Khamis, 11 Jun 2009

KEMPEN HENTIKAN PEMBAKARAN TERBUKA MAMPU ELAK JEREBU

SETIAP kali jerebu melanda negara, kita mula menuding jari mencari sasaran untuk dipersalahkan daripada mereka yang melakukan pembakaran terbuka sehingga kegagalan pihak berkuasa menanganinya. Masalah jerebu berlaku sejak 10 tahun lalu sehingga seolah-olah menjadi satu musim, sama seperti musim tengkujuh. Setiap kali menjelang Jun, semua sibuk memperkatakan mengenai jerebu. Dijangkakan jerebu yang mula melanda negara sekarang akan berlanjutan sehingga September, berikutan kesan pemanasan global dan perubahan tiupan angin monsun. Jerebu bukan saja menjejaskan tahap penglihatan dan mengundang masalah kesihatan, malah menyebabkan cuaca panas kerana jerebu yang memerangkap haba akan menjadikan cuaca - terutama di bandar dan berpenduduk padat - bertambah panas. Malah, laporan mengenai kemungkinan fenomena El-Nino yang mengundang kemarau dan panas melanda negara dalam tempoh terdekat akan memburukkan lagi keadaan jerebu. Negara pernah mengalaminya pada 1997 dan 1998 sehingga menyebabkan Sarawak terpaksa mengisytiharkan darurat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500. Selepas sekian lama jerebu melanda negara dan kita semua sudah tahu punca sebenarnya jerebu. iaitu dari sumber tempatan dan jerebu lintas sempadan, kita masih belum dapat menyelesaikannya secara tuntas. Kita sering menyalahkan petani dan peladang sawit di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia kerana melakukan pembakaran terbuka sehingga mewujudkan banyak titik panas yang asapnya kemudian ditiup angin melepasi sempadan ke Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


Malangnya, kita masih belum mampu mengawal pembakaran terbuka di dalam negara yang turut menyumbang kepada ancaman jerebu. Petani yang mengamalkan pertanian pindah dan melakukan kaedah ‘tebang dan bakar’ masih menjadi penyumbang kepada titik panas di pedalaman Sabah dan Sarawak. Begitu juga petani dan peladang sawit yang melakukan pembersihan kawasan hutan, termasuk paya gambut ketika musim panas, masih gagal dibendung sehingga menyumbang kepada masalah jerebu di negara ini. Sehubungan itu, langkah pendidikan kesedaran alam sekitar dan ketegasan penguatkuasaan undang-undang perlu dimantapkan bagi memastikan sumber tempatan yang menyumbang kepada fenomena ini dapat dikurangkan. Dalam pada itu, Jawatankuasa Tetap Serantau bagi Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang membabitkan Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand perlu mencari mekanisme baru bagi menangani masalah jerebu merentasi sempadan. Semua jelas, masalah jerebu melanda rantau Asean berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan pertanian atau kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Kalimantan, Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Apa yang boleh dilakukan ialah kita memfokuskan langkah pendidikan pencegahan di kawasan yang sering berlaku pembakaran terbuka, terutama beberapa bulan sebelum musim panas menjelang. Ia penting bagi mengurangkan operasi pembakaran ketika musim panas, terutama di kawasan hutan paya gambut yang menjadi penyumbang utama jerebu dan mengakibatkan kerugian dari segi ekonomi, selain menyebabkan kira-kira 20 juta penduduk Asia Tenggara berisiko mendapat penyakit berkaitan pernafasan.

Sumber : http://www.bharian.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan