Iktibar kembara agung ke langit
WALAUPUN setelah 40 tahun angkasawan Niel Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, rahsia langit luas masih kekal rahsia. Ia masih belum dapat dijangkau oleh akal manusia.
Malah manusia juga masih tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu, wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai rahsia alam ini.
Sebagai contoh, peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit. Ia menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT sememangnya "Maha Berkuasa". Allah menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidilharam di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitulmaqdis di Palestin.
Baginda kemudiannya dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu zat Allah SWT. Semua perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.
Peristiwa menakjubkan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra', Ayat 1).
Sehubungan itu, umat Islam diminta agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara peringatan tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak sahaja tanpa berusaha untuk mengambil pelajaran daripada peristiwa itu.
Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Antaranya ialah:
*Beriman dengan perkara ghaib
Peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab menjadi murtad. Ini kerana mereka tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW mengenai perjalanannya itu.
Apa tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan - Mekah ke Madinah ke Palestin - hanya dilakukan oleh Baginda dalam tempoh satu malam sahaja.
Namun perkara itu tidak boleh hanya disandarkan kepada logik akal semata-mata kerana peristiwa itu adalah benar dan telah ditempuhi sendiri oleh Rasullah SAW.
Maka, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.
Contohnya, oksigen yang dihela oleh manusia setiap masa. Ia wujud walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Malah kewujudan oksigen dibuktikan secara saintifik dan ternyata sangat penting kepada manusia sebagai unsur utama untuk meneruskan hidup.
*Perintah wajib mengerjakan sembahyang
Ibadah sembahyang yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj itu merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasikan daripada perlakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT.
Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini. Dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan atau bantahan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.
Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab di Hari Kemudian. Pelbagai hukuman disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Ia sebenarnya cukup untuk menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikan segala suruhan-Nya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah itu sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.
*Wajib percaya dengan Hari Kiamat
Perlu difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara. Semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tidak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran.
Oleh itu, setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.
Individu Muslim disaran agar meletakkan diri sebagai seorang pengembara yang dalam perjalanan bertemu Allah SWT. Sebagai pengembara kita perlu membawa pelbagai bekalan. Amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan semasa di dunia merupakan bekalan kita ketika menuju ke akhirat bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju itu.
Selain itu, persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.
*Wajib percaya dengan azab Tuhan
Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj tersebut. Antaranya akibat perbuatan zina, makan riba, ingkar menunaikan solat dan kewajipan berzakat, berdusta serta pecah amanah. Ia membuktikan betapa Allah SWT berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.
Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.
Di sudut lain, gambaran kurniaan Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berdepan dengan godaan syaitan iaitu musuh utama kita.
*Wajib percaya dengan qada dan qadar
Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah.
Nabi Muhammad SAW juga tidak lekang dengan pelbagai ujian. Ini kerana Baginda juga merupakan manusia biasa.
Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan dua individu penting dalam karier dakwahnya iaitu isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.
Tetapi Baginda tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga diberi ganjaran dengan dipertemukan dengan zat Allah pada malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan.
Maka selayaknya umat Islam mencontohi Nabi dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba hamba-Nya.
Terdapat pelbagai lagi iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan pelbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa berkenaan.
Marilah kita mensyukuri segala nikmat itu dengan mempertingkatkan amal ibadat dan kebaikan demi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan