Yang Dipertua Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata berdasarkan pemantauan, cuma 40 peratus penggunaan bahasa Melayu digunakan dengan betul di papan tanda dan iklan di sekitar Petaling Jaya.
“Saya masih tidak berpuas hati dengan penggunaan bahasa Melayu. Banyak syarikat pengiklan yang tidak peka dengan ejaan bahasa Melayu yang betul dan ada kalanya ejaan pada papan tanda itu sudah hilang atau tertutup dengan iklan lain. Kita sudah berkali-kali menegur mereka supaya selenggara semula dan gunakan ejaan betul.
“Kita akan buat pemantauan dan akan segera turunkan semua papan tanda atau iklan yang tidak memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.
Selain itu, penggunaan bahasa Melayu semakin jelas kurang dititikberatkan pada zaman ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat berbilang kaum di sekitar Petaling Jaya.
Malah, mesyuarat penuh majlis itu juga tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.
“Biasanya, apabila mesyuarat itu dijalankan mereka akan menggunakan bahasa Inggeris. Malah, minit mesyuarat juga disediakan dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, seboleh mungkin kita akan pastikan mereka menggunakan bahasa Melayu dalam apa juga keadaan.
“Oleh itu, Kempen Cintai Bahasa Malaysia dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat membawa perubahan positif ke arah itu. Risalah yang disebarkan itu juga diharap dapat memberikan maklumat tepat dan betul mengenai penggunaan bahasa itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata setakat ini rata-rata permohonan yang dikemukakan syarikat iklan terhadap pemasangan sebarang papan tanda mematuhi garis panduan ditetapkan.
Katanya, semua pihak perlu mematuhi Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan, syarikat terbabit meletakkan bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan dengan saiz yang ditetapkan.
“Bahasa Melayu perlu diletakkan dengan saiz yang lebih besar berbanding bahasa lain. Jika di papan tanda atau iklan itu ingin meletakkan bahasa Inggeris atau bahasa lain, hanya dibenarkan dengan saiz yang kecil.
“Jika pihak terbabit gagal patuhi undang-undang itu, kita tak luluskan lesen permohonan itu. Bagaimanapun, setakat ini, kita lihat kadar kepatuhan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dengan baik.
“Cuma jika ada kes pun, yang dikenal pasti ialah syarikat tidak memohon dari Jabatan Pelesenan DBKL untuk meletakkan papan tanda atau iklan di premis tertentu. Dalam kes ini, pihak penguat kuasa akan terus mengambil tindakan menurunkan semua papan tanda atau papan iklan yang diletakkan secara haram,” katanya.
Beliau berkata, DBKL akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahasa Melayu terus diberi keutamaan serta dimartabatkan.
Katanya, DBKL tidak bertolak ansur dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan.
“Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sempurna seharusnya dilaksanakan di mana-mana saja, bukan saja dari segi pertuturan, malah perlu diperluaskan dalam pelbagai aspek termasuk pada papan tanda kerana ia turut melambangkan ideologi negara terhadap kepentingannya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya.
Sumber : http: //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan