Wabak Selsema Babi nampaknya masih belum reda meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh pelbagai institusi kesihatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO.
Menurut sejarah pada tahun 1918 virus Influenza telah membunuh lebih daripada 20 juta manusia di seluruh dunia. Dan ada juga yang menganggarkan lebih 40 juta yang menjadi mangsa. Antara sebabnya apabila dibuat kajian ialah kuman-kuman ini sebenarnya datang dari babi-babi di Amerika, yang menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia pertama. Dan tentera-tentera ini seterusnya membawa wabak ini ke merata tempat di pelbagai negara di seluruh dunia. Dikatakan jumlah kematian berlaku dalam tempoh yang singkat dan wabak ini pada ketika itu adalah antara wabak yang membawa kematian yang cukup besar jika dibandingkan dengan lain-lain wabak penyakit moden pada masa itu. Dan setelah dibuat kajian terperinci, ternyata punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi. (Sumber: The Civil Aboliotionist, New Pig Virus Capable of Infecting Human, New York, 1998 )
Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia wabak selsema babi adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit daripada babi dan disebabkan oleh virus influenza A. Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus Selesema Babi). Tanda dan gejala Selesema Babi pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah. (Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)
Penyakit Selsema Babi ini mula menjadi kebimbangan dunia dan menimbulkan kegawatan apabila ia meragut nyawa manusia dan menular begitu pantas. Meskipun negara-negara Islam masih belum diserang oleh wabak berkenaan namun Malaysia telah dikejutkan dengan kes pertama apabila seorang pelajar berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat disahkan pembawa wabak berkenaan. Kes ini sedikit sebanyak telah menggusarkan hati kita dan jika berkesempatan pergi ke KLIA dan Lapangan Terbang negeri-negeri yang bertaraf antarabangsa maka kita akan bertambah risau dengan ramainya kakitangan hospital dan kesihatan yang bertopeng bersedia menunggu mereka yang datang atau pulang dari negara luar yang menimbulkan suasanan cemas.
Manusia secara tabiinya apabila berdepan dengan musibah akan menjadi gawat dan cemas seperti dinyatakan oleh Allah Taala di dalam Surah Al-Ma ‘arij ayat 19-21 yang bermaksud:
(( Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir )).
Sebagai seorang muslim pastinya setiap apa yang menimpa samada dalam bentuk nikmat mahupun musibah ditangani dengan penuh rasa kehambaan kepada Allah Taala. Jika nikmat datang ia bersyukur dan jika musibah menimpa ia akan sabar sepenuhnya serta sentiasa mengakui ada hikmah di sebalik kejadian tersebut. Selsema Babi adalah musibah yang menimpa di era abad ke 21 yang penuh dengan kemajuan dunia. Manusia yang kosong jiwanya dari iman mendabik dada dengan pencapaian sains dan teknologi yang didokongi oleh saintis-saintis dunia yang hebat. Rasa kehebatan kepada diri sendiri inilah yang telah mencetuskan ideologi sekular yang mengajar manusia tentang keunggulan akalnya dan menafikan kerasionalan agama serta menolak peranan agama dalam kehidupan manusia. Agama pada sisi sekular hanya layak berada di rumah ibadat dan dalam upacara kematian sahaja. Urusan sains dan teknologi serta urusan pentadbiran negara perlu diserahkan kepada golongan profesional yang bijak pandai.
Alllah Taala Yang Maha Bijaksana menakdirkan bencana wabak Selsema Babi berlaku diabad ini bukanlah mahu menghukum manusia kerana Ia Maha Adil. Sebaliknya Ia dengan sifat Kasih SayangNya mahu mengingatkan manusia agar kembali merenung hakikat kehambaan mereka dan hakikat kebesaran Tuhan. Manusia, sehebat mana sekalipun tidak akan mampu menandingi kuasa Yang Maha Pencipta dan manusia, sebijak mana sekalipun tidak mampu menyaingi ilmu Tuhan Yang Maha Bijaksana. Justeru di dalam berdepan dengan penularan wabak Selsema Babi adalah wajar dijadikan saat untuk berhenti sebentar bagi merenung hakikat kehidupan ini. Ya! Terdapat pelbagai iktibar di sebalik peristiwa ini yang berlaku ini dan ia hanya dapat diambil pengjaran oleh mereka yang berakal. Antaranya ialah:
1) Bagi memberi amaran kepada mereka yang celupar menghina Nabi Muhammad s.a.w dengan melukis seekor babi dan ditulis nama Muhammad padanya dengan tujuan menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia jijik seperti babi. Juga memberikan amaran kepada usaha jahat golongan bukan Islam yang memasukkan sumber babi di dalam makanan umat Islam dan menyembunyikannya dengan label halal palsu bertujuan menghina dan menginaya umat Islam. Mungkin menjadi satu budaya bagi musuh Islam menjadikan objek babi sebagai satu cara memerangi Islam kerana mereka tahu babi diharamkan oleh Allah Taala kepada umat Islam. Malah dalam sejarah kejatuhan Islam di Andalusia, golongan Salibiah menggunakan babi yakni dengan membiakkannya secara berleluasa bagi menghalau saki baki umat Islam yang masih tinggal di sana.
2) Bagi memberi penegasan bahawa larangan memakan babi di dalam Al-Quran bukanlah omongan kosong tetapi ada hikmah yang antara lain ialah bagi menghindari manusia dari virus pembunuh seperti Selsema Babi seperti yang berlaku hari ini dan juga wabak Japanese Encephalitis (JE) di Bukit Pelanduk pada tahun 1999. Malah di sekitar tahun 50-an, dunia dikejutkan dengan cacing trichina daripada babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh mennyembuhkannya pada ketika itu. Dan oleh kerana itu, satu amaran telah dikeluarkan di Amerika tentang bahaya memakan daging babi. Amaran tersebut telah dikeluarkan di Washington Post bertarikh 31 Mei 1952 dan dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard.Meskipun golongan yang berniaga babi cuba menjelaskan bahawa wabak Selsema Babi bukan berpunca dari memakannya, namun perlu diingat bahawa akibat dari tabiat suka makan babilah menyebabkan wujudnya ladang-ladang ternak babi secara meluas yang menjadi punca penularan wabak berkenaan. Seharusnya negara-negara Islam seperti Malaysia bertegas melarang penternakan babi-babi ini kerana ia bukan sahaja mengancam alam sekitar malah mengancam nyawa manusia.
3) Bagi menyokong kebenaran ajaran Islam berkaitan dengan amalan taharah yakni bersuci seperti membasuh tangan dan menutup mulut ketika bersin. Menurut pakar perubatan, wabak Selsema Babi ini dapat dihindari melalui amalan membasuh tangan dan menutup mulut ketika bersin. Kedua-dua amalan ini pada hakikat bukanlah menjadi kesusahan kepada kita kerana Islam telah lama mengajar umatnya menjaga kebersihan dengan dikhususkan satu bab di dalam Fekah Islam yang dinamakan Bab Taharah atau bersuci yang membicarakan soal jenis-jenis najis termasuk babi dan soal berkaitan dengan cara bersuci secara jelas. Berkenaan dengan membasuh tangan, adalah menjadi satu amalan sunnah apabila bangun sahaja dari tidur dibasuh tangan sebelum memulakan wudhuk. Manakala ketika bersin, juga menjadi amalan sunnah Nabi s.a.w ditutup mulut agar tidak terpercik dan terbau oleh oleh orang lain dan diikuti dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ kemudian dijawab oleh si bersin dengan ‘Yarhamukallah’ ertinya ‘Allah merahmati kamu!’.
Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan