Jumaat, 22 Januari 2010

MANGKATNYA SULTAN BERJIWA RAKYAT

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
hamzah.abdulhamid@kosmo.com.my

Tidak pernah sehari pun semasa hayat Almarhum Sultan Iskandar, waktu itu tidak dipenuhi dengan eksplorasi yang berkaitan dengan minat baginda dalam pelbagai bidang. Baginda amat dekat dengan rakyat.

NAUNGAN diraja di bumi Darul Takzim dan harapan pembelaan rakyat nyata terlihat kesinambungannya apabila Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru.

Putera ketiga Sultan Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah binti Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad itu dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang sepanjang melayari kehidupan sebagai kanak-kanak.

Bermula dengan pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru, Johor, Almarhum seterusnya melanjutkan pelajaran di English College yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar, iaitu antara institusi pendidikan peringkat menengah yang terunggul di ibu negeri Johor.


Bertitik-tolak daripada semangat dan kecintaan yang tinggi terhadap penerokaan ilmu, baginda telah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Trinity Grammar School, Australia pada tahun 1952.

Selepas setahun, baginda mengembara ke Isle of Wight di United Kingdom untuk mengikuti pengajian di Upper Chime School selama tiga tahun.

Sejurus pulang dari perantauan dan kembali ke pangkuan keluarga di Johor pada 1956, baginda terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service. Baginda bertanggungjawab menerajui Jabatan Hal Ehwal Daerah, Tanah dan Perbendaharaan ketika itu.

Seperti keinginan seorang belia yang penuh dengan pengalaman dan kesungguhan, Tunku Iskandar diingati pada zaman muda baginda sebagai seorang juruterbang terlatih.

Namakan saja model pesawat ringan dan sederhana, semua itu pernah dikemudi baginda hingga meninggalkan rasa kagum dalam kalangan mereka yang menyaksikan aksi baginda di ruang angkasa.

Begitu juga dengan sahsiah baginda sebagai putera raja yang berdisiplin. Ternyata itu semua berkat latihan asas ketenteraan yang diperoleh baginda dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Cinta baginda datang pada 1956. Tunku Iskandar telah mengahwini Kalsom Abdullah dari Cornwall, United Kingdom dan dikurniakan dengan empat orang anakanda termasuk Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim (yang kini dilantik menjadi Pemangku Raja).

Sejurus perkahwinan itu berakhir sekitar 1961, baginda bernikah pula dengan Tengku Zanariah binti Tengku Ahmad yang merupakan kerabat diraja Kelantan. Perkongsian hidup baginda berdua dikurniakan enam orang cahaya mata.

PEMASYHURAN

Pada zaman kanak-kanaknya baginda biasa dipanggil dengan gelaran Mahmud oleh saudara dan sahabat terdekat. Baginda telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor dari 1959 hingga 1961, sebelum menjadi Raja Muda dari 1966 hingga 1981 oleh ayahanda baginda, Sultan Ismail. Baginda dilantik semula sebagai Tunku Mahkota pada 29 April 1981.


Tidak lama selepas itu, ayahanda baginda, Sultan Ismail mangkat dan sehari selepas itu, Tunku Iskandar telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat pada tarikh 11 Mei 1981. Sebagai pelarasan hierarki, adinda baginda, Tunku Abdul Rahman telah diangkat sebagai Tunku Bendahara Johor.

Pada 5 April 1982, Sultan Iskandar telah diberi penghormatan khas sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ia dilihat sebagai satu perlambangan unggul iaitu seorang sultan berkarisma yang bertindak sebagai payung kepada sebuah institusi ilmu tersohor di selatan tanah air.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa menjalin hubungan yang rapat dengan Majlis Agama Negeri atau dengan pentadbiran jabatan berkenaan melalui pegawai-pegawai tinggi seperti Yang Dipertua Jabatan Agama, Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam atau Mufti Negeri.

PERISTIWA INDAH

Sesungguhnya peristiwa yang paling indah bagi kerabat diraja Johor dan sekalian rakyat jelata adalah apabila Persidangan Majlis Raja-Raja Malaysia yang ke-129 memilih untuk menabalkan Sultan Iskandar sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984.

Sepanjang lima tahun menerajui kedudukan tertinggi dalam tampuk pemerintahan negara, baginda disanjung sebagai ketua agama dan bangsa yang sangat mengambil berat perjalanan politik negara.

Rata-rata titah baginda berkaitan perkembangan politik negara sering kali bersulam dengan pesan mengenai hal ehwal dan nasib rakyat yang perlu dijuarai.

Nama Sultan Iskandar paling dihargai dalam kelompok populasi Orang Asli khususnya di negeri Johor. Nasib golongan itu yang sehingga kini masih meneruskan kehidupan di pedalaman dan jantung belantara itu adalah agenda penting bagi baginda.

Betapa istimewanya hubungan antara kerabat diraja Johor dengan golongan itu jelas diketahui umum. Difahamkan bahawa mana-mana Orang Asli yang mempunyai masalah mengenai survival dan penganiayaan persekitaran tempat tinggal mereka akan dibenarkan menghadap baginda secara terus di istana bagi mencari penyelesaiannya.

Kalau hendak bercakap tentang aktiviti yang digemari baginda, mungkin tidak kehabisan ceritanya. Selain menyemai minat berburu, Sultan Iskandar juga gemar bermain polo, tenis, skuasy dan sukan luncur layar.

Selain itu, sebelum konsep Kembara Mahkota dipopularkan oleh putera baginda, Tunku Ibrahim, minat terhadap motosikal berkuasa tinggi sudah pun bermula dalam pekarangan istana negeri.

Bercakap tentang kemahiran, baginda memang memahami segala komponen motosikal hinggakan tidak punya masalah meleraikan dan memasang semula setiap komponennya.

Selain keterujaan yang diteruskan dalam bidang sukan udara, baginda juga amat meminati golf. Kalau punya waktu terluang untuk diri sendiri, padang hijau Royal Johor Country Club pasti akan dikunjungi baginda untuk menguji kehandalan memukul bola golf.

Tidak ketinggalan juga, baginda memiliki koleksi haiwan peliharaan yang pelbagai. Bagaikan santuari istimewa, tetamu Istana Bukit Serene di Johor Bahru pasti mengetahui tentang burung merak yang berkeliaran bebas di halamannya. Begitu juga dengan minat baginda terhadap peliharaan lain seperti rusa dan buaya.

Setelah kemangkatan baginda semalam, nama Almarhum Sultan Iskandar terus disanjungi. Segala kenangan dan jasa yang ditinggalkan baginda adalah umpama daulat yang akan terus diabadikan dalam ingatan segenap rakyat.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Sultan Johor Mangkat


JOHOR BAHARU, 22 Jan (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Baharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.

Abdul Ghani turut ditanya pemberita tentang punca kemangkatan baginda, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

"Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Latif Yusof dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut berada pada sidang media itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Menteri Besar berkata, perangkatan jenazah baginda Sultan Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah akan bermula pada 1.30 petang hari ini.

Rakyat Johor menurut beliau, boleh menziarah jenazah baginda di Istana Besar mulai 9 pagi hari ini, manakala tempoh ziarah bagi orang kenamaan dijadualkan bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu dalam sidang medianya, beliau turut meminta rakyat dan penduduk negeri ini supaya berkabung mulai hari ini sehingga pemakaman jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia selama tujuh hari.

Manakala bagi kerabat-kerabat diraja pula katanya, tempoh perkabungan adalah selama 40 hari mulai hari ini.

Abdul Ghani berkata, bendera negeri dinaikkan separuh tiang mulai malam semalam selama tujuh hari dan membatalkan segala bentuk hiburan dan permainan sepanjang hari pemakaman baginda.

Beliau juga mengarahkan semua masjid dan surau negeri ini supaya mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa ke atas roh baginda selepas fardu Maghrib selama tujuh hari mulai hari ini.

Sementara itu, jenazah almarhum Sultan Iskandar kelihatan dibawa ke Istana Besar pada 11.22 malam.

Van jenazah yang membawa jenazah baginda dilihat meninggalkan Hospital Pakar Puteri sambil diiringi berpuluh buah motosikal pengiring trafik, kenderaan kerabat diraja Johor, anggota-anggota exco kerajaan negeri Johor dan Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Perkarangan hospital tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, JMF dan juga Rela berikutan kehadiran ramai petugas media termasuk dari Singapura dan juga rakyat jelata.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah merupakan yang terawal menziarahi almarhum.

Turut melawat almarhum adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Sadique, dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Sumber : http : //www.bernama.com/

Hormati guru anda

Sesi persekolahan baru sahaja bermula. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.

SIKAP menghormati guru adalah amalan mulia dan sangat dituntut.

UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.

Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.

Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.

Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.

Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.

Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.

Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.

Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.

GURU bertanggungjawab mendidik anak bangsa mengenal apa yang baik dan buruk bagi mengharungi masa depan yang lebih bermakna.

Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.

Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.

Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.

Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.

Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.

Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.

Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.

Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera.

Oleh : NUR AISHAH MOHD. AMIN

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/