SUDAH TERANTUK BARU TENGADAH.
Peribahasa ini menggambarkan seseorang yang cuai atau tidak mengambil berat akan sesuatu perkara yang boleh berlaku terhadap dirinya sehingga mendatangkan kerugian, kemalangan, dan seumpamanya. Antara peribahasa lain yang sama maksudnya ialah sudah kalah baru berkubu, sudah kecurian baru mengunci pintu, dan sudah lulus baru hendak melantai.
Kamus Dewan mendefinisikan perkataan tengadah sebagai mengangkat kepala (muka), melihat ke atas atau mendongakkan muka (kepala).Kebiasaannya, di rumah-rumah tradisional Melayu terdapat peran iaitu bahagian atas alang yang berlantai yang fungsinya untuk menyimpan barang dan sebagainya. Kedudukan peran ini biasanya agak rendah, dan jika tidak berhati-hati, maka sesiapa yang berjalan di bawahnya mungkin akan terantuk kepalanya kepada peran tersebut.
Keadaan ini dapat dikaitkan dengan sikap seseorang yang tidak berhati-hati dalam mengambil keputusan atau tindakan sehingga menyebabkan kerugian terhadap dirinya. Hal ini berpunca daripada sikap diri kita sendiri yang sering kali malas berusul periksa, tidak sabar dan tidak menggunakan akal fikiran yang waras semasa membuat sebarang keputusan.
Oleh itu marilah kita berusaha dan belajar untuk menjadi penyabar, berusul periksa, meggunakan hati dan akal, serta menimbangkan sesuatu dengan seadilnya sebelum kita membuat sesuatu keputusan kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan