Khamis, 13 Ogos 2009

Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakit

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu memakai topeng muka sambil berdoa dijauhi wabak selesema babi, semalam.


Rasulullah ajar doa untuk kesejahteraan umat bukti Islam sediakan cara hidup sempurna

DEMAM, batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari ini disebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawa turut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkiti atau menyebabkan jangkitan.

Benar hanya Allah SWT yang menentukan sesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaan sama ada di dunia atau akhirat.

Justeru, dalam keadaan genting seperti hari ini, umat Islam perlu lebih tekun bertahajud dan berdoa (al-ma'thurat khususnya) seperti dilakukan Rasulullah SAW dan mengetahui cara hidup Islam sebenar, termasuk ketika menghidapi penyakit berbahaya.

Antara tanda awal selesema babi ialah demam diikuti selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Kebiasaan orang yang menghidap selesema akan bersin dan berasa tidak selesa. Memang ia agak menyukarkan, tetapi ajaran Islam menganjurkan umatnya supaya beradab ketika bersin seperti menutup mulut dan menahan suara supaya tidak terlalu kuat yang sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak penyakit.

Allah SWT menyukai bersin kerana orang bersin akan memuji-Nya. Dengan pujian itu, saudara atau sesiapa yang mendengar lafaz 'Alhamdulillah' yang diucapkan akan mendoakan kita dirahmati Allah kembali.

Bayangkan jika hanya seorang bersin dan ungkapan 'Alhamdulillah' didengari ramai orang, tentulah semua yang mendengarnya mendoakannya kembali dengan lafaz "Yarhamukallah'.

Berapa ramai yang mendoakan orang bersin dirahmati Allah? Dengan wabak yang menular, kita wajar saling mengingatkan mengenai penyakit itu, di samping mengambil langkah pencegahan agresif.

Kita juga perlu kembali kepada cara dan panduan dianjurkan agama dan tahu ungkapan yang disebut sesudah bersin adalah hikmah yang sungguh bermakna dan tidak menyamai ungkapan lain.

Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari maksudnya: "Jika seorang antara kamu bersin, hendaknya ia mengatakan Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah). Kemudian saudaranya atau temannya mengucapkan Yarhamukallah (mudah-mudahan Allah merahmatimu).

"Jika dia mengucapkan Yarhamukallah, maka ia mengucapkan Yahdikumullah wa yushlih balakum (mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk-Nya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu."

Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyintai bersin dan membenci menguap. Jika ada antara kamu bersin dan memuji Allah Azzawajalla, wajib bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan Yarhamukallah.

"Menguap berasal daripada syaitan. Jika ada antara kamu yang menguap, ia perlu menahan sekuat tenaga kerana jika menguap, maka syaitan akan mentertawakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Memang tiada sesiapa pun yang memuji Allah selepas menguap, malah kadangkala terlupa untuk menutup mulut, tetapi hakikat bahawa Allah menyukai bersin kerana ia akan memuji Allah, jika tidak ia tiada bezanya dengan menguap.

Bahkan orang yang mendengar sesiapa yang bersin dan tidak mengucapkan 'Alhamdulillah' tidak perlu mendoakannya atau mengucapkan 'Yarhamukallah'.

Rasulullah SAW turut menjelaskan hal sedemikian dalam sabda Baginda mafhumnya: "Jika seorang antara kalian bersin kemudian memuji Allah (hamdalah), maka doakanlah ia. Jika dia tidak memuji Allah maka jangan kalian mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Pernah berlaku satu keadaan di mana terdapat dua orang lelaki yang bersin di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda mendoakan salah seorang lelaki berkenaan. Kemudian orang yang tidak didoakan oleh Rasulullah itu bertanya kenapa Rasulullah tidak berbuat demikian kepadanya (iaitu berdoa), lalu Rasulullah menjawab: "Yang ini memuji Allah tetapi engkau tidak memuji Allah."

Selain memuji Allah SWT, perbuatan saling berdoa yang kita lakukan menunjukkan hubungan persaudaraan yang teguh dan manis, kasih sayang yang kuat dan utuh antara saudara seagama.

Begitulah cara hidup Islam, apa saja yang dilakukan terangkum dalam peraturan sempurna demi mendapat rahmat Allah yang turut merangkumi kesihatan yang sejahtera.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 12 Ogos 2009

Cintai Bendera Kebangsaan, Kibarkan Jalur Gemilang

Oleh Zulkiple Ibrahim

Sempena sambutan bulan Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ogos bagi rakyat Malaysia, ialah Bulan Kemerdekaan dan pada 31 Ogos, sebagai rakyat Malaysia mereka akan menyambut ulang tahun kelahiran negara ini di peta dunia sebagai sebuah negara yang merdeka daripada penjajahan.

Dengan pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan, beratus-ratus malahan beribu bendera kebangsaan Jalur Gemilang akan berkibaran di sepanjang jalan di bandar dan kota di seluruh negara serta juga di bangunan-bangunan termasuk kompleks membeli belah dan pejabat kerajaan.

"(Kadang-kadang) terkilan juga, ada juga rakyat Malaysia yang berasa bangga dengan bendera kebangsan pada musim perayaan Bulan Kemerdekaan sahaja," kata seorang kenalan penulis, Wee, yang berasal dari Kelantan.

Kenapa pula? tanya penulis.

"Pada masa-masa yang lepas, ada di antara kita yang begitu bersemangat mengibarkan bendera kebangsaan. Kemuncaknya ialah pada 31 Ogos. Tapi apa jadi selepas itu?

"Setelah selesai upacara sambutan, bendera-bendera (kebangsaan) yang kecil dibiarkan bertaburan terutama yang dilekatkan di atas bumbung kereta dan tercabut. Bendera di atas bangunan dibiarkan lusuh hingga koyak disebabkan cuaca di Malaysia. Bendera ini dibiarkan sebegitu rupa hinggalah musim perayaan tahun depan bila ia ditukar baru.

"Sepatutnya kita bangga dengan bendera kebangsaan kita setiap masa. Bagi rakyat Malaysia, kita patut bersikap patriotik sepanjang masa dan bukan mengikut musim," kata Wee.

Kata-kata itu membuatkan penulis terdiam dan memikirkan senario yang beliau maksudkan.

PATRIOTISME

Kemudian, pada malamnya. Satu iklan tentang Hari Merdeka di telivisyen, menarik perhatian penulis.

Iklan itu menunjukkan seorang penunggang motosikal lelaki separuh umur mencari perlindungan dari hujan lebat. Beliau yang basah kuyup, kemudian berlindung di satu perhentian bas yang turut ditumpangi beberapa anak muda lelaki.

Lelaki separuh umur tadi kemudian terlihat sehelai Jalur Gemilang yang diterbangkan angin dari sebatang tiang berdekatan, ke tengah jalan sebelum terdampar di atas permukaan konkrit dalam hujan lebat itu.

Walaupun beliau nampak sebuah kereta menuju ke arah bendera itu, lelaki berkenaan berlari untuk 'menyelamatkan'nya. Anak muda yang berlindung di situ hanya memerhatikan sahaja.

"Begitulah hendaknya. Kita sebagai rakyat Malaysia, mestilah menghormati, menghargai dan sanggup berjuang untuk mempertahan Jalur Gemilang walau di mana saja", kata Kapten (bersara) Abu Bakar Ibrahim memberi komen mengenai iklan itu.

JALUR GEMILANG

Menurut Arkib Negara, corak bendera Persekutuan Tanah Melayu direka oleh Mohamad Hamzah, arkitek jabatan kerajaan di Johor.

Pada 19 Mei 1950, King George VI memberikan persetujuan beliau terhadap rekaan bendera itu.

Bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Selangor disaksikan Raja-Raja Melayu dan wakil King George VI.

Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia bermakna bendera kebangsaan harus diubahsuai dari segi coraknya.

Bendera Malaysia dikibarkan secara rasminya dengan lahirnya negara Malaysia pada 16 Sept 1963.

Jalur Gemilang sebagai nama bendera Malaysia diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40 di Dataran Merdeka.

Perkataan Jalur menggambarkan bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih (melambangkan empat belas negeri di Malaysia).

Jalur ini juga menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dipegang oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Perkataan Gemilang bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.

Bendera Malaysia Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa jua bidang kehidupan sekali pun di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, dengan penuh tekun, patriotik, kuat dan bersemangat, demi bangsa, negara dan agama.

"Sayangi dan hormati Jalur Gemilang di mana saja. Biarkan ia terus berkibar".

Sumber : http: //www.bernama.com/

Bahasa Melayu patut jadi ukuran perpaduan kaum

Oleh Teo Kok Seong


KEMAHIRAN menguasai bahasa Melayu di kalangan generasi muda pelbagai kaum boleh menjayakan konsep 1Malaysia.

Impian 1Malaysia sukar dicapai jika bukan Bumiputera masih lemah berbahasa kebangsaan

SEMINAR Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini antara lain bertujuan mencari kaedah supaya masyarakat Cina dapat memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, ia juga mendedahkan mengenai satu lagi isu penting berkaitan bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina iaitu tahap penguasaan yang amat rendah, khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan perkataan lain, generasi muda Cina didapati kurang atau tidak cekap menggunakan bahasa Melayu.

Walaupun ramai di antara mereka melalui sistem pendidikan nasional serta penghidupan ala-Malaysia sejak dilahirkan, penguasaan bahasa Malaysia mereka tidak pada tahap kecekapan yang sepatutnya. Malah, dalam hal ini, ada sebilangan belia Cina yang langsung tidak memahami bahasa Malaysia walaupun pada tahap daif iaitu dalam bentuk bahasa pasar. Oleh itu, mereka ini tidak boleh berbahasa kebangsaan langsung.
Banyak persoalan dapat ditimbulkan daripada perilaku kebahasaan negatif ini, khususnya apabila seorang warga negara itu dikehendaki memiliki kefasihan yang baik, atau sekurang-kurangnya sederhana baik sifatnya, mengenai bahasa kebangsaan tanah air dan tanah tumpah darahnya.

Antara soalan penting ialah apa yang sudah terjadi dengan pelbagai sumber untuk penguasaan bahasa Malaysia oleh golongan bukan Melayu, baik yang bersifat pedagogi dalam sistem pendidikan nasional mahupun yang bersifat ekologi yang cukup agam di merata tempat di Malaysia. Sumber ini sudah tentu dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, baik di sekolah atau di luar lingkungan sekolah.

Penguasaan bahasa Malaysia yang amat rendah, yakni pada tahap bahasa pasar saja, pada kebanyakan kesnya hanya memungkinkan masyarakat Cina menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengadakan perbualan asas dan tidak untuk menyampaikan konsep dan gagasan yang lebih kompleks selain menyatakan emosi, apabila berinteraksi dengan masyarakat Melayu selaku masyarakat induk di Malaysia, untuk tujuan integrasi atau tujuan lain.
Dengan kekangan begini yang membabitkan penguasaan hanya beberapa kosa kata asas serta cara penyampaian dalam bahasa Malaysia yang amat terhad, interaksi antara masyarakat Cina dengan masyarakat Melayu tidak mungkin dapat diadakan dengan berkesan, atau barangkali tidak wujud langsung dalam sesetengah kes.

Interaksi yang kurang berkesan atau tiada langsung ini, tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi amat buruk kepada perpaduan antara kaum yang ingin dicapai, khususnya melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

Dalam mempelajari bahasa Malaysia untuk tujuan penguasaan pada tahap yang lebih membanggakan selaku warga negara, masyarakat Cina perlu mengambil orientasi integratif. Antaranya untuk menjadi sebahagian penting daripada negara bangsa Malaysia dan bukan semata-mata atas orientasi instrumental yang menganggap bahasa kebangsaan sebagai satu subjek peperiksaan yang penting.

Dalam soal ini, masyarakat Cina perlu bertindak dalam cara yang lebih meyakinkan bahawa mereka sebenarnya mendukung kuat identiti nasional, melalui penganjuran penggunaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan, walaupun pada masa yang sama, mereka sebenarnya amat kuat melindungi bahasa dan budaya Cina pada kadar yang amat pesat.

Penggunaan bahasa untuk membentuk negara bangsa, yakni melalui promosi bahasa kebangsaan, adalah sesuatu sangat lumrah dalam sejarah dunia, dan memang didapati boleh membawa implikasi yang positif. Dalam konteks ini, selepas Malaysia terbentuk, maka pengisian seterusnya, antara yang terpenting dari dimensi kebahasaan adalah untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan, yang disatupadukan oleh sebuah bahasa sepunya, yang ikut berfungsi sebagai bahasa perpaduan.

Gagasan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan, yang bertindak sebagai bahasa perpaduan, tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan perpaduan kaum. Identiti nasional yang utuh, melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sudah tentu yang baik mutunya, pasti adalah satu petanda yang baik untuk kemajuan Malaysia dari pelbagai dimensi. Antara yang terpenting ialah khazanah budaya yang tersimpul dengan kuat melalui satu ikatan dalam formula 'kebudayaan kebangsaan', yang menjadi amalan setiap warga negaranya.

Sehubungan ini, masyarakat, baik Melayu atau bukan Melayu perlu menganggap bahasa kebangsaan lebih daripada sebuah lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan secara rutin, sering kali dalam bentuk bahasa pasar/jelek, oleh mereka yang memiliki bahasa yang tidak sama, apabila berurusan antara satu sama lain.

Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dituturkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada lingua franca. Bahasa Malaysia bahasa utama dan perlu digunakan dengan baik dan betul pada setiap masa, oleh semua pihak, antaranya untuk memberi maruah yang luhur kepadanya, sepadan dengan status kudus sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, masyarakat Cina, khususnya generasi muda perlu mempertingkatkan penguasaan mereka agar bahasa Malaysia yang digunakan tidak lagi boleh sekali-kali mengaitkan mereka dengan generasi nenek moyang mereka sebagai pendatang. Imej dan label pendatang yang rata-ratanya amat tidak disenangi oleh masyarakat Cina kini, lebih-lebih lagi generasi muda, perlu dikikis mereka sendiri. Antaranya, melalui penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak lagi memperlihat pengaruh bahasa ibunda yang terlalu kuat, dari pelbagai segi: sebutan, intonasi, campuran nahu dan lain-lain.

Dalam hal bahasa kebangsaan ini, masyarakat Cina perlu menonjolkan identiti nasional yang lebih menyeluruh sifatnya. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan yang baik atau tinggi mutunya. Penguasaan begini sudah tentu antara syarat penting untuk mewujudkan komunikasi/interaksi Cina-Melayu yang lebih berkesan, dalam konteks perpaduan kaum.

Yang lebih penting lagi sehubungan ini ialah penguasaan yang baik dan tinggi mutunya ini adalah satu aspek penting dalam nilai nasional Malaysia yang perlu dipertingkatkan oleh masyarakat Cina.

Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan adalah bahasa yang mewakili selain kepunyaan setiap warga negaranya. Adalah aneh jika masih ada walaupun seorang warga Malaysia dalam kalangan muda yang tidak boleh berbahasa Malaysia atau kebangsaan langsung, dan masih ramai, lebih-lebih lagi generasi muda yang tidak menguasainya dengan baik, selepas lebih setengah abad negara bangsa Malaysia dibina.

Marilah kita atasi masalah ini melalui nasionalisme 1Malaysia!. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.

Oleh Prof Dr Teo Kok Seong adalah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 11 Ogos 2009

Anwar Ridhwan diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10


PUTRAJAYA 11 Ogos - Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau dikenali sebagai Anwar Ridhwan diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika membuat pengumuman itu hari ini berkata, penyampaian anugerah tertinggi sastera negara itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 20 Oktober ini.

Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu pernah muncul dengan novel terkenalnya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa selain diadaptasikan ke pentas teater sebanyak 14 kali.

Sumber : http : //www. utusan.com.my/

Nota Hujung :

Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya .Beliau kemudiannya memperoleh ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP. Kini. Anwar bertugas sebagai Dekan di Fakulti Penulisan di ASWARA ( Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan).

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

INFO: Penerima Anugerah Sastera Negara

1 Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas (1981)
2 Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad (1982)
3 Allahyarham Datuk Dr Usman Awang (1983)
4 Datuk (Dr) A Samad Said (1985)
5 Allahyarham (Dr) Arena Wati (1987)
6 Prof Dr Muhammad Salleh (1991)
7 Datuk Nordin Hassan (1993)
8 Datuk Abdullah Hussain (1996)
9 Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan (2003).


Isnin, 10 Ogos 2009

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1 N1)

Tolong Basuh Tangan Dan Pakai Penutup Muka Anda

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Umum sudah mengetahui penularan virus H1N1 dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dilaporkan berkata selesema babi ini kini menjadi ancaman serius kepada negara.

Beliau menasihati orang ramai supaya mengambil tindakan pencegahan yang menyeluruh, selepas laporan kematian akibat influenza A H1N1 ini meningkat kepada 32 pada 10 Ogos.

Banyak sekolah, institusi pengajian tinggi, malah bank ditutup sementara kerana jangkitan H1N1.

Langkah pencegahan seperti membasuh tangan dan memakai topeng penutup mulut terutama bila hadir pada majlis umum hendaklah dilakukan, selain orang ramai di nasihatkan supaya menghindari tempat yang sesak.

PENUTUP MULUT

Namun antara mengetahui dengan mengamalkan langkah pencegahan, jauh berbeza, jika diperhatikan respons orang ramai.

Pada satu pesta ria makanan dan barangan di Kelana Jaya dekat sini 8 ogos lepas, orang ramai masih bersesak ke tempat itu, menunjukkan sambutan tidak berkurangan walaupun peringatan sudah diberi.

Namun mereka yang memakai penutup mulut atau topeng muka, boleh dibilang dengan jari.

"Tak seronoklah pakcik", jawab seorang remaja bila ditanya penulis kenapa dia tidak memakai topeng pelindung itu.

Dari situ, penulis meneruskan destinasi ke sebuah kompleks membeli belah di Bukit Raja Klang yang sedang menganjurkan karnival jualan.

Senarionya sama, tidak ramai pengunjung yang memakai topeng muka walaupun mereka yang memang jelas mengalami masalah batuk dan bersin.

"Dalam sehari saya kira hanya 10 orang daripada beratus-ratus orang yang berkunjung ke sini memakai topeng (muka)", kata seorang pengawal keselamatan di situ.

PENCUCI TANGAN

"Nanti takut pula pelancong asing nak datang kalau mereka tengok semua orang pakai topeng, rosaklah bisnes," kata seorang kenalan penulis, yang juga seorang ejen pelancongan bila ditanya tentang isu itu.

Sementara itu, sebuah pusat perubatan di sini menyediakan berpuluh-puluh botol pencuci tangan di depan pintu masuk ke lif dan wad di bangunannya.

Gel itu untuk digunakan pelawat serta petugas sebelum masuk dan keluar dari wad di pusat perubatan itu. Ini langkah pencegahan yang amat dialu-alukan dan orang ramai sendiri tentunya suka menggunakan kemudahan ini.

Beberapa sekolah di bandar raya ini juga mengedarkan topeng muka kepada pelajar terutama mereka yang menunjukkan gejala demam selesema.

SIKAP AMBIL MUDAH?

Tetapi enggan memakai topeng pelindung ketika H1N1 tengah melanda, adakah ia satu sikap mengambil mudah tentang risiko jangkitan?

Seorang pegawai perubatan berkata:

"Pada asasnya, sebenarnya tak semua orang perlu pakai topeng muka kecuali mereka yang mempunyai tanda dan gejala demam selesema.

"Batuk dan bersin tanpa menutup mulut dan hidung boleh menerbangkan virus kerana transmisi penyakit ini ialah melalui udara. Tetapi ramai yang batuk dan selesema gagal menutup muka mereka, oleh itu mereka yang sihat pun terpaksa pakai topeng muka.

"Ini berpunca daripada sikap sambil lewa orang ramai," katanya.

Kes kematian pertama disebabkan H1N1 di negara ini dilaporkan pada 21 Julai.

Kiranya belum terlewat, elok juga dicadangkan amalan memakai topeng muka ini dibudayakan dengan orang yang menghidap selesema dan batuk memakainya.

Maka tidaklah yang sihat yang perlu bersusah payah menutup muka dan menjadi "tidak seronok" atau "tidak selesa" memakainya setiap kali berada di khalayak ramai seperti yang dikatakan remaja tadi.

Sumber : http://www.bernama.com/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1 N1)

Pendekatan 'darurat kesihatan' sesuai kekang H1N1

PERKEMBANGAN mutakhir selesema babi atau Influenza A (H1N1) menunjukkan keadaan yang amat membimbangkan dengan jumlah kematian yang semakin meningkat saban hari.

Kebimbangan mengenai wabak maut ini lebih ketara apabila peningkatannya disebabkan oleh jangkitan tempatan dan bukan lagi diimport.

Lapan kematian dalam sehari seperti yang dicatatkan kelmarin adalah sesuatu yang menakutkan. Tidak pernah berlaku keadaan seumpama ini ketika wabak JE, SARS dan sebagainya sebelum ini.

Dari satu segi, keadaan ini menampakkan pihak berkuasa seolah-olah hilang kawalan. Tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan dan di mana hendak bermula.

Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah mengikut prosedur kesihatan antarabangsa sejak wabak ini dikesan di negara ini, namun keadaannya semakin teruk.

Bagi mengurangkan rasa panik rakyat, mereka sepatutnya tahu apa yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa kesihatan dan apa yang sepatutnya mereka sendiri lakukan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu bersikap telus kepada rakyat mengenai keadaan sebenar wabak ini dan membuat hebahan dari semasa ke semasa mengenainya.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil langkah-langkah drastik menangani wabak ini. Nasihat supaya rakyat tidak panik mungkin tidak memadai lagi.

Penularan wabak yang semakin serius dengan kematian meningkat setiap hari tidak boleh tidak menyebabkan rakyat panik dan inginkan jaminan konkrit daripada kerajaan tentang keselamatan mereka.

Dalam keadaan sekarang, mungkin bukan masanya untuk memikirkan kaedah jangka panjang menangani wabak berbahaya ini.

Sebaliknya langkah segera jangka pendek perlu dilakukan serta-merta. Kenal pasti kawasan wabak dan tutup semua premis. Adakan gerakan pembersihan besar-besaran bagi menghentikan penularan.

Pertingkatkan pengesanan wabak ini di pintu-pintu masuk ke negara ini. Aliran keluar masuk orang ramai melalui udara, laut dan darat perlu diteliti dan diperketatkan.

Wajibkan pengimbasan badan di semua pintu masuk, tempat-tempat awam, sekolah, hotel, tempat ibadah, pejabat, restoran, pasar raya, kilang dan lain-lain.

Dengan menerima hakikat bahawa wabak selesema babi di negara ini semakin serius, pihak berkuasa dicadangkan mengambil langkah berani dengan mengisytiharkan 'darurat kesihatan' bagi mengekang dan menangani epidemik ini dengan lebih berkesan.

Dengan pengisytiharan darurat, membolehkan Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Langkah ini mungkin memberi kesan negatif kepada pelaburan dan industri pelancongan negara, tetapi keselamatan rakyat dan kepentingan negara perlu diutamakan.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Ketawa berlebihan tabiat kaum munafik

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SETIAP insan sering berhadapan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud: "Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan." (Surah at-Taubah, ayat 82). Jelas daripada ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau. Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Sumber : http: //www.bharian.com.my/