SYABAS kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Syabas juga kepada pasukan jurulatih bola sepak kebangsaan dan anakanak muda yang bertungkus-lumus bertarung menentang Manchester United (MU), malam semalam.
Pengurus pasukan MU, Sir Alex Ferguson yang terkenal dengan ketegasannya, turut mengagumi mutu permainan pasukan negara. Beliau menegaskan bahawa pasukan Malaysia beraksi secara terbuka dan penuh bertenaga!
Ferguson melihat semangat juang yang tinggi di dalam diri setiap pemain Malaysia. Pastinya beliau tidak lagi menganggap Malaysia sebagai pasukan belasahan seperti yang berlaku ketika negara berdepan dengan kelab-kelab ternama dunia sebelum ini.
Ramai yang mungkin sangsi membaca kenyataan akhbar semalam. Namun saya yakin sebahagian besar hampir 80,000 penonton di Stadium Nasional pada malam Sabtu itu, bersetuju dengan kenyataan Ferguson tersebut.
Secara keseluruhannya, pasukan negara yang kebelakangan ini jarang-jarang sekali menerima sorakan dan tepukan gemuruh penonton, telah berjaya mengembalikan suasana gamat di stadium berkenaan. Mereka berjaya menghidupkan perasaan teruja di hati penonton.
Saya terpesona, khususnya terhadap kekentalan barisan pertahanan negara yang menimbulkan rasa cemas di kalangan pemain-pemain ternama MU yang bertaraf dunia. Nama-nama gah seperti Micheal Owen, Dimitar Berbatov, Ryan Giggs dan Wayne Rooney yang mulanya nampak bersantai tetapi akhirnya berhempas pulas cuba memecah benteng pertahanan negara bagi mencari kemenangan.
Dengan ranking ke-161 FIFA, tewas 2-3 kepada kelab terkemuka dunia seperti MU hakikatnya adalah satu "kemenangan besar". Ia membawa seribu pengajaran pada kita semua untuk merentasi kemajuan bola sepak malah juga kemajuan ekonomi negara.
Saya katakan kemenangan besar kerana ia berkemungkinan memberi jawapan awal kepada persoalan lama yang masih belum terjawab. Beberapa tahun lalu, semasa menghadiri satu sesi membincangkan prestasi dan strategi ekonomi rantau Asia Timur di Seoul, Korea Selatan, saya dikejutkan oleh satu soalan oleh seorang rakan yang juga seorang pakar ekonomi di sana.
Beliau berusia awal 50-an. Soalnya: "Where is Chandran? (Di mana Chandran?)" Pastinya di kalangan pembaca muda, ramai yang tertanya-tanya siapakah Chandran?
Pembaca yang lebih senior mungkin tersenyum apabila terkenangkan M. Chandran. Beliau ialah ketua pasukan bola sepak negara di era 1970-an. Beliau begitu dikagumi kerana kehebatan pertahanannya.
Kegemilangan bola sepak negara di era 1970-an sehingga kini diingati oleh pakar ekonomi Korea Selatan yang mengajukan soalan tersebut pada saya. Katanya, ketika usia muda iaitu di tahun-tahun 1970-an, seluruh peminat bola sepak Korea Selatan terasa gentar apabila pasukan Malaysia bertandang ke Seoul.
Semua tertanya-tanya, adakah Chandran turut hadir? Kehadiran Chandran merunsingkan Korea Selatan kerana pertahanan Malaysia begitu kental dan begitu susah untuk ditembusi.
Ia nampak bertambah hebat apabila turut mendapat sengatan "Super Mokh". Ketika itu siapa tidak kenal atau tidak mengagumi kehebatan Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau penyerang hebat pasukan bola sepak negara. Kehadiran pasukan Malaysia sangat menggentarkan Korea Selatan. Pasukan kita memang digeruni.
Kini setelah hampir 40 tahun, istilah gerun itu tiada lagi bila menyentuh mengenai pasukan bola sepak negara. Kini tahap permainan bola sepak Korea Selatan telah mencapai kelas dunia. Mereka telah jauh meninggalkan Malaysia.
Pesta Bola Merdeka yang satu masa dahulu menjadi rebutan negara-negara Asia tiada lagi keistimewaannya. Pasukan utama Korea Selatan tidak lagi menjadikannya sasaran utama mereka. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan penyertaan atau kemenangan pada pertandingan Pesta Bola Merdeka.
Pasukan bola sepak kita semakin suram. Kita bukan lagi menimbulkan kegentaran tetapi menjadi 'makanan' kepada pasukan lain. Pendek kata sejak kebelakangan ini, pasukan negara sering diaibkan dengan kekalahan demi kekalahan walaupun berdepan dengan pasukan tidak terkenal.
Nasib bola sepak kita juga boleh disamakan dengan keadaan daya saing ekonomi kita. Di awal 1970-an, Korea Selatan adalah rakan sekelas dari perspektif kemajuan ekonomi. Pendapatan per kapita dan tahap kemajuan teknologi Malaysia dan Korea Selatan adalah setanding.
Malah pernah satu ketika Korea Selatan terpaksa menghantar sepasukan ahli ekonominya ke Malaysia untuk mempelajari dan memanfaatkan kemajuan ekonomi negara.
Saya difahamkan mereka pernah bertandang di Unit Perancang Ekonomi (EPU). Semuanya untuk mempelajari cara kita menguruskan soal ekonomi negara. Mereka mahu belajar dan mungkin ketika itu berasa 'gerun' dengan perkembangan dan daya saing ekonomi kita.
Namun kini kemajuan ekonomi negara juga hampir senasib seperti bola sepak. Benar kita telah mencatat kemajuan ekonomi yang boleh juga dibanggakan khususnya sehingga pertengahan 1990-an. Lagipun ekonomi kita tidak pernah jatuh merudum berpanjangan seperti nasib yang menimpa pasukan bola sepak.
Bagaimanapun secara relatifnya, keghairahan ekonomi kita agak pudar berbanding Korea Selatan.
Pada tahun 1980, pendapatan per kapita (harga semasa) kedua-dua negara adalah setanding, iaitu AS$1,812 bagi Malaysia dan AS$1,750 untuk Korea Selatan. Jumlah itu menunjukkan persamaan walaupun Kuala Lumpur sedikit mengatasi Seoul iaitu hanya AS$62.
Tetapi pada tahun lalu, pendapatan per kapita Korea Selatan mencecah AS$19,506. Jumlah itu dua kali lebih besar berbanding Malaysia yang hanya mencatatkan pendapatan per kapita AS$8,141. Bayangkan perbezaan sebanyak AS$11,365. Sekali imbas semua tahu bahawa terdapat jurang yang ketara.
Sebenarnya, dalam kamus kemajuan ekonomi tidak ada istilah impossible (mustahil). Kita masih belum terlambat. Tetapi kita perlu jadikan prestasi lalu sebagai pengajaran. Jelasnya, kita amat perlu suntikan baru.
Laluan untuk itu sudah ada dan sudah tersedia. Lagipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka era baru untuk kita semua. Model ekonomi baru yang kini dibentuk dan tata cara kita berekonomi telah diumumkan oleh Perdana Menteri sejak mengetuai kepimpinan negara. Ia memberi kita signal yang begitu jelas. Kita mula bermain dengan rentak baru seiring dengan struktur baru ekonomi global yang begitu dinamik dan kompetitif.
Kita menyatakan kesediaan untuk bersaing dan mengolah polisi dan struktur ekonomi negara agar lebih bersedia untuk bersaing di peringkat global. Semua pihak termasuk ekonomi negara, industri, firma dan setiap rakyat perlu bersungguh-sungguh menyediakan diri untuk turut sama menyertai era ekonomi baru ini.
Jika diteliti, persembahan pasukan bola sepak negara semasa menentang MU malam kelmarin boleh dijadikan iktibar. Ia seolah-olah memberi jawapan bahawa Malaysia masih ada Chandran.
Kita masih ada Super Mokh. Mungkin lebih banyak Chandran yang dapat dihasilkan sekiranya kita terus bersungguh-sungguh menggilap bakat yang ada.
Apa pun, kita perlu konsisten dalam soal prestasi. Kita tidak perlu sangsi dengan kemampuan diri. Kita tidak boleh berkompromi atau berputus asa dalam soal meningkatkan kemampuan.
Buktinya, berdasarkan saiz fizikal pemain dan ranking pasukan negara, kita mungkin terlalu jauh kebelakang berbanding dengan MU. Namun dengan semangat "Satu Pasukan" dan patriotisme yang tinggi - demi negara - menyebabkan MU pun terasa bahangnya kelmarin.
Stadium yang dibanjiri warna merah (menyokong MU), akhirnya membuat keputusan. Pemain negara menunjukkan kehebatan. Mereka menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada para penonton.
Rata-rata yang berbaju merah akhirnya 'berpaling tadah'. Di luar merah, namun jauh di sudut hati mereka melakar warna belang kuning. Bila 'Chandran' mula menjelma, semangat semua naik membara.
Begitulah juga dengan ekonomi negara. Semoga era baru yang mula diteroka juga akan kembali meletakkan ekonomi Malaysia di peta dunia. Dengan semangat Satu Malaysia yang baru dinyalakan tidak mustahil satu hari nanti saya akan bangga ketika sekali lagi mengunjungi Korea Selatan.
Ketika itu saya mungkin telah bersedia dengan jawapan. Saya boleh berbangga sekiranya sekali lagi berkesempatan bertemu pakar ekonomi di Seoul itu. Saya mahu memberitahunya bahawa saya dan juga rakyat Malaysia sudah menemui 'Chandran' yang ditanya olehnya itu. Kita telah menemui semangatnya. Bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga ekonomi negara.
Dan saya serta jutaan rakyat Malaysia turut mengharapkan suasana yang sama malah lebih baik apabila pasukan negara bertemu MU sekali lagi malam nanti. Malaysia Boleh!
PROF. DATUK DR. NOOR AZLAN GHAZALI ialah Pengarah, Malaysian Development Institute (MDI), Unit Perancang Ekonomi (EPU)
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan