Rabu, 21 Oktober 2009

Pemansuhan PPSMI muktamad, pastikan MBMMBI berjaya

TAN Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menegaskan bahawa keputusan pemansuhan PPSMI adalah muktamad. Kenyataan itu sekali gus menolak desas-desus bahawa kerajaan masih belum 'tetap hati' berhubung keputusan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tersebut.

Malah Muhyiddin turut menegaskan bahawa pemansuhan PPSMI itu mungkin akan dipercepatkan.

Tarikh yang ditetapkan sebelum ini ialah pada 2012. Namun jika tiada aral, ia mungkin akan dipercepatkan kepada 2011.

Bagaimanapun seperti kata Menteri Pelajaran itu, segala-galanya bergantung kepada kesediaan semua pihak dalam semua aspek sebelum PPSMI dimansuh dan digantikan dengan dasar baru - Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ia memberi gambaran bahawa kerajaan tidak mahu sekali lagi terjerumus ke dalam ketidakpastian apabila sesuatu dasar diperkenalkan. Kerajaan tidak mahu 'kegagalan' dasar PPSM berulang.

Pelaksanaan dasar baru itu diharap berjaya dan memberi manfaat kepada semua. Paling penting MBMMBI mampu merealisasikan cita-cita kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya, sesuatu dasar itu memerlukan perancangan, penelitian dan persediaan rapi.

Ia tidak boleh dilakukan secara sambil lewa atau tangkap muat semata-mata. Pelaksanaan MBMMBI perlu mengambil kira pelbagai perkara.

Jumlah guru yang mencukupi selain kesediaan kurikulum dan buku teks untuk mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris merupakan kemestian utama.

Seperti kata Muhyiddin, pelaksanaan dasar baru MBMMBI itu bakal menyaksikan penyediaan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru baru bahasa Inggeris.

Jumlah tersebut bukannya sedikit dan ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Kerajaan perlu mengambil pengajaran daripada pelaksanaan PPSMI. Tempoh yang singkat antara perancangan dan pelaksanaan - hanya enam bulan - menyebabkan banyak kecacatan timbul selepas itu.

Banyak kelemahan di sana dan di sini. Walaupun tujuannya sangat baik namun kurang persediaan menyebabkan PPSMI menjadi 'kurang menarik'.

Dan jika semua perkara dapat disediakan sebelum akhir tahun depan, tidak mustahil untuk MBMMBI dilaksanakan pada Januari 2011.

Ia awal setahun daripada tarikh awal rancangan pemansuhan PPSMI tersebut.

Namun sekiranya persediaan itu gagal disempurnakan pada akhir 2010, maka kerajaan akan melaksanakan dasar MBMMBI tersebut seperti perancangan awal iaitu pada 2012.

Bagaimanapun bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pemansuhan PPSMI kekal pada 2012. Keputusan itu juga dibuat selepas kerajaan mengambil kira semua perkara.

Apa yang pasti pemansuhan PPSMI adalah muktamad. Ia tidak perlu diragui lagi. Ia tidak perlu diperdebatkan lagi.

Kita harap selepas ini tidak ada mana-mana pihak yang cuba menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi juara di mata rakyat.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10



KUALA LUMPUR 20 Okt. - Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan, 60, atau nama penanya Anwar Ridhwan diumum sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-10.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah tersebut kepada tokoh sastera dan bahasa itu yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Turut berangkat pada majlis yang diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan dekat sini malam ini ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Pemilihan tersebut membolehkan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 serta pelbagai kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera.

Kerajaan turut membeli 50,000 naskah karya beliau untuk diedarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah tersebut di sini malam ini, Muhyiddin berkata, pemilihan Anuar berdasarkan sumbangan kreatif dan kesan pemikiran sehingga membentuk tradisi persuratan tersendiri bagi masyarakat negara ini.

Beliau berkata, ketegaran dalam mendalami dan mempertahankan nilai pembinaan negara bangsa yang diperjuangkan menjadi penilaian utama ahli panel untuk memilih penerima anugerah.

''Di samping itu, komitmen sasterawan dalam kegiatan sastera secara berterusan sehingga membentuk tradisi persuratan yang tersendiri serta didukung dan diteruskan oleh generasi penulis juga dijadikan asas penilaian," katanya.

Beliau berkata, pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam berterusan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.

Berikutan itu kata beliau, sebagai tanda penghargaan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan jumlah ganjaran daripada RM30,000 kepada RM60,000.

Muhyiddin juga menyarankan agar penterjemahan karya Sasterawan Negara dan karya-karya besar yang lain diusahakan dengan lebih terancang.

Menurutnya, akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga perlu memberikan ruang lebih luas kepada penyiaran tulisan-tulisan ilmiah berkaitan sastera.

''Karya-karya ini boleh disiarkan di akhbar-akhbar vernakular dan diuar-uarkan di media baru sebagai salah satu kaedah pengembangan dan pemasyarakatan sastera kebangsaan sekali gus mengukuhkan lagi semangat perpaduan 1Malaysia," katanya.

Anuar yang dilahirkan pada 5 Ogos 1949, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya sebelum memulakan tugas sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bersara selaku Pengarah Penerbitan pada tahun 2005.

Antara cerpen beliau yang popular ialah Parasit, Sesudah Perang, Sangkar dan Dunia Adalah Sebuah Apartmen manakala drama pula seperti Orang-orang Kecil serta Yang Menjelma dan Menghilang.

Novel terkenal beliau ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Ogonshoto.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Dasar ganti PPSMI 2011

Pelaksanaan martabat BM, perkukuh BI murid Tahun Satu dipercepat setahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata pelaksanaan lebih awal MBMMBI bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bergantung kepada beberapa faktor.

Antaranya, bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan MBMMBI untuk murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat pula bermula 2012 untuk membolehkan kementerian membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran. Beliau turut menegaskan walaupun terdapat rayuan dan desakan supaya PPSMI diteruskan, kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan pihak berkenaan.

"Sebaliknya, pandangan yang disuarakan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar baru," katanya menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Nor ingin mendapatkan penjelasan mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata kementerian menetapkan 2012 sebagai tahun pelaksanaan dasar baru itu bagi mengelak masalah seperti yang terjadi kepada PPSMI.

"Tujuan kita untuk dilaksanakan pada 2012 ialah untuk membuat persiapan penting kerana pengalaman waktu kita melaksanakan PPSMI dulu, tempoh untuk pihak kementerian buat persiapan ialah enam bulan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PPSMI sejak 2003 membabitkan kos sebanyak RM5 bilion meliputi penyediaan peralatan dan latihan guru.

"Bagi pelaksanaan dasar MBMMBI, kementerian akan memohon peruntukan yang secukupnya untuk menjayakan dasar itu, di samping mengguna pakai kemudahan sedia ada," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam pelaksanaan MBMMBI, kementerian memerlukan 13,000 guru tambahan untuk ditempatkan di seluruh negara dan mulai tahun depan, pengambilan 1,000 guru bahasa Inggeris akan dibuat.

Menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Muhyiddin menegaskan kerajaan tidak mungkin kembali melaksanakan PPSMI kerana MBMMBI selaras dengan dasar negara yang mahu memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Sambil menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai muktamad, Timbalan Perdana Menteri berkata, MBMMBI berfungsi sebagai serampang dua mata kerana selain memartabatkan Bahasa Kebangsaan, kerajaan tidak meminggirkan aspek penguasaan dan pengukuhan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Muhyiddin berkata, satu daripada dorongan kuat ketika pimpinan kerajaan hendak menyediakan dasar baru itu ialah untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan beliau yakin pembangkang turut bersetuju.

"Kita mahu memperjuangkan Bahasa Melayu tetapi pada masa sama masyarakat hari ini tahu untuk memasuki dunia sekarang yang kompetitif, Bahasa Inggeris juga menjadi bahasa penting.

"Atas dasar itu saya tidak fikir kita akan berpindah balik kepada dasar lama... saya amat menghormati Tun (Dr Mahathir Mohamad). Saya nyatakan kita hendak membuat pindaan, mungkin dia tidak begitu setuju tetapi tidaklah keras sangat.

"Dia (Dr Mahathir) faham keputusan sudah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dia penyokong BN dan Umno, nampak dia tidak beri kenyataan keras seolah-olah kita kena patah balik," katanya.

Sumber : http: //bharian.com.my/

Selasa, 20 Oktober 2009

Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.

Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.

Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.

Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.

Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.

Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan.

Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya.

Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Dasar tak serius di SJK sukarkan usaha kuasai bahasa Melayu

Oleh Azrul Afandi Sobry

SELEPAS sekian lama negara mencapai kemerdekaan, isu memartabatkan Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya Bahasa Kebangsaan terus menjadi antara paling hangat diperdebatkan dalam masyarakat Malaysia.

Dalam kegigihan kerajaan mempromosikan gagasan 1Malaysia contohnya, isu berkenaan masih menjadi antara penghalang untuk memastikan ia dapat dihayati dengan lebih pantas ke segenap lapisan masyarakat.

Paling ketara ialah jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang memberi gambaran seolah-olah ia sekadar memenuhi syarat saja.

Hakikatnya, bukankah Bahasa Melayu yang dikategorikan sebagai salah satu ejen perpaduan, malah layak diangkat sebagai ejen terpenting dalam menyatupadukan semua kaum di negara ini wajar diberi perhatian lebih serius jika mahu konsep 1Malaysia itu benar-benar direalisasikan.

Malangnya, sejak puluhan tahun sistem persekolahan di negara ini yang menggunakan konsep pelbagai aliran, Bahasa Malaysia boleh dikatakan hanya diajar sebagai satu subjek peperiksaan dan tidak terlalu diberi penekanan di SJK, dengan buktinya tempoh pengajaran terlalu singkat yang diperuntukkan untuk subjek itu.

Berdasarkan sistem pendidikan sedia ada, Bahasa Malaysia hanya diajar dalam tempoh singkat di SJK iaitu 180 minit seminggu bagi tahap dua (tahun empat hingga enam) dan 270 minit bagi tahap satu (tahun satu hingga tiga) sedangkan tempoh pengajaran di sekolah kebangsaan (SK) hampir dua kali ganda lebih banyak (300 minit untuk tahap satu dan 360 minit untuk tahap dua).

Justeru, beberapa tokoh akademik mahu kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran lebih serius mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan dengan menjadikannya sebagai salah satu subjek paling utama di semua peringkat persekolahan terutama di SJK yang selama ini menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran.

Antaranya, tokoh akademik dan sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata apa yang berlaku sekarang dalam sistem pendidikan negara agak pelik kerana pelajar di SJK yang kebanyakan masa mereka bertutur dalam bahasa ibunda termasuk menjadi bahasa pengantar di sekolah hanya diperuntukkan sedikit masa mempelajari Bahasa Malaysia.

“Terbalik jadinya. Di SK, pengantarnya Bahasa Melayu tetapi subjek itu pula banyak. Ia sekali gus memantapkan penguasaan dalam bahasa itu, tambahan pula kebanyakan mereka orang Melayu.

Di SJK, sudahlah kebanyakan mereka Cina atau India, bertutur dalam bahasa ibunda dan semua subjek pun guna bahasa ibunda, bagaimana mereka nak kuasai Bahasa Melayu jika tempohnya terlalu singkat.

Memang diakui masyarakat Cina dan India mahu budaya mereka dipertahankan tetapi tidakkah mereka sedar bahawa mengehadkan kebolehan berbahasa menyebabkan kesan tidak elok untuk masa depan anak mereka sendiri terutama dalam menghadapi alam pekerjaan dan dalam masa yang sama mewujudkan jurang besar dalam perpaduan.

Semua pihak sewajarnya terima hakikat bahawa kebolehan menggunakan bahasa lain terutama Bahasa Melayu sangat penting dan mereka perlu akur bahawa jumlah penggunaan bahasa itu di SJK perlu diperbanyakkan sama ada dalam tempoh pengajaran atau aktiviti seharian dalam masyarakat mahupun sekolah,” katanya.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan ialah menambah tempoh pengajaran Bahasa Malaysia di SJK dan jika ia mustahil dilaksanakan, aktiviti berkaitan pemantapan bahasa itu perlu diperbanyakkan dan diberi penekanan lebih serius.

“Kenapa lagi nak perbanyak guna bahasa ibunda di SJK kerana kehidupan mereka sudah dikelilingi bahasa yang sama. Sepatutnya, aktiviti di sekolah banyak guna Bahasa Melayu, baru ia seimbang.

“Wajibkan banyak aktiviti dalam Bahasa Melayu seperti pertandingan pantun, puisi dan apa saja yang boleh memperkayakan kemahiran berbahasa di kalangan murid Cina dan India.

Jika boleh, waktu pengajaran Bahasa Malaysia ditambah dan kurangkan penggunaan bahasa ibunda,” katanya lagi.

Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong, pula berkata meskipun konsep satu sistem persekolahan dianggap mustahil dilaksanakan di negara ini, perlu diakui ia adalah jalan terbaik mewujudkan perpaduan dan bertepatan dengan konsep 1Malaysia.

“Tak ada negara di dunia amalkan sistem seperti negara kita yang mana ada beberapa sistem persekolahan. Negara lain pun banyak kaum dan pelbagai etnik tetapi berjaya juga laksana satu sistem persekolahan dan tak pula berlaku perbalahan dalam melaksanakannya.

“Namun, jika sudah terbukti memang ia tak mungkin dapat dilaksanakan, kementerian tetap perlu melakukan sesuatu untuk memantap dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu secara optimum di semua peringkat terutama di SJK.

“Jika tempoh pengajaran tak boleh ditambah, guna Bahasa Melayu dalam subjek lain seperti Pendidikan Seni, Sivik dan Jasmani.

Nak guna dalam subjek teras seperti Matematik dan Sains mungkin susah sebab ramai sangat kelompok ekstrem yang tak mahu terima,” katanya.

Beliau berkata, mungkin cadangan itu jika dilaksanakan akan menimbulkan banyak bantahan tetapi masyarakat Cina dan India perlu banyak berkorban jika mahu melihat perpaduan terbina dengan sempurna di negara ini.

Katanya, jika sistem sedia ada terus diamalkan tanpa ada sebarang rombakan drastik, perpaduan yang diharapkan itu takkan dapat dicapai dan generasi muda akan terus kekal dalam jati diri nasional dengan haluan berbeza, tak sepakat dalam pendekatan 1Malaysia.

“Apa guna bercakap pasal perpaduan dan semangat nasional jika tak pandai menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan baik.

Sekarang, ramai sangat orang Cina dan India tak mahir berbahasa Melayu.

“Apa lagi, sejak awal 1990-an, lebih 90 peratus anak Cina belajar di SJK. Ia menyebabkan pemikiran dan minda mereka tertutup dan sukar menerima perpaduan yang dilaungkan. Di SJK pula, Bahasa Malaysia hanya satu keperluan lulus peperiksaan,” katanya.

Dalam isu ini, beliau menyalahkan kerajaan dalam kegagalan memartabatkan Bahasa Melayu secara serius dengan buktinya menurunkan syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekadar lulus Bahasa Malaysia sedangkan satu ketika dulu pelajar perlu mendapat kepujian dalam subjek itu.

“Bukti lain, kereta nasional yang sepatutnya menjadi ejen promosi Bahasa Kebangsaan juga sudah dianggap gagal. Jika dulu, jenamanya menggunakan Bahasa Melayu seperti Wira dan Satria, kini ia jadi Gen.2, Neo, Savvy dan Exora. Ia bukti Bahasa Malaysia tak dipertahankan,” katanya.

Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Yahaya Ibrahim, turut bersetuju bahawa pemantapan Bahasa Melayu di SJK perlu kerana bahasa adalah satu ejen paling utama dalam menyatupadukan semua kaum di negara ini.

“Apa yang penting bukanlah kaedah atau tempoh pengajaran tetapi bahan yang digunakan.

Sepatutnya, semua sekolah dibekalkan dengan bahan bacaan yang lebih menarik dengan pelbagai pilihan. Murid perlu disuntik keinginan untuk menguasai bahasa itu sendiri melalui kaedah itu.

“Bagaimanapun, jika kerajaan serius mengenai perpaduan, bersempena dengan laungan 1Malaysia, ia adalah tempoh paling tepat melaksanakan satu sistem persekolahan saja di negara ini tanpa mengetepikan budaya masyarakat lain,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ahad, 18 Oktober 2009

Memastikan kepentingan bahasa Melayu kekal sepanjang zaman


Zaman Kegemilangan Melaka : bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca pada waktu itu

Jami'ah Shukri

KUASA bahasa Melayu tidak pernah tenggelam, sebaliknya terus semarak dan relevan sebagai bahasa ilmu yang ditutur oleh lebih 300 juta insan di seluruh dunia.

Jumlah itu sudah cukup hebat dari segi penguasaan di dunia dengan kedudukan di tangga kelima di belakang bahasa Inggeris yang mempunyai 1.5 bilion penutur, Mandarin (1 bilion), Hindi (700 juta) dan Sepanyol (350 juta).

Jika diimbas kegemilangan bahasa Melayu dalam konteks Malaysia pula, ia sudah diangkat sebagai bahasa ‘lingua franca’ dan ilmu sejak kurun ke-13 yang turut dituturkan oleh pedagang antarabangsa yang berurusan di Melaka dalam bidang perniagaan, menggunakannya sebagai bahasa pengantara.

Pedagang Cina, umpamanya dilaporkan membeli kamus Melayu untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan penduduk di Melaka.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata dengan kehebatan bahasa itu pada peringkat dunia, rakyat di negara ini juga seharusnya berbangga bahasa Melayu terus penting dalam apa juga keadaan.

Katanya, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri, umpamanya adalah antara penulis yang memartabatkan bahasa Melayu termasuk lahirnya buku Hikayat Raja Pasai yang mempamerkan kemajuan bahasa itu semaju di Eropah.

Justeru, kesungguhan DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sudah dilakukan dengan giat termasuk memastikan pelbagai urusan dikendalikan dalam bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan digalakkan perkara sama di sektor swasta.

Usaha memperkayakan bahasa Melayu juga dilaksanakan dan ketika ini DBP mempunyai istilah dalam bahasa Melayu yang banyak dan cukup dalam pelbagai bidang mencakupi Sains, Matematik, kejuruteraan dan teknologi.

“Setakat ini, kita sudah menerbitkan 41 kamus istilah, 225 daftar istilah dengan keseluruhan lebih sejuta istilah dalam pelbagai bidang.

“Kita juga sudah bukukan 825,495 istilah dalam pelbagai bidang. Bahasa itu sudah ada tatabahasa secara sistematik. DBP sudah menyediakan tatabahasa dewan yang tersusun, sebelum ini dilakukan oleh Pelita Bahasa Melayu, oleh Zaaba dan perbaiki tata bahasa dewan,” katanya.

Termuzi berkata, banyak buku dan jurnal diterbitkan dalam bidang ilmiah, lebih 15,000 cerpen dan novel diterbitkan. Malah, ia juga ada ensiklopedia dalam pelbagai bidang sains, teknologi dan agama. Justeru, pelbagai pihak juga perlu turut membantu menyebar luas dan menerbitkan serta memperbanyakkan penyelidikan dalam bidang lain.

Beliau berkata, sejak 1960 hingga 2002, keistimewaan bahasa Melayu amat hebat dan usaha dilakukan agensi itu sudah menampakkan kesannya, tetapi bermula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PSMI), maka sudah mengubah persepsi rakyat bahawa kerajaan lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Justeru, keputusan kerajaan untuk mengembalikan semula pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu dianggap langkah bijak ke arah memartabatkan semula bahasa kebangsaan itu, pada masa depan.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Ejaan, istilah betul di papan iklan pupuk cintakan bahasa kebangsaan

Emas & handphone boleh meminjam wang???

SYARIKAT iklan masih kurang peka untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan sempurna di papan tanda atau iklan, sekali gus memperlihatkan tiada kesungguhan di kalangan sektor swasta.

Yang Dipertua Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata berdasarkan pemantauan, cuma 40 peratus penggunaan bahasa Melayu digunakan dengan betul di papan tanda dan iklan di sekitar Petaling Jaya.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan penggunaan bahasa Melayu. Banyak syarikat pengiklan yang tidak peka dengan ejaan bahasa Melayu yang betul dan ada kalanya ejaan pada papan tanda itu sudah hilang atau tertutup dengan iklan lain. Kita sudah berkali-kali menegur mereka supaya selenggara semula dan gunakan ejaan betul.

“Kita akan buat pemantauan dan akan segera turunkan semua papan tanda atau iklan yang tidak memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu semakin jelas kurang dititikberatkan pada zaman ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat berbilang kaum di sekitar Petaling Jaya.

Malah, mesyuarat penuh majlis itu juga tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

“Biasanya, apabila mesyuarat itu dijalankan mereka akan menggunakan bahasa Inggeris. Malah, minit mesyuarat juga disediakan dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, seboleh mungkin kita akan pastikan mereka menggunakan bahasa Melayu dalam apa juga keadaan.

“Oleh itu, Kempen Cintai Bahasa Malaysia dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat membawa perubahan positif ke arah itu. Risalah yang disebarkan itu juga diharap dapat memberikan maklumat tepat dan betul mengenai penggunaan bahasa itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata setakat ini rata-rata permohonan yang dikemukakan syarikat iklan terhadap pemasangan sebarang papan tanda mematuhi garis panduan ditetapkan.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan, syarikat terbabit meletakkan bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan dengan saiz yang ditetapkan.

Bahasa Melayu perlu diletakkan dengan saiz yang lebih besar berbanding bahasa lain. Jika di papan tanda atau iklan itu ingin meletakkan bahasa Inggeris atau bahasa lain, hanya dibenarkan dengan saiz yang kecil.

“Jika pihak terbabit gagal patuhi undang-undang itu, kita tak luluskan lesen permohonan itu. Bagaimanapun, setakat ini, kita lihat kadar kepatuhan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dengan baik.

“Cuma jika ada kes pun, yang dikenal pasti ialah syarikat tidak memohon dari Jabatan Pelesenan DBKL untuk meletakkan papan tanda atau iklan di premis tertentu. Dalam kes ini, pihak penguat kuasa akan terus mengambil tindakan menurunkan semua papan tanda atau papan iklan yang diletakkan secara haram,” katanya.

Beliau berkata, DBKL akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahasa Melayu terus diberi keutamaan serta dimartabatkan.

Katanya, DBKL tidak bertolak ansur dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan.

Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sempurna seharusnya dilaksanakan di mana-mana saja, bukan saja dari segi pertuturan, malah perlu diperluaskan dalam pelbagai aspek termasuk pada papan tanda kerana ia turut melambangkan ideologi negara terhadap kepentingannya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/