Selasa, 13 Oktober 2009

Bahasa Malaysia: Sopan-Santun, Keindahan Dan Perpaduan

Oleh Zulkiple Ibrahim

Kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran bagi kepentingan Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan. Berikut ialah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenainya.

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bagi peminat filem klasik P. Ramlee, pasti masih segar dalam ingatan mereka satu adegan di dalam filem 'Seniman Bujang Lapok' di mana seorang jaga Benggali di studio filem Melayu Jalan Ampas, Singapura menegur Sudin kerana menggunakan bahasa yang agak kurang sopan bila bertanya tentang kekosongan kerja.

Watak utama, Ramlee, kemudian memarahi Sudin kerana mengajukan pertanyaan dengan cara kurang manis, sambil berkata "bahasa menunjukkan bangsa" dan orang Melayu memang terkenal dengan kesopanan dan kelembutan keperibadian mereka.

"Saya kira filem itu mahu menyampaikan mesej bahawa penggunaaan perkataan yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan perpaduan, nilai murni serta kesopanan.

"Penggunaan bahasa yang sopan dan hormat adalah penting sama ada dalam pertuturan atau bertulis. Bahasa itu akan mencerminkan kesopanan masyarakat yang menggunakannya," kata pengurus industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid.

Kata beliau apa yang P. Ramlee mahu sampaikan ialah masyarakat semestinya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum akan menghormati bangsa itu dan begitulah sebaliknya.

"Hormat terhadap sesuatu masyarakat terbit dari cara mereka menggunakan bahasa mereka," kata beliau.

Bagaimanapun, dengan adanya usaha untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan semua kaum di negara ini, bahasa-bahasa kaum lain tidaklah harus dipinggirkan.

Bagi ahli akademik Yahya Che Amat, Bahasa Kebangsaan ialah alat penting untuk memupuk perpaduan dan ini berkait rapat dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Mereka mungkin datang dari pelbagai kumpulan etnik, budaya, kepercayaan dan ideologi politik tetapi mereka akan tetap bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia".

Menurut Yahya, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri serta semangat sayangkan Bahasa Malaysia kerana rasa cinta dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan mempamerkan lambang patriotisme.

"Oleh itu, perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini boleh disemai dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Malaysia seperti yang digarapkan dalam gagasan 1Malaysia," kata beliau.

Tetapi dalam usaha menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu daripada bahasa utama di dunia, bahasa ibunda etnik lain juga tidak harus dipinggirkan, tambah beliau.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

Umum juga mengalu-alukan langkah kerajaan menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan.

Aktivis sosial Fatimah Mansur berkata ini memang sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

"Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) ialah Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967, juga di bawah Seksyen 5 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

"Ia juga selari dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan - Satu Negara, Satu Bangsa, Satu Suara yang diabadikan dalam gagasan 1Malaysia", kata Fatimah.

Menurut beliau semua Akta itu mengutamakan kepada penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam membentuk bangsa Malaysia.

Pensyarah dalam bidang perubatan Dr K. Ling bersetuju dengan pandangan ini.

"Saya telah merawat ramai pesakit daripada pelbagai golongan etnik dan yang datang dari jauh seperti dari Sabah dan Sarawak. Bila saya bertanya dan bercakap dalam Bahasa Inggeris, tak ramai yang faham. Dalam banyak kes, komunikasi cara sebegini adalah sukar dan tidak lancar.

"Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia lebih senang. Adalah baik jika kita menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia membolehkan semua kaum berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua", kata beliau.

BAHASA ADALAH JIWA BANGSA

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapan beliau ketika melancarkan sambutan peringkat kebangsaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching pada 6 okt lepas, berkata kerajaan mempunyai objektif membentuk satu Bangsa Malaysia yang bangga dengan Bahasa Malaysia sebagai identiti mereka.

"Mereka mestilah fasih dan bersedia untuk meletakkan kedudukan yang sesuai selain daripada bersedia mempromosinya (Bahasa Malaysia) di mana saja mereka berada," kata beliau.

Mulai tahun depan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober.

Menurut Muhyidin, aktiviti serta komunikasi Bahasa Kebangsaan akan dipertingkat dalam kalangan ramai.

Tema bagi sambutan tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa" yang juga merupakan moto Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956.

-- BERNAMA

H1N1: Ibu bapa mesti pantau kesihatan anak ambil SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meminta ibu bapa atau penjaga supaya memantau tahap kesihatan anak-anak mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mulai 19 November depan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jika pelajar yang mengambil SPM menunjukkan gejala penyakit serupa influenza (ILI), mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

"Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesihatan anak masing-masing supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan turut meminta kerjasama petugas yang mengawasi peperiksaan SPM supaya mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar yang sihat.

"Pelajar yang mempunyai gejala ILI dikehendaki memakai topeng muka dan hidung bagi mengelak jangkitan kepada pelajar lain," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata, seramai 152 pesakit baru ILI sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 146 pesakit kes itu dibenarkan keluar hospital hari ini.

Beliau berkata, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 666 orang dengan 27 pesakit adalah kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 27 pesakit Influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak lapan kes atau 30 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Menurutnya, jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini masih kekal 77 orang.

Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak Influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini.

Sumber : Bernama

Isnin, 12 Oktober 2009

Bencana alam, peringatan kepada manusia


PADA minggu lepas, dunia dikejutkan dengan beberapa peristiwa gempa bumi, tsunami dan taufan kencang di beberapa tempat berlainan di seluruh pelosok dunia yang berlaku hampir-hampir serentak.

Antaranya termasuklah gempa bumi di Padang, Indonesia dan beberapa kawasan di Pasifik Selatan (seperti Kepulauan Vanuatu dan Kepulauan Soloman), taufan kencang Ketsana dan Parma melanggar Filipina serta tsunami yang melanda Kepulauan Samoa.

Bagi negara jiran Indonesia, episod gempa di Padang hanyalah sebahagian daripada cerita-cerita musibah alam yang tidak pernah sunyi melanda negara paling banyak gunung berapi itu.

Dari peristiwa letupan Krakatau yang menggegar bumi Sumatera (bunyi letupan direkodkan hingga ke Timur Tengah) lebih satu abad lalu hinggalah selang beberapa tahun terkini yakni tsunami yang melanda Kepulauan Aceh.

Menariknya, ketika berlaku gempa bumi di Padang tempoh hari, negara kita yang sepatutnya terkeluar dari “kawasan merah” Lingkaran Api Pasifik ini turut merasai impaknya dengan beberapa tempat di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Putrajaya dilaporkan dapat merasakan gegaran kecil.

Lingkaran Api Pasifik atau “plat gempa Pasifik” adalah kawasan yang kaya dengan gunung berapi dan terkait dengan pelbagai kejadian gempa di mana sebenarnya Malaysia bukanlah sebahagian dari kawasan tersebut.

Ilmu manusia terlalu tipis

Dari kejadian-kejadian bencana luar biasa yang berturutan ini, saintis-saintis terkemuka serta-merta dituntut untuk melampirkan kefahaman ke seluruh jagat penduduk dunia. Malangnya, tidak ada yang mampu atau dapat memberikan sebarang kefahaman mutlak.

Seorang pakar geologi dunia memberi komentar bahawa adalah mustahil untuk mereka membuat kajian dan kesimpulan yang hampir tepat. Ini kerana, ia memerlukan rekod pola gempa bumi yang beratus tahun dan lengkap – tentunya tidak dipunyai oleh mana-mana manusia sekalipun.

Buat seketika jika kita merenung dan bermuhasabah diri, alangkah ceteknya ilmu kita berbanding Allah SWT! Benar sekali firman Allah di dalam al-Quran Karim yang antara lain bermaksud seandainya manusia dan jin bergabung dan cuba menembusi tujuh petala langit, tidak akan dapat menembusi walau satu lapis pun!

Ternyatalah keagungan Ilahi itu tiada taranya berbanding dengan ilmu manusia yang terbatas. Pengetahuan kita sendiri selama ini yang mana Malaysia sepatutnya selamat dari kesan gegaran gempa bumi, malahan kelihatan tidak boleh terpakai lagi.

Peringatan buat manusia

Sebagai orang Melayu yang dipasak oleh agama Allah, hendaknya kita jangan leka dan selalu-selalu berfikir dan mengambil peringatan daripada kejadian-kejadian alam ini.

Daripada segi saintifik, tentulah kita cuba mencari aspek rasional dan pemahamannya tentang apa yang menyebabkan peristiwa-peristiwa sebegini berlaku. Misalannya seperti penjelasan pergerakan plat tektonik dan lain-lain keterangan.

Namun dari aspek rohaniah, mungkinkah kita harus terfikir yang ia sebahagian daripada peringatan Allah juga buat kita yang kemungkinan terlalu leka dengan nikmat duniawi? Sesungguhnya terdapat 1,001 hikmah di sebalik kejadian dan takdir-Nya jika kita benar-benar mahu berfikir.

Peringatan Allah itu boleh juga berlaku jika kita sendiri melakukan kerosakan pada alam. Tentu ada yang masih ingat beberapa kejadian tanah runtuh di ibu negara seperti Bukit Antarabangsa tidak lama dahulu? Dan ia berlaku gara-gara ketamakan, kerakusan dan sikap ambil mudah manusia terhadap alam.

Demikian pula apabila kita leka tanpa “berjiwa Islam” dan mendambakan sifat-sifat mazmumah seperti rasuah, tidak mengamalkan ibadah dan mentauhidkan-Nya serta pengamalan zina dalam masyarakat. Tanpa perlu ada undangan, akan sampailah “pengajaran halus” dari Yang Maha Esa!

Justeru, ambillah peluang ini untuk memperbaiki diri dan menjadi hambanya yang lebih baik dan bertakwa.

Dalam masa sama, kita jangan lupa tanggungjawab membantu sesama saudara seagama dan sebangsa kita di Padang. Di sebalik segelintir orang kita yang sedikit ‘terluka’ dengan isu tarian Pendet yang dimainkan oleh media Indonesia, jangan kita abaikan nasib sebahagian saudara di Indonesia yang tidak bersetuju dengan tindakan kurang ajar sejumlah kecil rakan-rakan mereka yang mudah dipermainkan sentimen akhbar yang mungkin ada kepentingan dan muslihat tertentu.

Janganlah hendaknya kita dipermainkan rentak “musuh dalam selimut” yang tidak pernah mahu melihat umat Islam bersatu padu dan kembali kepada ajaran-Nya yang mutlak dan hakiki.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan

Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Ahad, 11 Oktober 2009

Tingkatkan keyakinan terhadap bahasa Melayu

Oleh DR. SHARIFUDIN LUBIS

DUA peristiwa besar berkaitan bahasa Melayu telah berlaku dalam tempoh dua minggu yang lalu. Pertama, di Johor Bahru telah bergema laungan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Kedua, di Kuching telah dilancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan seterusnya menjadikannya bahasa dunia perlu bermula dengan niat yang luhur dan tulus. Kita perlu yakin bahawa bermula amal adalah dengan niat. Setiap anggota masyarakat perlu fokus bahawa perjuangan bahasa adalah demi bahasa dan bangsa. Jika dicampuradukkan dengan agenda yang lain, maka akan tercemarlah amal perjuangan itu kelak.

Keadaan inilah yang telah berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga memperlihatkan sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu. Sewaktu di Johor Bahru itu, dua kejadian kebetulan sempat dialami oleh penulis. Pertama, terserempak dengan seseorang yang kelihatan seperti tokoh korporat di dalam lif sewaktu menuju tempat persidangan.

Beliau terperanjat dan kagum apabila dimaklumkan bahawa persidangan itu dihadiri oleh beberapa sarjana termasuk dari Rusia, China, dan Jepun yang membentangkan makalah mereka dalam bahasa Melayu.

Kedua, terdengar seseorang merungut bahawa terdapat beberapa tokoh dan pejuang bahasa Melayu tempatan yang banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka.

Kedua-dua kebetulan ini memperlihatkan masalah krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu yang dialami oleh masyarakat negara ini sehingga menimbulkan banyak situasi 'cakap tidak serupa bikin'. Keadaan sedemikian menjadi salah satu punca bahasa Melayu dicemuh dan diperlekeh.

Satu lagi punca hilang keyakinan itu adalah berkaitan dengan cara pengayaan korpus bahasa Melayu yang membabitkan kosa kata dan penciptaan istilah. Dari segi kosa kata, fenomena bahasa rojak seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu kekurangan perkataan untuk digunakan sekalipun dalam keadaan yang tidak rasmi.

Satu lagi korpus yang telah dibangunkan dengan begitu dinamik sekali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, dan oleh sarjana-sarjana bahasa Melayu amnya ialah dari segi peristilahan.

Walaupun sudah hampir satu juta istilah diwujudkan meliputi semua bidang tamadun dunia dan teknologi terkini, masyarakat pengguna masih gagal memanfaatkannya sehingga timbulnya dasar PPSMI dahulu.

Namun demikian kini kedengaran pula suara-suara sumbang mengatakan bahawa kekayaan istilah bahasa Melayu itu adalah hasil pinjaman bahasa Inggeris. Mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris yang hendak diagung-agungkan itu meminjam lebih 60 peratus bahasa Latin.

Dengan penangguhan pemansuhan PPSMI ke tahun 2012, masa yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh agensi bahasa, sarjana bahasa, dan masyarakat negara ini untuk membina semula keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa dunia sekali gus.

Persidangan di Johor Bahru itu mencatatkan rekod kewujudan 129 pusat yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di seluruh dunia. Semuanya menanti untuk mengeksploitasi kekayaan khazanah bahasa Melayu yang tidak disedari oleh masyarakat penuturnya sendiri.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,

Universiti Putra Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Sabtu, 10 Oktober 2009

Bahasa Melayu sebagai petunjuk tamadun

Oleh Anwar Ridhwan

Ilmuwan harus sahut cabaran hasilkan karya ilmiah bermutu tinggi untuk rujukan

CABARAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar ilmuwan Malaysia menghasilkan karya ilmiah bermutu tinggi (Berita Harian, 7 Oktober), kena pada masa dan wajar disambut. Bola kini berada di gelanggang ribuan ilmuwan yang berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta, institusi penyelidikan dan pengembangan, serta yang bergerak sendirian.

Kuantiti dan kualiti penerbitan ilmiah dan penerbitan untuk bacaan umum di sesebuah negara selalunya dijadikan petunjuk tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat hari ini tidak saja 'melihat' tamadun masa lampau berdasarkan tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur wujudnya tamadun Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok Besar; tamadun Mesir kerana Piramid dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di Semenanjung Yucatan. Akan tetapi yang lebih penting daripada itu ialah tinggalan dalam bentuk teks persuratan dalam pelbagai jenis tulisan, termasuk pictographs dan ideograms.

Cabaran Timbalan Perdana Menteri itu ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 tentulah ada kaitannya dengan karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa Melayu. Pastilah beliau secara yakin menyedari tamadun rantau ini amnya dan Malaysia khasnya, yang berpaksi pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Mutakhir juga beliau sering berbicara mengenai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, termasuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012. Dapat juga diduga beliau meyakini bahawa bahasa Melayu akan menjadi lebih dinamik, relevan dan bermartabat sekiranya menjadi bahasa ilmu tinggi. Dalam konteks inilah cabaran itu dizahirkan dan sewajarnya disambut oleh ilmuwan. Ciri bahasa moden, termasuk bahasa Melayu, ialah kemampuannya untuk menjadi bahasa ilmu.

Ada empat elemen yang biasanya dikaitkan dengan bahasa. Elemen itu ialah bahasa yang didengar, bahasa yang dituturkan, bahasa yang ditulis dan bahasa yang dibaca. Ketika zaman primitif, dan pada ketika sesuatu bahasa dituturkan oleh kelompok terpencil, hanya dua elemen bahasa saja yang hidup iaitu bahasa dituturkan dan bahasa yang didengar. Keperluan ilmu pengetahuan yang lebih canggih, yang mendorong kemunculan sesuatu tamadun, memerlukan dua elemen bahasa lagi iaitu bahasa yang ditulis, dan bahasa dibaca.

Tulisan kuno, pictograph, ideograms, rumi, jawi dan sebagainya sudah mentransformasi sesuatu idea yang abstrak dan berada dalam dunia fikiran, menjelma sebagai aksara dan wacana yang boleh dibaca dan difahami. Pangkal tamadun memerlukan pemikir yang boleh mencipta aksara, guru yang mengajar dan murid yang mempelajarinya. Aksara dan wacana sudah berperanan meluahkan sesuatu catatan atau pemikiran yang mudah, hinggalah kepada penzahiran idea serta pemikiran yang kompleks. Demikianlah proses tamadun itu berkembang dan menjadi perkasa.

Tamadun Malaysia kini terus memerlukan keempat-empat elemen itu bagi bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan. Sehubungan itu, mutu bahasa Melayu yang didengar, dituturkan, ditulis dan dibaca mestilah memperlihatkan peningkatan. Hal ini, lebih mendesak dewasa ini, ketika perkembangan bahasa Melayu sedang menghadapi ancaman. Akan tetapi kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu mutakhir ini harus juga dilihat sebagai suatu peluang keemasan, terutama oleh institusi yang dipertanggungjawabkan mengembangkan bahasa Melayu.

Sebelum membicarakan aspek penerbitan dalam bahasa Melayu yang menjadi petunjuk tamadun, yakni merujuk bahasa Melayu yang ditulis dan yang dibaca, wajar juga disentuh mengenai bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar. Seperti dinyatakan, bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, terutama dalam situasi rasmi, wajar memperlihatkan peningkatan mutu. Harapan ini sejajar dengar taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan.

Akan tetapi mutakhir ini, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak rasmi, mutu bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, amatlah mengecewakan. Timbullah istilah 'bahasa rojak' dan sebagainya. 'Bahasa rojak' ini turut dipindahkan ke atas pentas, di rostrum ucapan dan diudarakan dalam penyiaran elektronik seperti radio dan televisyen. Akibatnya, bahasa Melayu tidak ditampilkan dengan citra yang baik dan yang sepatutnya. 'Bahasa rojak' terjadi kerana kelemahan penuturnya menguasai kosa kata, diksi dan aturan berbahasa dengan baik, bukan kelemahan bahasa Melayu itu sendiri.

Bahasa Melayu juga kerap kali dipinggirkan dalam ucapan atau acara yang sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan ini. Tokoh pemimpin pernah melakukannya. Agensi kerajaan pernah melakukannya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pernah melakukannya. Pihak swasta pula memang tampaknya agak tidak menghiraukan bahasa kebangsaan kerana kurangnya peraturan serta pengawalan, serta tidak diberi contoh teladan yang boleh ditiru. Gejala ini wajar diperbaiki dan dihindari, bagi menjaga taraf dan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Lebih daripada bahasa yang dituturkan dengan baik dan didengar, bahasa Melayu memerlukan kepustakaan ilmu yang luas. Dalam hubungan inilah cabaran Timbalan Perdana Menteri itu dilontarkan ke tengah gelanggang ilmuwan.

Menurut perangkaan Perpustakaan Negara Malaysia, kebelakangan ini jumlah buku judul baru yang diterbitkan di Malaysia ialah antara 8,000 hingga 10,000 judul setahun, mengalami tahun pasang-surutnya. Jumlah ini meliputi semua buku untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa serta buku ilmiah dan bacaan umum. Daripada jumlah itu, jumlah buku ilmiah bermutu tinggi amat kecil bilangannya. Dalam penilaian memilih buku ilmiah terbaik, termasuk Anugerah Akademik Negara yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, saingan karya ilmiah terbaik amat kecil dan tidak pernah sengit.

Jumlah penerbitan buku negara ini sewajarnya mencapai panduan umum sejagat, iaitu sekurang-kurangnya pada nisbah 0.01 peratus daripada jumlah penduduk. Dengan penduduk Malaysia dianggarkan 26 juta jiwa, maka judul buku baru setahun wajar mencapai 26,000 judul, bukan 10,000 judul seperti sekarang.

Dari manakah jumlah 26,000 judul baru itu, yang setengah daripadanya patut menjadi buku ilmiah boleh diperoleh? Dengan ada 20 IPTA, puluhan pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu dan ratusan IPTS peringkat kolej, kolej universiti dan universiti, jumlah 26,000 judul baru itu boleh dicapai sekiranya kebanyakan staf akademik dan penyelidik menerbitkan karya ilmiah mereka, setiap satu atau dua tahun. Malangnya kebanyakan mereka tidak menulis!

Gejala ini sewajarnya menggerakkan suatu kebangkitan kolektif bagi menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri itu. Sepatutnya pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit universiti, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu, penerbit swasta dan pihak berkepentingan lain, segera duduk semeja menentukan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menerbitkan karya ilmiah bermutu tinggi. Sebelum tahun ini berakhir, pelan strategik penerbitan ilmiah wajar diumumkan untuk pengetahuan ramai.

Hal ini penting kerana massa perlu melihat kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Jika selama ini mereka boleh membaca buku ilmiah mengenai pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Inggeris, maka hasil pelan strategik itu nanti mestilah membolehkan mereka membaca pelbagai buku ilmiah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu.

DBP sering mencanangkan bahawa mereka sudah mencipta kira-kira sejuta istilah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu. Akan tetapi peristilahan saja belum mencukupi bagi menyuburkan penulisan dan penerbitan karya ilmiah bermutu tinggi. Justeru, pelan strategiknya wajar turut mengambil kira latihan yang sistematik dan tekal dalam usaha memberi kursus bahasa dan laras bahasa, melatih penulis, editor umum dan editor bidang, pereka, ilustrator dan sebagainya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sedang berada dalam kedudukan genting dan mencemaskan. Kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri bukan saja melontarkan cabaran, malah memberi 'peluang kedua' untuk bahasa Melayu bangkit mengisi kepustakaan ilmu moden. Harapannya, karya ilmiah bermutu tinggi terus menjadi petunjuk kepada pengembangan tamadun dan dinamika bahasa Melayu itu sendiri.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)


Sumber: //www.bharian.com.my/

Azmah Nordin penerima S.E.A. Write Awards

BERPULUH-puluh tahun mengabdikan diri dalam bidang penulisan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui. Namun di sebalik perit getir menjadikan bidang penulisan sebagai keutamaan akhirnya terbayar apabila ada pihak yang menghargai usaha yang dicurahkan selama ini.

Sudah pasti segala keperitan selama ini terbayar apabila ada pihak yang nampak bakat dan usaha gigih yang tak pernah berkesudahan dalam memartabatkan bidang penulisan.

Biarpun ada yang memandang sinis dan mengatakan bidang penulisan sebagai bidang picisan tetapi hakikat itu sama sekali tidak benar dan bidang penulisan masih lagi berada dalam kelasnya yang tersendiri sehingga hari ini.

Pelbagai pihak juga memandang tinggi penulis tanah air dengan mewujudkan pelbagai anugerah kepada penulis tanah air sehingga ada yang diberikan gelaran Sasterawan Negara.

Kali ini Azmah Nordin telah membuktikan bahawa dia sememangnya layak digelar writer of the year kerana dianugerahkan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards 2009) bagi negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sekretariat tetap S.E.A. Write Awards bagi negara ini dan majlis penganugerahan itu telah berlangsung pada 4 hingga 10 Oktober lalu sempena Minggu S.E.A. Write Awards di Bangkok, Thailand.

Pada malam gala yang diadakan di Hotel Royal Ballroom, Bangkok itu, Azmah telah menerima anugerah tersebut daripada Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn.

Menariknya Azmah diterbangkan ke Bangkok oleh Thai Airways International dan menginap di The Oriental Hotel Bangkok sepanjang minggu selain menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 7,000.

Jika disorot kembali sejarah S.E.A. Write Award ini merupakan anugerah yang diberikan pada setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara.

Anugerah ini diberikan kepada penulis dari negara ASEAN walaupun bukan semua negara dalam ASEAN menghantar wakil setiap tahun. Anugerah ini kadang kala diberikan melalui hasil tulisan khas penulis atau pencapaian sepanjang hayat. Ini termasuklah dalam pelbagai disiplin seperti puisi, cerpen, novel, drama, cerita rakyat dan pengajian dan keagamaan.

Azmah anak kelahiran Kulim, kini bermastautin di Sabah, Azmah mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dengan menghasilkan karya dalam bentuk cerpen dan novel.

Sejak tahun 1987, Azmah sudah menghasilkan 48 buah novel termasuklah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa sehingga hari ini dan pelbagai anugerah yang telah diterimanya.

Kehebatan penulisan Azmah tidak hanya terletak pada novel semata-mata, malah terdapat tiga kumpulan cerpen yang telah diterbitkan oleh DBP termasuklah Singkowoton (1994), Wizurai (1997) dan Kasih Seputih Seroja (2001).

Sebanyak 22 antologi cerpen pilihan juga telah diterbitkan sejak tahun 1989 dan Azmah juga aktif menghasilkan cerpen yang diterbitkan dalam majalah dan surat khabar.

Antara cerpen yang dihasilkan termasuklah Kurnia, Lukah, Hati Seorang Ibu, Tembusu, Singkowoton, Diulit Gelombang, Putut, Cermin dan banyak lagi.

Sepanjang penglibatan beliau dalam arena penulisan tanah air, Azmah juga pernah memenangi dan menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (1996/1997, Menongkah Arus dan Permainan Kematian), Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (2000/2001, Kasih Seputih Kemboja) dan banyak lagi.

Bagi Azmah, anugerah yang diterimanya ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna kepada semua penulis negara ASEAN dan sudah pasti dia bersyukur kerana terpilih untuk menerimanya.

Jelasnya lagi, beliau sangat berterima kasih kepada mentornya yang berada di DBP dan seluruh institusi pengajian tinggi di seluruh negara yang selama ini banyak memberikan galakan dan tunjuk ajar.

Menyingkap sejarah lalu, 22 tahun yang lalu Azmah datang ke DBP dengan hanya berbekalkan doa keluarga dan semangat untuk menjadi penulis kreatif dengan menyertai bengkel- bengkel yang dianjurkan.

Sudah pasti selepas 22 tahun bertungkus lumus, penerima S.E.A. Write Awards 2009 ini begitu teruja kerana diberi pengiktirafan setinggi itu.

Azmah juga menganggap bidang sastera adalah 'penulisan berlian' dan sudah pasti anugerah S.E.A. Write Awards adalah 'Anugerah Berlian' dan hanya insan yang bertuah sahaja dapat memilikinya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Martabatkan bahasa jiwai bangsa




MEMINJAM semangat Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, kita kena realistik untuk memastikan kedudukan dan masa depan bahasa Melayu terbela tidaklah semudah meletakkan kepada tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak terutama sekali kalangan ahli politik Melayu.

Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuching minggu lalu boleh dianggap anjakan yang memberi harapan kepada bahasa Melayu. BBK tahun ini memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Dengan itu gerakan yang menjurus kepada agenda bahasa Melayu mesti diteruskan tanpa ada kerisauan menimbul tanggapan rasisme oleh kaum lain.

Keseriusan Muhyiddin bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu perlu dimanfaatkan untuk mengembleng usaha mengangkat kembali bahasa Melayu yang telah dipijak secara terhormat dan juga secara paling hina. Bulan Bahasa Kebangsaan sudah pasti bukan sekadar program bahasa yang memenuhi kalendar aktiviti sahaja. Sebaliknya Bulan Bahasa Kebangsaan mesti memancarkan keyakinan baru tentang bahasa Melayu.

Bahasa Melayu tidak menjadi bahasa ilmu sebelum ini kerana ilmu dalam bahasa lain tidak diterjemahkan secara konsisten kepada bahasa Melayu. Kalau kedai-kedai buku besar di Kuala Lumpur boleh dijadikan satu penanda aras terjemahan kita, carilah buku-buku ilmu dalam bahasa Melayu. Buku dalam bahasa Melayu hanya berada di sudut yang tercorot, jumlahnya kecil berbanding lambakan buku bahasa Inggeris dan Cina. Adakah senario ini memperlihatkan kedai buku besar ini tidak memberi laluan kepada buku ilmu sememangnya tidak banyak buku terjemahan kepada bahasa Melayu?

Puisi Keranda 152 tulisan Allahyarham Usman Awang mesti dibaca semula bagaimana ledakan kebahasaan masa lalu melihat masa depan bahasa Melayu yang berlaku pada hari ini. Malah kena hayati juga slogan keramat Bahasa Jiwa Bangsa yang telan dimandulkan oleh kuasa politik Melayu sendiri.

Tinggi

Kedudukan tinggi bahasa Melayu dalam Perlembagaan telah ditelan oleh arus gelombang politik Melayu sendiri yang tidak mengendahkan bahasa ini. Bahasa Melayu tidak lagi menjadi faktor untuk menentukan jatuh bangun politik Melayu kerana politik Melayu dikuasai oleh ekonomi. Tetapi yang ironinya orang Melayu masih lagi kecil dalam penguasaan ekonomi.

Jangan meletakkan kelemahan kepada DBP saja apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kelas tiga di negara ini. Sebaliknya mereka yang menggerakkan gelombang politik Melayu yang lebih mempunyai ruang dan kuasa untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu di tempat selayaknya.

Pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris hanya satu isu saja dalam menentukan jangka hayat bahasa Melayu. Suatu yang paling memalukan kalangan politik Melayu apabila mereka gagal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Mengangkat kedudukan bahasa Melayu yang dipijak sekarang ini bukanlah mahu mengambil kedudukan bahasa lain tetapi meletakkan semula bahasa Melayu dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu adalah bahasa warganegara di negara ini, bukan bahasa milik orang Melayu saja.

Perlembagaan yang menyebut tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan digubal dan diluluskan oleh satu pihak. Maknanya selepas disebut dalam Perlembagaan, itu adalah persetujuan dan kesepakatan bersama oleh pelbagai kaum di negara ini. Maka yang ditekankan dalam BBK atau Bulan Bahasa Kebangsaan akan datang adalah memahami kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.

Ada kalangan orang politik Melayu yang sewenang-wenang menakut-nakutkan rakyat khususnya orang Melayu bahawa kemajuan datang dengan bahasa Inggeris. Untuk menyokong hujah itu mereka pun menudinglah kepada sekian banyak tokoh korporat yang berjaya dengan penguasaan bahasa Inggeris. Tetapi mereka lupa bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah meminggirkan bahasa Inggeris. Sebaliknya tumpuan kepada bahasa Inggeris yang meminggirkan bahasa Melayu.

Suatu yang sangat tidak adil apabila pejuang bahasa Inggeris menganggap pejuang bahasa Melayu sebagai "cauvinis". Perjuangan memartabat bahasa Melayu tidak ada kena mengena dengan kaum, ini agenda perjuangan semua rakyat. Apabila bercakap mengenai perpaduan, bahasa kebangsaan adalah jambatannya. Tetapi sesetengah pihak seolah-olah mahu membina perpaduan tanpa membina jambatan antara kaum.

Penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan harus bertolak daripada premis bahawa bahasa Melayu menjadi kata kunci kepada perpaduan kalangan pelbagai kaum. Bahasa Melayu menjadi kata kunci kepada segala usaha menangkis prasangka antara kaum terutama apabila melibatkan soal bahasa dan budaya. Sementara kalangan orang politik Melayu harus memanfaatkan gelombang yang ada untuk menyakinkan bahawa memartabatkan bahasa Melayu tidak memufliskan negara ini.

Pejuang bahasa sejak generasi Usman Awang, Ashraf hingga sekarang ini tidak pernah jemu menggerakkan usaha menyelamatkan bahasa Melayu. Biar pun sering dianggap "cauvinis bahasa" mereka terus percaya bahawa persetujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan satu kesilapan generasi lampau. Cuma semangat kental mereka wajar disokong secara bersungguh-sungguh oleh penggerak gelombang politik Melayu. Mereka perlu membaca kembali slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang tidak pernah lupus jangka hayatnya.

Sumber :http://www.utusan.com.my/