Khamis, 23 Julai 2009

Budayakan konsep kebersihan tandas

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

RASA tidak puas hati Timbalan Perdana Menteri terhadap mutu kebersihan tandas awam memang tepat. Ketika ini, 30 peratus daripada 16,990 tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan swasta masih di tahap gred C dan D.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan perkara itu ketika perasmian Kempen Kebersihan Awam Bagi Menangani Influenza. Walaupun objektif kempen itu secara spesifik disebut sebagai sebahagian daripada 10 langkah menangani penularan wabak H1N1, pelaksanaannya bakal mendatangkan faedah lebih meluas. Ia berdasarkan peranan tandas yang begitu besar dalam mempengaruhi tahap kesihatan secara khususnya dan taraf kehidupan masyarakat Malaysia secara amnya.

Keadaan tandas awam boleh menjadi ukuran kepada pelancong asing mengenai tahap kebersihan keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, agak sukar untuk membudayakan penjagaan kebersihan tandas dalam kalangan masyarakat.

Puncanya boleh dibahagikan kepada sikap pengguna, kekerapan penyelengaraan dan prasarana yang tidak sempurna.

Sikap kebanyakan pengguna ialah apa sahaja yang berlabel awam maka akan ada orang lain yang menjaga dan menguruskannya. Apatah lagi jika memasuki tandas awam berbayar.

Selagi sikap ini tidak diubah, maka selama itulah masalah kebersihan tandas menjadi "penyakit kronik" masyarakat kita.

Kekerapan penyelenggaraan adalah bergantung kepada kadar turn-over pengguna di sesuatu lokasi. Misalnya, di kawasan perhentian bas ekspres, kekerapan pembersihan pada waktu puncak seharusnya digandakan. Faktor ini jugalah yang menjadikan kenapa kebanyakan tandas awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R)lebih bersih. Ia kerana kekerapan penyelengaraan yang bergantung kepada keperluan.

Keadaan prasarana yang tidak sempurna memudaratkan lagi senario kebersihan tandas. Kes-kes di mana pam tidak dapat berfungsi, bekalan air tidak mencukupi, kebocoran daripada tempat takungan air yang menyebabkan air sentiasa menitis dan menitik ke atas pengguna menyebabkan wujud rasa kurang selesa.

Dalam keadaan yang lebih parah, ada juga dalam kalangan pengguna yang masih menggunakan prasarana yang tidak sempurna ini walaupun dilabel sebagai 'tandas rosak'.

Ini mungkin salah tetapi ada ketikanya masalah 'tandas rosak' itu tidak diatasi oleh penyelia perkhidmatan dalam tempoh yang lama. Label 'tandas rosak' seharusnya hanya bersifat sementara dan tindakan membaikinya harus segera diambil untuk mengelakkan rasa kurang selesa di kalangan pengguna.

Pihak Majlis Perbandaran sememangnya telah lama cuba meletakkan imej tandas awam ditempat yang lebih baik. Pelbagai usaha dijalankan baik berbentuk penilaian dari semasa ke semasa mahupun kempen-kempen. Antaranya ialah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah yang mengeluarkan laporan bulanan pemeriksaan tandas awam yang mengklasifikasikan prestasi dalam kategori cemerlang, baik, memuaskan atau kotor.

Pengemaskinian data itu mungkin boleh dilakukan dengan lebih terkini dan dicontohi oleh PBT lain. Rasanya tahap kebersihan tandas jug aperlu melalui KPI sebagai tanda aras pencapaian pelaksanaan usaha sesebuah PBT.

Kemudahan tandas awam diwujudkan selaras dengan tujuan memudahkan orang awam yang sentiasa memerlukannya. Namun seringkali tahap kebersihannya menjadi igauan ngeri pengguna terutamanya pelancong asing yang sudah terbiasa dengan keadaan tandas awam yang bersih dan kering di tempat mereka.

Maka janganlah dibiarkan keadaan tandas awam yang buruk imejnya memalitkan kekotoran yang mampu mencemarkan nama negara di mata dunia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan