangsa
insani pula, Nabi SAW secara khusus diutuskan dengan kesepaduan dwi-misi, yakni
bashiran wa nadhiran (membawa khabar gembira sekali gus khabar yang menakutkan).Justeru, hanya apabila kesepaduan dwi-misi itu dipelihara dan dilaksanakan
dengan adil (atau wasat), barulah Rahmat kepada Umat Manusia itu dapat
dizahirkan dengan sempurna.
Pemeliharaan dan pelaksanaan dengan adil itu bermaksud tiada melampau dalam
mengutamakan satu-satu sisi dengan mengabaikan sisi yang lain, yakni: tidak
berat kepada yang membahagiakan semata-mata dan tidak pula condong cuma kepada
yang menakutkan.
Ringkasnya, masing-masing sisi itu, iaitu sisi yang menegaskan apa yang
positif dan sisi yang menegah-mencegah apa yang negatif, ada peranan dan
ketikanya yang perlu dijaga dan dipatuhi.
Hakikat satu bersisi dua inilah yang bukan sahaja perlu dipelihara
sepanjang waktu tetapi juga wajib dipupuk merentas pelbagai lapisan kehidupan
serta bidang tumpuan. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kaedah dan manhaj Islam
zaman-berzaman.
Maka kita dapati dalam soal-soal berkait dengan Aqidah dan Usuluddin
penegasan terhadap kesepaduan nafi dan ithbat: “penafian segala yang palsu” dan
“pensabitan segala yang benar,” khasnya yang berkenaan keyakinan perihal Tuhan
dan Nabi serta segala yang berkait dengan kedua-duanya itu.
Dalam soal-soal berkait dengan Syariat dan Fiqh pula, kita dapati penekanan
terhadap kesepaduan dar’ al-mafasid (penolakan perkara-perkara yang buruk lagi
merosakkan) dan jalb al-masalih (perolehan perkara-perkara yang baik lagi
bermanfaat).
Dalam hal-ehwal Akhlaq dan Tasawwuf juga wujud kesepaduan takhliyah (atau
tahdhib) dan tahliyah: segi yang pertama itu bermaksud “penyucian daripada yang
keji lagi nista” manakala segi yang kedua itu bermakna “pengindahan dengan yang
murni lagi mulia.”
Dalam ruang-lingkup hidup bermasyarakat pelbagai tingkat, kita dapati pula
kesepaduan al-nahy ‘ani l-munkar dan al-amr bi l-ma‘ruf: yang awal itu
berkenaan “pelarangan daripada apa yang tidak baik dan dibenci” dan yang
kemudian itu pula berkaitan “penyuruhan kepada apa yang baik dan diakui.”
Malah, dalam disiplin berfikir yang dipupuk menjadi Ilmu Mantik (Logik)
dalam Tradisi Ilmu Islam, khasnya yang berkaitan cara-cara definisi dan
pentakrifan yang betul, ditekankan pula kesepaduan syarat (atau sifat) jami‘
dan mani‘: “keperluan menghimpunkan segala unsur asasi yang benar-benar
membentuk sesuatu itu” dan “keperluan mengeluarkan apa sahaja perkara yang
tiada secara asasi membentuk sesuatu itu.”
Bahkan, budaya ilmu yang disuburkan dalam Peradaban Islam sentiasa menuntut
kesepaduan pendekatan radd (tulisan yang bersifat penafian atau penolakan) dan
sharh (tulisan yang bersifat penjelasan dan penghuraian), jika tidak pun dalam
penghasilan peribadi setiap tokoh ilmuwan pada setiap zaman, maka
sekurang-kurangnya dalam satu-satu komuniti ilmu yang wujud pada mana-mana era.
Sesungguhnya, kesepaduan pendekatan ilmiah di atas inilah yang dicontohkan
oleh Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad al-Ghazzali (wafat 505H/1111M)
lewat karya-karya utama beliau seperti Tahafut al-Falasifah dan Ihya’ ‘Ulum
al-Din.
Kesimpulannya, Islam dan segala yang terkait dengannya mengandungi
kedua-dua sisi: eksklusif (menolak apa yang patut ditolak) dan inklusif
(menerima apa yang wajar diterima). Justeru menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengekalkan kesepaduan
kedua-dua sisi hakikat yang dinyatakan di atas. Jika tidak, bukan sahaja langkah yang kita ambil ini akan tempang dan cacat
tetapi juga apa yang bakal kita capai kelak menjadi jauh tersasar daripada
matlamat.
WALlahu a‘lam!
Sumber : // http : www.ikim.gov.my/
Dewacintaqq agen poker online
BalasPadamDaftar : https://bit.ly/2TPlzGQ
Segera Bergabung Dengan Kami Dewacintaqq
Situs Agen Judi Poker Online Terpercaya di Indonesia..
kepuasan pelanggan adalah tujuan kami
Rekomdasi bandar Poker lainnya :
https://bit.ly/2U2Vtih
https://bit.ly/38K0xNW
https://bit.ly/2INfQeh
https://bit.ly/2We7ILE
https://bit.ly/2IN6NtC
https://bit.ly/3cX1yWi
https://bit.ly/2TPlzGQ
https://bit.ly/2w8PJM7
https://bit.ly/2Wne0cb