Jumaat, 22 Mei 2009

Budaya membaca penentu kejayaan Kota Buku


PERTENGAHAN April lalu, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi tumpuan lebih sejuta peminat buku apabila berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Walaupun jumlah pengunjung tahun ini dikatakan sedikit merosot berbanding kira-kira 2 juta pada tahun sebelumnya, namun berdasarkan tinjauan rambang rata-rata penulis, pengedar, peniaga serta penganjur berpuas hati dengan pembabitan mereka kali ini.

Pengunjung bukan saja datang dari sekitar Lembah Klang dan negeri yang berjiran dengannya, malah ramai juga yang datang dari jauh, semata-mata ingin mendapatkan pelbagai buku dan bahan bacaan. Perkembangan itu memberi petanda baik terhadap industri buku negara yang sekian lama menunjukkan perkembangan yang agak perlahan.

Ia juga membuktikan kesedaran membaca di kalangan masyarakat kita kini menunjukkan peningkatan. Jika dulu kajian terhadap minat membaca di kalangan rakyat Malaysia mendapati rakyat kita hanya membaca satu setengah halaman setahun, tetapi kini minat itu telah meningkat dengan agak ketara.

Namun, kita masih ketinggalan jauh berbanding dengan minat membaca yang sudah menjadi budaya dalam kehidupan di kalangan masyarakat di kebanyakan negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha serta kempen untuk meningkatkan kesedaran terhadap minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini, terutama di kalangan generasi muda.

Selain menambah bahan bacaan di perpustakaan sekolah dan institusi pengajian tinggi, kerajaan juga mewujudkan perpustakaan desa di peringkat daerah dan kampung untuk memudahkan rakyat mendapatkan bahan bacaan.

Di peringkat sekolah juga Kementerian Pelajaran melaksanakan Program Nilam untuk menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan selain daripada tumpuan kepada buku teks. Namun kejayaannya masih kurang memberangsangkan dan tidak menyeluruh. Penggunaan perpustakaan juga masih kurang sambutan dan semua itu menyebabkan perkembangan industri buku menjadi suram.

Kita tidak boleh menyalahkan golongan pelajar seratus peratus kerana sistem pendidikan kita sejak di peringkat sekolah rendah lagi begitu menekankan peperiksaan menyebabkan mereka membaca semata-mata sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Punca mereka bersikap sedemikian adalah kerana syarat serta kelayakan memasuki ke universiti yang menjadi matlamat setiap pelajar, memerlukan mereka cemerlang dalam peperiksaan. Jika gagal dalam akademik, bermakna pintu ke institusi pengajian tinggi akan tertutup rapat, walaupun mereka mempunyai kemahiran lain.

Langkah kerajaan untuk mewujudkan Kota Buku di Kuala Lumpur, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, membuktikan kerajaan tidak pernah jemu melakukan pelbagai usaha ke arah mewujudkan masyarakat minat membaca.

Kita percaya usaha itu akan mendapat sokongan padu daripada penerbit, penulis dan pengedar buku. Bagaimanapun ia tidak harus dilihat dari sudut keuntungan yang dapat direbut oleh golongan berkenaan semata-mata, kerana usaha itu akan hanya berjaya dan menjadi kenyataan jika kesedaran rakyat terhadap minat membaca berkembang dan berubah kepada lebih baik.

Rakyat adalah sasaran utama kepada sebarang usaha kerajaan untuk menggalakkan mana-mana pihak menerbit, menulis atau mengedar buku mereka kerana rakyatlah yang akan menentukan sama ada buku yang ditulis, diterbit dan diedar itu laris di pasaran.

Jika usaha kerajaan itu tidak mendapat sambutan di kalangan rakyatnya sendiri, kita tidak yakin apakah hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku akan dapat dicapai.

Penubuhan Kota Buku mengingatkan kita kepada Perkampungan Buku yang diwujudkan kerajaan di Pulau Langkawi. Sejauh manakah sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap projek itu dan apakah ia berjaya meningkatkan minat membaca sehingga menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kita?

Jika usaha itu menjadi kenyataan kelak, kita tidak mahu melihat Kuala Lumpur sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku hanya akan mendapat sambutan dan tumpuan yang lebih baik di kalangan pelancong asing. Keadaan itu bukan mustahil memandangkan minat membaca di kalangan rakyat asing lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia sendiri.

Tidak lama lagi, Bulan Membaca akan kembali lagi. Matlamat Bulan Membaca yang jatuh pada setiap bulan Julai juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan kesedaran serta minat membaca di kalangan rakyat.

Kita harap, tahun ini Bulan Membaca akan mendapat sambutan lebih menggalakkan dan pihak penganjur harus menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk menarik rakyat pelbagai peringkat umur mengambil bahagian.

Jadikanlah Bulan Membaca tahun ini sebagai usaha untuk melonjak minat membaca, sekali gus menjadi langkah untuk menyokong usaha kerajaan menubuhkan Kota Buku yang dijangka menjadi kenyataan akhir tahun ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan