Pada tahun 1946 Reverend Bosworth-Smith dalam 'Mohammed & Mohammedanisme’ menulis tentang Nabi s.a.w :
“Daripada ketua kerajaan dan kepada ketua gereja, beliaulah 'Caesar' dan 'Pope' dalam satu; tetapi beliau adalah 'Pope' tanpa dakyah-dakyah politik, 'Caesar' tanpa barisan tentera 'Caesar', tanpa pengawal peribadi, tanpa mahligai istana, tanpa saraan pendapatan gaji yang tetap. Kalaulah ada dakwaan di dunia ini yang mengatakan adanya seorang manusia yang benar-benar memerintah di dunia atas kuasa yang datang terus dari langit maka orang itu hanyalah, Mohammad., Kerana hanya beliaulah seorang yang memiliki kuasa tanpa mekanisme jajahan kuasa dan tanpa pertolongan kerajaan. Beliau tidak mengendahkan tentang kuasa yang datang dari pengaruhnya. Kesederhanaan hidupnya mencerminkan cara gaya hidupnya mentadbirkan persona dirinya dalam bersama orang ramai dan tidak terjejas langsung akibat kedudukannya sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia ini.”
Pada tahun 1978 Michael Hart menulis dalam bukunya '100 orang paling berpengaruh dalam sejarah', beliau memilih nabi Muhammad sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah dan berkata:
“Keputusan saya memilih Muhammad untuk mengetuai senarai nama orang yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan pembaca dan pasti akan dipersoalankan orang, tetapi pada hemat saya beliau seorang sahaja yang berjaya baik dari peringkat sekular dan juga dari peringkat keagamaan…… Oleh sebab kebolehannya megadunkan dua unsur ini tanpa tolok bandingannya berbanding dengan personaliti-personaliti lain dalam sejarah maka saya merasakan Muhammadlah yang berhak mendapat jolokan sebagai seorang individu yang paling berpengaruh dalam lembaran sejarah tamadun manusia.”
Tingkah-laku serta ucapan yang keluar dari bibir baginda memberi bimbingan untuk kita umat manusia untuk mencapai kejayaan, bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat.
Nabi s.a.w. seorang yang berfikiran positif. Setiap urusan baginda adalah ke arah yang bermatlamat. Baginda mengelakkan diri baginda daripada setiap tindak-tanduk yang berunsur negatif yang akan menghalang proses kejayaan seperti sifat benci, dengki, bongkak, tamak, dan sebagainya.
Setiap tindak-tanduk baginda adalah berniat bersih dan adalah kerana Allah s.w.t.
Daripada mengkaji kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. kita akan memperoleh prinsip-prinsip kejayaan baginda.
Prinsip pertama:
Ambil jalan yang mudah: Prinsip diterangkan oleh A’ishah. Beliau mengatakan:
“ Apabila nabi s.a.w. terpaksa memilih antara dua pilihan, baginda akan memilih pilihan yang lebih mudah” (Bukhari)
Memilih jalan yang mudah bermaksud bahawa anda perlu mengkaji masalah anda dengan rasional dan baik dan memilih yang paling bijak dan menyenangkan urusan kerja anda. Setiap individu yang bermula dengan natijah sebegini akan cepat menuju ke arah matlamat hidupnya.
Prinsip Kedua:
Lihatlah peluang dalam kesusahan: Sewaktu permulaan di Mekah, terdapat banyak masalah dan rintangan. Pada waktu itu satu petunjuk turun dari Allah s.w.t. yang berfirman:
“Seiring dengan kesusahan adalah kesenangan. Seiring dengan kesenangan adalah kepayahan” (94:5-6).
Ini bermakna jika ada masalah pasti ada peluang yang datang seiringan dengannya. Jalan menuju kejayaan adalah dengan mengatasi masalah yang datang dalam setiap cubaan dan menyahut setiap peluang yang datang sekali gus bersama-samanya.
Prinsip ketiga:
Bertindak dengan berubah tempat bermastautin: Prinsip ini timbul hasil dari peristiwa Hijrah. Hijrah bukan sahaja satu penghijrahan dari Mekah ke Madinah . Ia merupakan satu pengembaraan untuk mencari satu tempat yang lebih sesuai untuk perkembangan agama Islam.
Berpindah adalah satu aspek penting untuk mencapai keamanan dan keadilan. Ini juga dapat membuahkan pembukaan minda dan rohani untuk menerima pembaharuan dari segi intelek, rohaniah dan pemikiran.
Prinsip keempat:
Jadikan seorang kawan daripada seorang musuh: Agama Islam sering mendapat tentangan hebat daripada masyarakat jahiliyaiah. Ketika itu, Al-Quran menganjurkan berlaku baik terhadap mereka yang melakukan kejahatan. Kemudian Al-Quran mewartakan:
'Kamu akan menyaksikan lawanmu menjadi kawanmu'. (41:34).
Ia bermaksud bahawa dengan melakukan kebaikan terhadap orang yang mengkhianati kita dengan kejahatan kita akan dapat menundukkan keegoan mereka dengan sikap kita yang luhur dan ikhlas.
Contoh terunggul sifat kemanusiaan Nabi s.a.w. jelas sewaktu menawan kembali kota Mekah beliau tidak meumpahkan darah walaupun setelah beliau dilayan dengan sebegitu buruk terdahulu daripada itu. Semua musuh yang ditawan diberikan pengampunan termasuk Hindun, isteri Abu Suffian, wanita yang memotong serta mengeluarkan usus serta perut ayah saudara Nabi s.a.w. Dalam keadaan sedemikian Nabi s.a.w. tetap mengampunkan Hindun.
Prinsip kelima:
Pendidikan adalah tonggak kejayaan: Selepas perang Badr, Lebih 70 orang jahiliyiah diambil sebagai tawanan perang. Mereka merupakan orang terpelajar. Nabi s.a.w. mengumumkan bahawa sekiranya mereka berjaya mengajar 10 anak-anak Muslim menulis dan membaca mereka akan dibebaskan dari tawanan perang. Ini merupakan sekolah pertama dalam sejarah Islam yang mana semua penuntutnya beragama Islam dan tenaga pengajarnya daripada pihak musuh.
Prinsip keenam:
Jangan berfikiran sempit: Dalam perang terkenal di Mu’tah, Khalid Ibn. Walid a.s. memutuskan untuk menarik diri pejuang-pejuang Islam dari medan perang kerana mendapati tentera Islam berada dalam jumlah yang sedikit berbanding tentera-tentera lawan. Apabila mereka pulang , sesetengah orang Islam memfitnah mereka sebagai lari dari medan perang. Nabi s.a.w. membangkang seraya berkata,
“Tidak! Mereka adalah ahli pejuang yang mara ke hadapan”.
Ketika itu sesetengah penduduk Madinah berfikiran sempit dan menafsirkan keadaan ini sebagai sama ada tentera melawan atau berundur. Nabi s.a.w. di sebaliknya berkata terdapat pilihan ketiga dalam aspek ini yakni mengelakkan peperangan seketika untuk mengumpul kembali tenaga dan kekuatan selanjutnya kambali ke medan perang dengan keadaan lebih bersedia lagi menggerunkan pihak musuh.
Sejarah membuktikan strategi pemikiran jauh dan luas baginda dalam menangani masalah berjaya mendapat kejayaan yang membanggakan yang akhirnya menumpaskan musuh di sempadan Rom setelah menyiapkan tentera-tentera Islam selama tiga tahun untuk berhadapan dengan mereka.
Prinsip ketujuh:
Jangan mengadakan atau memanjangkan konfrontasi yang tidak perlu: Prinsip ini timbul hasil dari perjanjian damai Hudaibiyyah. Ketika itu umat jahiliyiah berkeras untuk berperang dengan tentera Islam kerana mereka berkeadaan lebih baik dari segi strategi peperangan tetapi Nabi s.a.w. , sebaliknya memasuki perjanjian perdamaian bersifat unilateral untuk selama sepuluh tahun. Sebelum itu pihak Islam dan yang bukan Islam hanya bertemu di medan peperangan untuk menyelesaikan konflik mereka. Sejak itu konfrontasi hanya ditangani dengan perbincangan serta pertukaran maklumat mengenai perbezaan ideologi. Dalam masa dua tahun, Islam muncul unggul lantaran ideologinya yang tiada tolok bandingannya.
Prinsip kelapan:
Bijaksana(hikmah) dalam pelaksanaan hukum: Prinsip ini termaktub dalam Hadith riwayat Bukhari. Ai’shah bersabda yang mana surah-surah awal penurunan ayat-ayat Al-Qur’an berkaitan rapat dengan syurga dan neraka. Selepas kepercayaan mula menyerap masuk ke dalam hati sanubari umat manusia, Allah s.w.t. menurunkan surah-surah untuk menyeru umat manusia menghentikan terus dari melakukan ketidakadilan dan amalan-amalan yang tidak bermoral yang membelenggui masyarakat Arab jahiliyiah itu ketika itu. Bukti sejarah ini jelas menunjukkan bahawa Islam menggemari cara kesederhanaan dan membenarkan cara evolusi dari revolusi dalam perlaksanaan polisi dan pembaharuan.
Prinsip kesembilan:
Bersifat pragmatik dalam menangani konflik: Sewaktu menulis draf perdamaian di meja rundingan Hudaibiyyah nabi s.a.w. bersabda "Inilah utusan daripada Muhammad utusan daripada Allah s.w.t." , kaum Quraish terus memberontak dengan ayat ini lantas Nabi s.a.w menyarankan ayat itu diubahsuai kepada ‘Muhammad, anak kepada Abdullah’. Ini mendiamkan pengkritik-pengkritiknya.
Ini hanyalah sebilangan kecil daripada prinsip-prinsip yang Nabi Muhammad s.a.w. gunakan untuk mengatur langkah hidupnya. Kunci kejayaan prinsip-prinsip hidupnya diiktiraf oleh pengkaji sejarah sebagai tiada tolok bandingnya dan adalah bijak seandainya kita umat Islam cuba mencontohi kebijaksanaan baginda.
' Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)' (Quran 33:21)
Sumber :http://home.hamidarshat.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan