Kau gunakanku semasa berbicara
Kau gunakanku semasa bersuara
Engkau dan aku sebenarnya sama
Satu wadah, satu arah, satu matlamat
Sayangnya… aku selalu dicemari
Oleh mereka yang tidak mengerti
Aku digunakan sewenang hati, melanggar hukum dan tata
Sering kali melatah, acap kali terkesima
Apatah lagi apabila penggunaku berpaksi ke Barat
Lintang-pukang bahasaku bahasamu mendarat
Akhirnya, nada tersekat-sekat
Tapi…aku masih gah
Aku terima semua demi kebaikan
Agar bahasaku bahasamu tidak pupus ditelan zaman
Cuma…
Aku bimbang…
Bila kaumeluncur laju berbicara
Semakin berani berbahasa suka-suka
Kerana lidahmu tidak bertulang, suaramu makin lantang
Aku pula yang mungkin tumbang
Bukan kerana hilang nada tetapi hilang keasliannya
Bila jati diri tidak dikenali, dapatkah bahasamu, bahasaku terus berdiri?
Dapatkah bahasa Melayu terus berfungsi sebagai alat berkomunikasi?
…atau sekadar milik peribadi?
Wahai bahasaku bahasamu
Bukalah hati mindamu
Lihatlah betapa indahnya bahasa Melayu
Marilah kita melestari bahasa
Tonjolkanlah martabatnya
Supaya kekal kewujudannya
Itu satu tanggungjawab
Itu satu kewajipan
Biarlah bahasa kita berwibawa
Jangan sekali-kali menjadi alpa
Selamat bangsaku
Selamat bahasa Melayu!
Nukilan : Rozanah Haji Kasnan
(Sumber:http://www.rubiyah.net/)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan