Selasa, 19 Mei 2009

MENDEKATI BUKAN MENJAUHI GURU

Mendekati bermaksud menghampiri atau berada bersama-sama manakala menjauhi bermaksud tidak suka bersama atau cuba mengelak daripada berjumpa dengan mereka. Jika perkara ini dirujukkan kepada guru maka seseorang murid itu perlulah menghampiri guru dalam proses pembelajaran. Mereka yang suka menjauhi guru ialah mereka yang tidak berminat untuk belajar dan tidak mahu dibimbing oleh guru.

Seseorang murid seharusnya mendekati guru berdasarkan butiran berikut:

• Guru sebagai sumber ilmu: Kita datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. Walaupun ilmu itu berada di mana-mana tetapi peranan dan tunjuk ajar guru amat diperlukan untuk memberi lebih pemahaman kepada kita. Tanpa ilmu kita ibarat kapal yang belayar di tengah lautan tanpa nakhoda. Sudah tentu kapal itu akan terumbang-ambing dan mungkin juga akan tenggelam dihempas ombak.

• Guru sebagai pembimbing: Setiap murid harus dibimbing setiap hari. Walaupun kita diminta berdikari tetapi bimbingan daripada guru amat diperlukan kerana guru ialah pengganti ibu bapa ketika di sekolah.

• Guru sebagai penyelesai masalah: Guru mempunyai pelbagai tugas dan kemahiran. Contohnya menjaga disiplin pelajar, memberi motivasi dan kaunseling, mengajar, dan melatih aktiviti sukan atau aktiviti kebudayaan. Oleh itu jika kita rajin berdamping dengan guru bermakna kita akan dapat berbagai-bagai pengalaman dan kemahiran untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

• Guru sebagai rakan: Guru juga ialah insan yang mempunyai perasaan serta suka berkawan. Oleh itu pada masa tertentu guru boleh dijadikan rakan yang mampu memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Walaupun guru dianggap sebagai rakan, namun mereka perlu dihormati dan segala arahan guru haruslah diamalkan pada sepanjang masa.

• Guru sebagai penyuluh cahaya: Ungkapan ini bermaksud guru sentiasa memberikan bimbingan yang membolehkan murid-murid mendapat kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan murid tersebut.

Setelah mengetahui betapa besarnya peranan guru serta peluang yang kita peroleh apabila berdampingan dengan mereka, maka janganlah kita menjauhi guru. Kita perlu sentiasa mendekati mereka. Jika menghadapi sebarang masalah kita sewajarnya menghubungi guru untuk mendapatkan panduan yang sebaik-baiknya daripada mereka. Jangan sekali-kali membenci atau memarahi mereka. Anggaplah mereka itu sebagai ikon ke arah kejayaan diri kita.

Sumber: http://www.tutor.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan