Isnin, 24 Ogos 2009

Bahasa Melayu semakin tenat?

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


ANTARA peserta Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan Forum Pendidikan di Aswara.

Usaha perkasa melalui pemansuhan PPSMI tidak meninggalkan kesan positif

KEMAMPUAN memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara semakin tenat, walaupun kerajaan sudah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat mulai 2012 hingga 2016.

Usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui pemansuhan PPSMI tidak meninggalkan kesan positif kepada pelajar, malahan pendekatan itu dianggap sekadar sampingan memandangkan pengajian pada peringkat universiti masih mengutamakan bahasa Inggeris.

Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata situasi ini membantutkan usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat lebih tinggi, apatah lagi kedudukan Kesusasteraan Melayu semakin hilang arah tuju.

“Ini kerana kebanyakan kelas aliran sastera ditutup akibat sambutan kurang memberangsang ekoran pelajar cenderung mengambil aliran sains," katanya pada Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan 2009 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baginya, pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap masalah terbabit kerana mata pelajaran Kesusasteraan Melayu boleh digunakan sebagai subjek untuk meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan pelajar, sekali gus memberi ruang untuk karya sastera mendapat tempat dalam masyarakat.

DARI kiri, Dr Teo Kok Seong, Dr Abdullah Hassan dan Dr Krishnan Maniam.

"Pendekatan terbaik mempertahankan bahasa Melayu adalah dengan mewajibkan penggunaannya pada peringkat universiti. Korpus bahasa Melayu sudah hampir sempurna dan bahasa ini sudah mencapai status bahasa moden selain mampu mengungkapkan perkara konkrit dan abstrak termasuk dalam subjek Sains dan Matematik," tegasnya.

Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, menyifatkan penggunaan bahasa Melayu rendah menyumbang kepada kemunduran bahasa dan kebiasaan masyarakat menggunakannya dalam karya drama dan filem menyebabkan bahasa Melayu tinggi menjadi janggal kepada mereka.

"Setiap individu di negara ini perlu mempelajari bahasa Melayu tinggi kerana penggunaannya dalam menulis laporan, sesi temu duga dan mencerminkan sikap dan nilai yang wujud dalam masyarakat Melayu. Penulisan karya juga sewajarnya menggunakan bahasa yang baik," katanya pada forum yang dipengerusikan oleh pengarang muda, Mohd Faizal Musa.

Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan sikap bangsa Melayu yang tidak prihatin terhadap masalah ini kerana kebanyakan karya di televisyen atau panggung wayang menggunakan bahasa rojak yang kononnya mencerminkan realiti masyarakat, sedangkan ia boleh ditampilkan melalui kaedah lebih positif.

“Novel Indonesia, Laskar Pelangi, menggunakan bahasa tinggi bagi menyampaikan kisah kehidupan masyarakat dan keindahan terpancar. Pendekatan sedemikian jarang didapati dalam karya Melayu yang kurang mendokong usaha memperkayakan bahasa Melayu," katanya.

Pensyarah Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Krishnan Maniam, pula menekankan kepentingan penggunaan makna tersirat seperti perumpamaan dan peribahasa dalam sistem pendidikan mahupun kehidupan seharian kerana ia adalah wadah pengucapan ringkas, tetapi padat dengan maksud.

"Bagaimanapun sikap sambil lewa masyarakat kita melunturkan penggunaannya, tambahan pula masyarakat moden tidak mementingkan huraian dan menganggap Kesusasteraan Melayu sebagai subjek sampingan. Sekiranya diteliti syair klasik, Siti Zubaidah, menghiburkan dan membawa maksud tersirat serta dapat mengasah pemikiran masyarakat," jelasnya.

Senario yang dibentangkan itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mempunyai kekuatan tersendiri dan Kesusasteraan Melayu sewajarnya dijadikan agen pendidikan tanah air bagi memastikan identiti dan jati diri penduduk semakin kukuh.

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

ISU KECICIRAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Matlamat sifar buta huruf gagal jika tiada kesungguhan

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Kerajaan sediakan pelbagai peruntukan khas bantu kanak-kanak keluarga miskin dapat pendidikan formal

NAK dikatakan tak mampu, segala bentuk bantuan sudah disediakan. Nak dikatakan tak tegas, arahan dan undang-undang yang tersedia sudah cukup kuat menunjukkan kesungguhan kerajaan. Nak dikatakan ia isu remeh, bukan berpuluh-puluh, malah beratus atau mungkin beribu-ribu kali isu itu dimainkan di media dan menjadi perdebatan pelbagai pihak, termasuk di Parlimen.

Justeru, di mana lagi silapnya sehingga masih ada, malah ramai lagi kanak-kanak tidak bersekolah dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran baru-baru ini bahawa ada lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai usia persekolahan tercicir alam pendidikan di luar bandar dan pedalaman.

Kebiasaannya, apabila isu itu dibangkitkan, antara faktor paling popular dikaitkan ialah masalah kewangan di kalangan ibu bapa untuk menyekolahkan anak, terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar, apatah lagi jika kehidupan ibarat kais pagi makan pagi.

Namun, merujuk kepada fakta yang dicatatkan sejak 2000, begitu banyak bantuan dan usaha kerajaan bagi memastikan isu kemiskinan tidak menjadi penghalang utama kepada kanak-kanak menikmati hak mereka mendapat pendidikan sempurna.

Saban tahun ada saja bantuan diumumkan yang jumlahnya bukan sedikit. Tahun ini saja, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM3.39 bilion khusus sebagai bantuan pelajaran bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan, sekali gus memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti.

Daripada jumlah itu, 17 saluran bantuan yang menerima agihan peruntukan itu ialah Bantuan Makanan Asrama RM1 bilion, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM400 juta), Rancangan Makanan Tambahan (RM270.4 juta), Biasiswa Kecil Persekutuan (RM238 juta), Skim Bantuan Tuisyen (RM180 juta) dan Bantuan Geran Perkapita (RM740 juta).

Selain itu, RM180 juta diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Kokurikulum Ke Sekolah (RM79.8 juta), Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform (RM20.1 juta), Elaun Murid Berkeperluan Khas (RM72 juta) dan Yuran Khas Sekolah sejumlah RM42 juta.

Malah, kerajaan turut memudahkan proses kemasukan ke sekolah dengan menerima permohonan pelajar yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan memperkenalkan konsep persekolahan percuma, termasuk mengurangkan bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tak cukup dengan itu, bukan setakat yuran PIBG dikurangkan, tempoh bayarannya juga dilanjutkan bagi memberi peluang kepada ibu bapa mempunyai ruang selesa untuk membuat bayaran.

Bantuan pula bukan sekadar datang daripada pihak kerajaan kerana tak dinafikan ada juga pihak lain, termasuk agensi korporat dan swasta bersama menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti dilaksanakan Felda yang memperuntukkan RM20 juta sejak 2005 bagi membiayai anak peneroka tanah rancangannya menyertai skim tuisyen yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Jika masalah kewangan bukan isu utama, adakah ketegasan kerajaan wajar dibicarakan kerana jumlah keciciran masih menunjukkan peningkatan. Adakah pihak berkuasa selama ini lepas tangan dan tidak menyelami isu ini secara serius?

Tidak juga, kerana pada 22 April 2002, kerajaan sudah mengumumkan peraturan mewajibkan semua kanak-kanak memasuki persekolahan Tahun Satu mulai 2003 selepas pindaan Akta Pendidikan 1996 diluluskan Parlimen ketika itu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran ketika itu, Datuk Mahadzir Mohd Khir, dilaporkan berkata pindaan itu dibuat berikutan perangkaan menunjukkan kira-kira 15,000 kanak-kanak tidak bersekolah kerana kegagalan ibu bapa mendaftarkan nama mereka.

Beliau berkata, ibu bapa yang gagal mendaftar anak masing-masing memasuki sekolah rendah boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Jadi, jika itu juga bukan isunya, apa lagi masalah utama ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah? Adakah sikap atau gaya hidup sedia ada menyebabkan mereka merasakan pendidikan itu bukan satu kepentingan. Mungkin bagi mereka, jika aku seorang pekebun, ke kebun jugalah anak aku nanti. Cukuplah dengan apa yang ada.

Senario itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Bersama Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bina yang menyatakan masih ramai ibu bapa yang kurang kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan mendesak anak mereka membantu aktiviti rutin sama ada berkebun atau menjaga kedai.

Selain itu, kata beliau, kurangnya rasa minat untuk meneruskan pelajaran di kalangan pelajar itu sendiri menyebabkan ada antara mereka berhenti belajar untuk menceburi alam pekerjaan dalam usia lebih muda.

Merujuk kepada masyarakat luar bandar pula, katanya, faktor lokasi sekolah yang jauh dari perkampungan mereka mungkin turut menyumbang kepada keciciran pelajar dalam memasuki alam persekolahan.

"Memang ada asrama disediakan di sesetengah sekolah yang jauh dari kampung. Namun, bukan semua ibu bapa yakin meninggalkan anak di asrama ketika usia muda. Pelajar Tahun Satu hingga Enam tidak sesuai dan masih terlalu muda untuk tinggal di asrama dan jauh daripada ibu bapa," katanya.

Persoalan yang cuba dibangkitkan apabila membicarakan isu ini, tidak cukupkah peraturan dan undang-undang yang diwujudkan di negara ini berkaitan kanak-kanak dan remaja? Tidakkah sudah ada undang-undang yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Mengenai bekerja pada usia muda pula, bukankah ada undang-undang yang melarang mana-mana sektor menggaji pekerja di bawah usia 18 tahun?

Dengan nada agak terkilan, William berkata "Itulah masalahnya. Terlalu banyak dasar dan undang-undang yang diwujudkan, namun pelaksanaan dan pemantauannya tidak diperhebatkan, malah boleh dikatakan sangat lemah. Jangan buat dasar jika tak mampu nak laksana."

"Contohnya, ada peraturan yang melarang remaja di bawah usia 18 tahun membeli rokok, namun apa yang kelihatan, mereka (remaja) bukan setakat boleh beli rokok dengan bebas, malah selamba merokok di khalayak. Di mana penguatkuasaannya?"

Mungkin juga, kesedaran di kalangan warga luar bandar masih kurang disebabkan kempen dan motivasi masih tidak mencukupi. Masih banyak kawasan luar bandar yang perlu diteroka untuk memastikan maklumat mengenai kepentingan pelajaran sampai kepada semua pihak.

Justeru, langkah yang digerakkan kerajaan dalam memperkasa dan menjadikan peringkat prasekolah sebagai penting pada semua peringkat, termasuk luar bandar sangat bertepatan untuk menangani isu ini.

Mungkin juga, selepas ibu bapa dan anak mereka didedahkan dengan suasana pembelajaran pada usia lebih awal, ia akan menjadi pemangkin semangat dan penyuntik keyakinan untuk mereka terus bertapak ke alam persekolahan sebenar.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, turut menyokong langkah itu sebagai usaha paling tepat mengurangkan kadar keciciran di kalangan kanak-kanak.

"Peluang memasuki prasekolah di luar bandar sangat tipis selama ini. Dengan ada prasekolah di tempat mereka, sekali gus menanam keyakinan kepada mereka untuk memasuki alam persekolahan."

Ironinya, angka 125,000 yang diumumkan Muhyiddin meskipun nampak terlalu besar, malah mungkin tidak logik di mata sesetengah pihak, ia sewajarnya menjadi isyarat kepada kementerian untuk menekan butang kecemasan sebelum 'luka itu terus menjadi nanah'.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Perbuatan mencemari kesucian Ramadan

ANGGOTA penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar, merampas pelbagai jenis makanan yang dijual oleh peniaga Islam sebelum jam 3 petang dalam operasi di sekitar bandaraya ini.

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

TINDAKAN sesetengah pengusaha kedai makanan milik orang Islam yang memulakan perniagaan di awal pagi dalam bulan Ramadan boleh dipersoalkan. Ini termasuklah pengusaha bazar Ramadan yang berniaga sejak jam 10 pagi lagi.

Untuk siapakah makanan itu disediakan? Kalau untuk orang bukan Islam berapa ramaikah pula daripada kalangan mereka yang bertandang ke premis mereka? Lebih mengelirukan apabila ada pelanggan yang keluar masuk kedai makan melalui pintu belakang sedangkan pintu hadapan tertutup.

Boleh sahaja kesempatan ini diambil oleh orang yang tak mahu berpuasa sehingga menggalakkan lagi perbuatan keji itu. Perbuatan mereka ini boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang mulia. Malah kemungkinan mendapat saham dosa dengan menggalakkan orang tidak berpuasa.

Memang pengusaha kedai makanan tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini, ia akhirnya berbalik kepada keimanan individu itu sendiri. Namun jika jalan-jalan ke arah perbuatan keji itu ditutup, mudah-mudahan ia dapat mengurangkan gejala buruk golongan ingkar berpuasa.

Sebagai peniaga Islam, mereka dipertanggungjawabkan dalam apa sahaja yang dilakukan. Ingatlah semua itu pasti dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Janganlah semata-mata mengejar keuntungan, dosa dan pahala tidak dihiraukan. Tiada guna untung berlipat kali ganda kalau tiada keberkatan daripada segala yang diusahakan siang dan malam.

Golongan peniaga Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama melaksanakan ibadah solat apabila sampai waktunya. Begitu juga dengan kewajipan lain seperti menutup aurat dan sebagainya. Ini kerana puasa tidak bermakna jika kewajipan-kewajipan lain terabai.

Pendedahan Jakim dalam akhbar Mingguan Malaysia (23 Ogos 2009) juga perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam. Trend sesetengah orang Islam berbuka puasa di hotel sepatutnya dipertimbangkan kerana hanya 27 buah daripada 2,000 buah hotel di seluruh negara disahkan mempunyai sijil halal oleh JAKIM. Ini penting kerana ia melibatkan apa yang disuapkan ke dalam mulut sehingga menjadi darah daging. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; "Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka neraka adalah lebih utama baginya."

Dan lagi, apakah ganjaran puasa yang bakal diraih setelah seharian menahan diri daripada lapar dan dahaga, di saat berbuka puasa dicemari dengan juadah yang tidak halal. Memang, tiada siapa yang dapat menentukan pahala daripada ibadah puasa yang dikerjakan. Kerana puasa untuk Allah dan Allah yang berhak menentukannya. Tetapi, setiap orang mesti berusaha untuk mendapat puasa berkualiti dengan memperhatikan apa yang dimakan ketika berbuka puasa.

Secara umumya trend berbuka puasa di hotel juga menyebabkan umat Islam leka membuang masa lalu terlepas peluang melaksanakan solat sunat tarawih yang dituntut untuk dilaksanakan. Ingatlah bulan Ramadan bukan masa untuk berseronok-seronok malah seharusnya dipenuhi dengan pelbagai ketaatan seperti iktikaf di masjid dan berusaha memperoleh kurniaan yang tiada pada bulan-bulan lain.

Justeru, setiap individu Muslim diseru untuk sentiasa ingat kepada Allah SWT dalam segala tindakan. Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya: Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.

Pihak berwajib juga disaran mengambil pendekatan sewajarnya bagi membendung gejala tidak berpuasa di bulan Ramadan. Misalnya dengan menetapkan waktu tertentu untuk memulakan perniagaan di bazar-bazar Ramadan.

Pihak berkuasa agama negeri juga disaran menjalankan pemantauan ke atas premis-premis menjual makanan milik orang Islam. Mungkin sahaja tindakan sita atau denda boleh dikenakan kepada pengusaha yang ingkar di samping menangkap mereka yang makan di siang hari bulan Ramadan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

  1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

    “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

    (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

  2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

    “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

    (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

    Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

    “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

    (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

  3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

    “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Riwayat di atas juga menambah:

    Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

    (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

    Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

    “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

    (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

    Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

    Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

    “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

    (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

  4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

    Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

    (Surah al-`Araf:31).

    Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

    “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

    (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

    Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

  5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

    “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

    (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

    Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

    ”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

    (Faidh al-Qadir, 2/500).

    Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

    “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

    (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

    Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

  6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

    “Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

    (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

Sumber :http://drmaza.com/

PEMBANTU GURU : ALTERNATIF UNTUK MENANGANI MASALAH BEBAN TUGAS GURU

Usaha wujud jawatan dalam proses perbincangan: Alimuddin

KEMENTERIAN dalam proses perbincangan untuk mewujudkan jawatan pembantu bagi mengurangkan bebanan guru yang selama ini terpaksa membuat kerja perkeranian.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata usaha itu juga selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris menjelang 2012.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan pandangan semua pihak berkaitan sebelum melaksanakannya, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, persatuan dan kesatuan guru, pakar pendidikan, pengetua serta guru besar.

“Jika dilaksanakan, untuk peringkat awal, sekolah luar bandar, pinggiran bandar serta yang mempunyai ramai pelajar akan diberi keutamaan.

“Begitu juga kelas dengan ciri tertentu, antaranya sesak dan berprestasi sederhana yang mana gurunya memerlukan bantuan untuk mengendalikan pelajar.

“Kelas bersaiz kecil dan berprestasi tinggi tidak memerlukan khidmat pembantu kerana guru sendiri tidak mempunyai banyak masalah mengajar kerana jumlah pelajar sedikit, selain cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, guru dan pembantu juga boleh berbincang mengenai bahan bantu mengajar perlu disediakan sebelum kelas bermula bagi memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Mengenai pengambilan, Alimuddin menjelaskan kementerian akan merekrut pembantu guru itu dengan memberi latihan dalam tempoh beberapa bulan sebelum mereka memulakan tugas.

“Kerjaya mereka mungkin tidak sebagai pembantu guru selamanya kerana setelah beberapa tahun berkhidmat, peluang turut diberi untuk menjadi guru.

“Sebenarnya usaha ini sudah dijalankan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kita akan jadikannya sebagai model pelaksanaan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 23 Ogos 2009

INI TANAH AIR, TEMPAT BERMULA DAN BERAKHIR

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Kita telusuri batas sejarah ke musim suram terjajah,
Menguak hitam belenggu dalam murup durja yang gundah,
Saat melangkah runduk di bawah serakah telunjuk,
Suara pun hilang terpanar di tengah sorak petualang.

Di denai waktu membiak tunas insaf seluruh warga,
Musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
Bumi ini tanah air pesaka warisan pejuang,
Dari darah, dari keringat dan semangat menjulang.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Malaysiaku, bumi mewangi seribu restu,
Melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
Menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu biru,
Membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru.

Anak-anak bumiku tercinta,
Hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
Rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
Segera cantaskan pucuk angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,
Membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
Muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
Ini negeri terbaik, bumi tercantik, rakyat terdidik,
Mengorak langkah, berkongsi arah menancap monumen terindah.

Sahutlah gemersik suara nafiri seruan perjuangan,
Cokmar kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
Tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
Jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Ini tanah kita, padang permainan seluruh anak bangsa,
Ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
Nusa ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
Wilayah ini wadah wacana hitam putih pemangkin wibawa.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Biar luluh jiwa raga, darah setiaku tetap mengalir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir,
Biar nyawa luluh tercicir, janji ini tiada mungkir.

Ghazali Lateh
Banting,
September 2000

# Sajak ini pernah memenangi sayembara Puisi Puteri Pos, dan dimuatkan dalam antologi Jamung Merdeka kelolaan Gapena.

Sumber : http://penyair.wordpress.com/

HATI-HATI DENGAN ULAT PELELONG

Oleh Nurul Halawati Mohamad Azhari

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Membeli atau menjual hartanah lelong memang nampak mudah tetapi pengguna harus ingat dan berhati-hati kerana urusan jual-beli seumpama ini ada kalanya turut mendatangkan kesulitan.

Kebelakangan ini terdapat banyak aduan mengenai penipuan, ketidak adilan dan maklumat tidak lengkap yang dialami oleh pembeli atau mereka yang hartanah akan dilelong.

Kebanyakan daripada masalah itu timbul berikutan ceteknya pengetahuan pembeli berhubung proses lelongan dan hak mereka apabila terbabit dalam urusan lelongan.

Bagi Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, isu penipuan di rumah lelong bukanlah perkara baru. Saban hari, ada saja aduan secara lisan mahupun berbentuk e-mail yang diterima oleh persatuan itu mengenai masalah ini.

"PPIM berasa bertanggungjawab membantu mengenengahkan isu ini berikutan ramai pengguna yang tidak mendapat keadilan. Mana ada orang yang suka-suka biar rumah mereka dilelong.

"Dilelong itu satu hal, tetapi mereka tidak mendapat keadilan dan hak mereka seolah-olah tidak dipedulikan langsung," ulas Nadzim yang turut melihat sendiri masalah yang timbul di rumah lelong yang dikunjungi beliau dalam usaha membantu pengguna membuat aduan.

SERIBU SATU MASALAH

Pengguna yang datang mengadu tampil dengan seribu satu masalah dan satu contoh yang boleh diteladani ialah kes individu yang teraniaya apabila peralatan dapur dengan harga asalnya RM800,000, yang sepatutnya dilelong pada harga RM60,000, akhirnya setelah dibida harganya turun sehingga RM30,000.

Kes terbaru yang ditangani oleh Nadzim ialah kes seorang pengguna membeli rumah daripada sepupunya mendapati bahawa rumah itu akan dilelong setelah si penjual diisytihar bankrap.

Selepas 20 peratus deposit dibayar dan menandatangani perjanjian jual dan beli, dan sementara menunggu transaksi itu disiapkan, pihak bank pula mengambil keputusan hendak melelong rumah berkenaan walaupun dirayu pembeli.

Menurut Nadzim, beliau cuba membantu pembeli dengan membawa kes itu ke pejabat Pemegang Harta untuk mendapatkan penangguhan lelongan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Bersama seorang peguam, kami ke pejabat Ketua Pengarah, yang kemudian menyerahkan sepucuk surat yang membawa kami ke pejabat cawangannya di Shah Alam. Malangnya surat penangguhan lelongan yang kami perlukan tidak dapat dikeluarkan atas beberapa sebab.

"Lelongan akan diadakan pada hari Selasa, jadi saya cuba menyelesaikannya pada hari Isnin. Pihak bank masih mahukan surat daripada pejabat Pemegang Harta bagi membenarkan pembeli rumah berurusan terus dengan bank.

Dengan bantuan seorang peguam, salinan surat berkenaan disiapkan tetapi pejabat Pemegang Harta menyatakan bahawa ia tidak perlu kerana pembeli boleh berurusan terus dengan pihak bank.

Oleh kerana kesuntukan masa, pembeli berkenaan dinasihatkan oleh pihak bank agar membeli bank draf berjumlah RM58,000 kerana rumah itu akan dilelong pada harga mula RM585,000, sekiranya pembeli masih mahu memiliki hartanah itu.

SINDIKET BERLELUASA

Malangnya selain masalah di pejabat pentadbir harta, Nadzim turut melihat ada satu masalah yang lebih besar berlaku di rumah lelong.

Berdasarkan pengalaman berada di rumah lelong sewaktu menyelesaikan kes itu, beliau mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila mereka didatangi seorang lelaki yang berbisik kepada beberapa pembida jika hendak beli rumah berkenaan perlu bayar RM5,000 tunai barulah lelongan boleh ditarik balik.

"Saya kata demikian bukan kerana hendak kata rumah lelong tipu pembeli. Tetapi macam ada komplot tertentu yang bekerjasama dengan pihak tertentu. Sehinggakan adakah munasabah bila seorang pembida tanya ada kaveat atau tidak? Boleh tukar ke? Lelaki berkenaan jawab boleh," cerita Nadzim.

"Saya fikir, seperti ada satu sindiket atau ulat pelelong yang bekerjasama dengan pihak tertentu, jelas Nadzim.

Belum lagi dikira pihak yang mengambil untung atas angin dengan memujuk para pembida membayar sejumlah wang tertentu jika ingin memasuki rumah lelong. Keadaan ini sering berlaku apabila terdapat ramai pembida untuk satu hartanah. Bermakna, mereka yang dapat membayar wang itu, akan layak masuk sebagai pembida.

"Orang ramai sebenarnya tidak tahu prosedur dan takut-takut. Contohnya seorang pembida yang kena buat bank draf. Kerana terdesak, dia terpaksa berurusan dengan seorang lelaki yang saya perhatikan memang duduk di situ dengan bank draf. Kalau hendak beli rumah, kena bayar RM1,000. Nampaknya ada orang yang senang-senang saja boleh buat duit begitu," katanya.

CADANGAN PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

Beliau turut menasihatkan pihak yang ingin membeli hartanah lelong ataupun pihak yang hartanahnya akan dilelong supaya berhati-hati kerana dibimbangi akan terjebak dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengambil untung atas angin.

"Sekarang ini apa yang PPIM nampak ialah adanya sindiket yang menjalankan urus niaga atas angin dan membuat duit di atas keadaan pengguna yang tidak begitu faham tentang perjalanan rumah lelong."

Pihaknya sedang mengumpul aduan daripada pengguna, yang pernah berhadapan dengan masalah berkaitan lelongan rumah, untuk tujuan membongkar sindiket ulat pelelong di rumah lelongan.

Beliau turut mencadangkan supaya peruntukan undang-undang diwujudkan untuk menghalang kegiatan itu.

Pengguna pula perlu memahami prosedur lelongan di samping pihak berwajib meletakkan pemerhati untuk membetulkan keadaan yang dilihat begitu tersusun dan bagai dirancang.

PANDUAN PENGGUNA

Bagi pengguna yang berminat membeli hartanah lelong ada beberapa perkara yang mereka perlu lakukan terlebih dahulu.

*Lihat lokasi dan keadaan hartanah itu bagi memastikan tiada penipuan atau pemilik asal masih lagi menetap di situ.

*Dapatkan salinan dokumen yang berkaitan dengan hartanah berkenaan di pejabat tanah.

*Baca syarat-syarat lelongan iaitu perkara yang berkaitan dengan cukai seperti cukai tanah, cukai pintu, cukai tandas dan bil tertunggak seperti air dan elektrik. Semak jumlahnya dan tanggungjawab pihak mana untuk menyelesaikannya.

Setelah itu barulah tentukan keputusan sama ada untuk masuk bidaan atau tidak.

Selain itu, mereka yang berminat untuk membuat bidaan perlu menyediakan bank draf sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga lelongan barulah dibenarkan masuk ke rumah lelong untuk membuat bidaan. Misalnya harga bidaan bermula pada RM150,000, pembida perlu membawa bank draf bernilai RM15,000.

Pemenang bidaan hendaklah melangsaikan baki deposit pada harga bidaan yang dimenangi pada hari itu. Misalnya, jika bidaan yang dimenangi ialah RM200,000, pemenang perlu menambah RM5,000 bagi baki deposit yang mesti diselesaikan pada hari yang sama.

Apabila deposit dibayar, pembeli diberi tempoh tiga atau empat bulan untuk menyelesaikan baki harga lelong yang dimenangi misalnya melalui pinjaman bank atau simpanan sendiri.

-- BERNAMA