Selasa, 19 Mei 2009

GURU KECEWA ANAK KURANG BERJAYA

BERSAMA DR RUBIAH K HAMZAH (PAKAR MOTIVASI)

Ramai anak didik berjaya dalam pelajaran dan mendapat kerjaya baik, berbanding anak sendiri

Soalan:

SAYA seorang guru yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun. Alhamdulillah, ramai anak didik saya berjaya dalam pelajaran. Bangga saya melihat mereka melanjutkan pelajaran ke universiti dan mendapat kerjaya yang baik.Malangnya, anak saya sendiri tidak pula begitu. Mereka tidak maju dalam pelajaran dan membuatkan saya tertekan memikirkan keadaan ini. Saya berasa seperti tidak berjaya menjadi ibu yang baik, berbanding kejayaan saya sebagai seorang guru.

Cikgu Sekolah

Jawapan:


Salam sejahtera cikgu. Tahniah umi ucapkan kerana berjaya mendidik anak murid hingga berjaya ke menara gading. Ini satu ibadah yang amat besar imbalannya dari Allah jika dilakukan ikhlas kerana Allah. Ini bermakna cikgu seorang pendidik yang baik.

Menjadi pendidik dan mendidik anak orang memang lebih mudah berbanding mendidik anak sendiri. Sebab itu dipesan agama “anak kadang kala menjadi ujian dan cabaran yang boleh membuat kita merengkok ke neraka.”

Juga dipesankan oleh bijak pandai bahawa “guru yang hebat itu bermula dengan menjadi guru pertama yang baik dan berjaya mendidik anaknya dalam sekolah pertamanya iaitu rumahnya sendiri”. Jika ini tidak terjadi maka pasti ada yang tidak beres dalam kehidupan di rumah. Keluhan yang cikgu kemukakan pada umi adalah luahan biasa sebagai ibu bapa. Contohnya pengalaman umi sebagai pendidik di rumah untuk anak jiran dalam kelas mengaji al-Quran.

Bila ditanya ibunya, kenapa tak mengajar anak sendiri mengaji, jawapan mereka susah nak mengajar anak sendiri daripada mengajar anak orang. Akhirnya anak sendiri minta diajarkan oleh orang lain. Kononnya bila ibu mengajar anak sendiri, marahnya cepat menggunung dan tangannya terlalu cepat singgah ditubuh anak. Akhirnya anak menangis dan pengajaran tidak berjalan. Mengajar anak sendiri lebih sulit kerana kita mengetahui semua perlakuan, kekuatan dan kelemahan anak kita. Keadaan diburukkan lagi ada sikap yang terbina dalam diri guru di rumah, bahawa memarahi anak sendiri tidak mengapa kerana kuasa di tangan kita sepenuhnya. Kalau anak tak mahu ikut, kita boleh denda dengan seribu jenis ugutan kerana anak kita tidak akan menentang. Kononnya memang ibu bapa punya kuasa autonomi ke atas anak.

Jadi, apa pun yang kita buat dia tetap bersama kita. Berbanding mengajar anak orang, sikap kita lain daripada sikap kita mengajar anak sendiri. Dengan anak orang di sekolah, guru dikawal oleh banyak peraturan. Tidak boleh banyak marah budak, tidak boleh pukul sebarangan dan kita bimbang akan disemak oleh majikan hasil kerja kita, dituntut oleh ibu bapa murid sekiranya berlaku salah kendalian terhadap anak mereka dan sebagainya. Hasilnya guru bersikap lebih lembut, lebih bersungguh-sungguh mendidik kerana itu bukti yang menjulang nama guru dan sekolah bila anak didik berjaya. Ada pujian dan penghargaan daripada pelbagai pihak, ada kenaikan pangkat dan ada pencapaian cemerlang dan sebagainya.

Lebih penting lagi mengajar di sekolah kerana anda makan gaji atau cari rezeki. Jika salah adun, kerja hulu hala, rezeki jadi tidak pasti berkat atau tidak, sedangkan mengajar anak di rumah tidak ada sebarang kayu ukur penilaian, percuma dan masanya tidak terjadual dengan baik dan mungkin dibuat bila senang dan lapang. Maka anak kita lebih terbiar dari segi jadual berinteraksi yang pasti anak dengan ibu bapa sebagai guru pertamanya dan rumah tidak menjadi sekolah pertama anak berbanding dengan anak murid yang terjadual interaksinya dengan guru di sekolah.

Keadaan bertambah buruk jika guru menganggap mengajar anak sendiri rendah tahap wajibnya hinggakan ramai guru yang menswatakan anak mereka ke pusat tuisyen walaupun ibu bapanya bertugas sebagai guru. Inilah senario masa kini. Andai kata cikgu tidak bersikap seperti yang dinyatakan maka permasalahan cikgu timbul disebabkan cikgu terlalu mengambil berat soal markah dan keputusan peperiksaan, hingga terlepas usaha membangun anak dari segi semangat, jati diri (IQ, EQ dan SQ) agar seimbang sehingga semangat dan jati diri anak tidak terlonjak untuk memburu kejayaan akademik semata-mata.

Sebab kedua, cikgu tertekan kerana cikgu berasa hanya kejayaan akademik saja yang akan menjamin kehidupan masa depan. Lalu cikgu membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak murid. Cikgu tidak sewajarnya membandingkan sebegitu kerana bila membanding cikgu akan berasa anak cikgu serba kurang daripada anak didik cikgu. Akibatnya cikgu mula patah semangat dan memandang rendah keupayaan anak sendiri, sedangkan mereka juga mampu berjaya, tapi bila perbandingan berlaku, anak cikgu jika mungkin mengalami tekanan jati diri rendah, lalu kurang berminat untuk memburu kecemerlangan lagi.

Jika keadaan ini berlaku cikgu akan mengalami keadaan lebih sukar memotivasi mereka. Oleh itu nasihat umi, cikgu terimalah hakikat bahawa anak cikgu hebat sebab ibu ayahnya hebat, tetapi tahap dan bidang kehebatannya mungkin bukan dalam akademik tapi dalam sukan, dalam ko-kurikulum, mungkin dalam bidang komputer, mungkin dalam bidang seni dan bidang bukan akademik lainnya yang juga mampu membuahkan hasil yang baik sebagai kerjaya akan datang.

Bidang ini tidak terfokus pada markah dan akademik saja. Pengalaman umi sendiri ada anak lelaki yang rendah pencapaian akademik berbanding adik-beradik yang lain. Saya dorong dia dalam bidang lain, berdasarkan potensinya didapati dia berminat tinggi dalam hal bukan akademik. Akhirnya dia mampu bekerja sendiri (membuka bengkel kereta sendiri) yang keupayaannya jauh lebih baik daripada kakaknya yang masuk universiti. Malah, kakaknya pula kagum pada keupayaan adiknya yang tidak tinggi pencapaian akademiknya dulu tapi cemerlang dalam bidang yang dipilihnya.

Sebab itu bersabarlah dalam mendidik anak. Jangan sekali-kali membandingkan anak kita dengan anak orang, sebab kita tak tahu bagaimana ibu bapa mereka mendidiknya di rumah sehingga anak mereka yang menjadi anak didik cikgu boleh berjaya. Sebab itu ada pepatah orang tua-tua mengingatkan kita, “anak udang, udang juga, manakan sama anak tenggiri, anak orang, orang juga, manakan sama anak sendiri”. Wajarlah mengagungkan anak didik, tapi jangan sampai anak sendiri berasa terhina dan terbiar bak kata perumpamaan ‘kera di hutan disusui anak sendiri kehausan” atau “dagang lalu ditanakkan, anak sendiri mati tak makan.”

Hargailah anugerah Allah yang ada dalam jagaan cikgu kerana setiap yang lahir sudah ditentukan rezekinya, didik mereka kenal Tuhannya secara kental hingga anak berasa kehadirannya di dunia untuk menjadi hamba Tuhan bukan hamba dunia dan hamba harta serta hamba kerjaya. Andai ini sudah menyubur dalam diri ke mana pun mereka pergi pasti berjaya bak kata bidalan “ulat dalam batu pun boleh hidup inikan pula kita manusia”.

Kalaupun mungkin mereka kurang cemerlang di dunia, mudah-mudahan matinya mereka cemerlang di akhirat hasil dari ketaatan mereka pada Allah. Anak amanah Allah dan satu-satunya talian hayat yang menyambungkan kita dengan dunia setelah kita berangkat dijemput Tuhan nanti, cikgu pasti mahu doa daripada anak yang soleh dan solehah bukan? Kalau hanya sibuk dengan kerjaya dan gaji tinggi tapi lupa Tuhan dan lupa diri sulit juga kemudian hari. Percayalah ungkapan keramat warisan orang tua kita “ ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi” jika cikgu bersungguh-sungguh mendidik anak murid pasti Allah memberi kemudahan kepada cikgu untuk mendidik anak cikgu sendiri.

Bersabar dan berdoalah apa yang cikgu mahukan pada anak cikgu kerana dunia ini penuh dengan cabaran dan ujian. Bersabar diri adalah ciri-ciri orang yang berlapang dada dan bersabar kerana Allah pasti akan memberi kemudahan dan kemenangan. Jalan keluar dan bantuan Allah akan datang bersama kesulitan dan dalam setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan. Teruskan menghargai anugerah Allah yang berada di tangan kita sebelum kita dijemput Tuhan.

Sumber:http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan