Khamis, 23 Julai 2009

ISU FILEM TEMPATAN

Filem tempatan perlu ada nilai tanggungjawab kemasyarakatan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

LAPORAN akhbar sebelum ini menyebut kerajaan mungkin mengharamkan filem atau drama tempatan yang memaparkan aksi lumba haram dan mat rempit. Bagaimanapun, tidak dipastikan lagi sama ada pengharaman itu akan dilakukan atau tidak.

Tetapi yang pasti, banyak filem seumpamanya di layar perak sehingga mencetuskan polemik orang ramai sama ada wajar atau tidak mengeluarkan filem, yang akhirnya menjadi ikutan remaja masa kini.

Kita tertanya-tanya mengapa filem seperti Anak Bapa, Musang Berjanggut, Anakku Sazali, Semerah Padi, Antara Dua Darjat dan Hang Jebat berjaya mendapat tempat di hati peminat filem Melayu dan menjadi box office.

Filem arahan Tan Sri P Ramlee itu sebenarnya ada mesej tersendiri yang kebanyakannya menghukum orang yang bersalah sebagai pengajaran kepada masyarakat umum, bukan mengangkat martabat perilaku seperti mat rempit.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata filem Melayu tidak boleh menjadi naskhah hiburan semata-mata atau komoditi perniagaan kerana filem turut berperanan menyebar elemen kebaikan supaya menjadi contoh.

Katanya, filem yang sangat besar pengaruhnya perlu bertanggungjawab mengangkat nilai identiti budaya masyarakat Melayu, memperkukuhkan apa yang kurang dan menguatkan kembali yang lemah.

"Itu yang hilang dalam kebanyakan filem dihasilkan hari ini kerana rata-rata hanya membangkitkan isu tetapi tidak menyediakan jawapan atau cadangan kepada cara menyelesaikan masalah diketengahkan.

"Filem perlu ada nilai tanggungjawab yang dipandu oleh matlamat utama kenapa isu dalam filem itu dibangkitkan serta apa jalan penyelesaiannya supaya akhirnya nanti penonton memperoleh kebaikan daripadanya," katanya.

Beliau yang pernah mencetuskan idea filem menjadi perutusan melalui pembentangan kertas kerja bertajuk 'Filem sebagai al-Risalah' menemukan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya penonton mendapat manfaat daripada industri filem negara.

Justeru, filem Melayu perlu mempunyai elemen tradisi dan Islam serta lima ciri membentuk pemikiran filem iaitu kualiti ilmu, susila, minda, kerja atau tanggungjawab dan pimpinan. Filem Melayu yang diatur sebagai seni dan hiburan tetap ada matlamat membangunkan identiti, moral dan akhlak masyarakat.

Abu Hassan berkata, filem seperti Anakku Sazali, Semerah Padi, Antara Dua Darjat dan Hang Jebat berjaya mendapat tempat di hati peminat filem Melayu dan menjadi box office kerana filem itu memiliki ciri menepati fungsi 'Filem sebagai al-Risalah'.

Beliau berkata, masyarakat inginkan penyelesaian atau melihat yang bersalah menerima hukuman mereka dan hasrat itu berjaya ditonjolkan dalam filem karya P Ramlee, menjadikan ia naskhah yang tidak jemu ditonton hingga sekarang.

Disebabkan tiada kualiti ilmu katanya, filem Melayu yang ada sekarang memberi gambaran seolah-olah masyarakat hari ini tidak ada perkara besar hendak difikirkan, pada hal tanggungjawab dan pimpinan dalam maksud filem cuba membentuk pengaruh untuk masyarakat lebih berani serta progresif.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengeluarkan garis panduan tertentu untuk diikuti pengeluar filem.

Bagaimanapun, baru-baru ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan untuk mengharamkan sesebuah filem atau drama televisyen keluaran produksi tempatan yang mengandungi adegan lumba haram atau aksi mat rempit.

Ahad lalu, laporan muka depan akhbar Sunday Times menyatakan peraturan baru oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengharamkan aksi mat rempit serta lelaki memakai baju perempuan dalam filem dan drama.

Arahan itu berikutan surat dihantar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan perkataan mat rempit serta adegan lumba haram dan aktiviti membabitkan mat rempit dalam filem dan drama.

Apabila menteri kata tidak ada, kesimpulan yang boleh dibuat ialah tiada isu pengharaman aksi mat rempit atau pondan dalam filem dan drama. Persoalan kedua boleh dikemukakan, macam mana isu itu boleh timbul jika tidak ada asas kepada usaha mengharamkan perkara terbabit.

Tambahan pula dalam keadaan sekarang, setiap hari ada saja berita menggemparkan yang memerlukan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas, pastinya isu mat rempit dan bohsia jika boleh tidak menambahkan pening kepala.

Apa pun rentetan kenyataan demi kenyataan mengenai gejala sosial yang membimbangkan itu dan sehingga kini belum ada kaedah berkesan mengatasinya, isu dibangkitkan wajar mendapat pertimbangan semua pihak.

Di sebalik keghairahan penerbit filem dan drama menghasilkan cerita memaparkan masalah melanda masyarakat terutama belia hari ini, sebenarnya banyak pihak yang gusar dengan tindakan itu.

Alasan diberi penerbit atau pengarah bahawa isu yang dijadikan jalan cerita bertujuan memahami golongan mat rempit, pondan dan bohsia juga mengundang rasa tidak puas hati pihak yang tidak bersetuju dengan pembikinan filem seumpama itu.

Ada pihak berpendapat apa yang dilakukan seperti menjadikan kumpulan berkenaan sebagai tajuk filem yang menggegarkan perasaan seolah-olah memuliakan mereka sedangkan kehadiran mat rempit bukan saja mengganggu ketenangan masyarakat, malah menyalahi norma serta fitrah kejadian manusia.

Persoalan yang mungkin terlupa untuk ditanya oleh mereka yang terbabit dalam penghasilan filem seumpama itu ialah bagaimana jika apa yang didedahkan tidak menghasilkan keputusan diharapkan, sebaliknya keadaan semakin tidak terkawal.

Itulah susahnya apabila nilai komersial mengatasi kesedaran tanggungjawab sosial atau fardu kifayah kerana kebanyakan kita suka menganggap untuk fardu kifayah ini biar orang lain saja yang buat, kita tak payah.

Namun, bagi orang filem, mereka juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar membentuk corak kehidupan orang di luar sana kerana semua mengakui kuasa televisyen dan layar perak mempengaruhi minda penonton.

Justeru, ada pihak mengharapkan supaya penayangan aksi mat rempit, pondan, bohsia dan terbaru ingin dipopularkan iaitu kumpulan gay, diharamkan.

Tujuannya, supaya kumpulan yang kini dinaikkan martabat serta diagungkan melalui filem sedar bahawa sudah tiba masanya jalan cerita hidup mereka diubah kerana tiada gunanya menjadi duri dalam daging, denyut sakitnya terus mengganggu selagi duri tidak dikeluarkan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan