Selasa, 7 Julai 2009

HADIS PERINCI PERINTAH ALLAH


Kelengkapan atau kesyumulan al-Quran sesungguhnya terletak kepada kesempurnaannya dalam mengatur persoalan-persoalan umum atau cabang-cabang kecil dalam kehidupan manusia. Al-Quran adalah sumber utama pembentukan hukum Islam dan sebagai sumber syariat yang pertama.

Maka apabila terdapat nas mengenai suatu hukum di dalam al-Quran, ia wajib diikuti. Jika sebaliknya, (apabila didapati hukumnya terdapat di dalam hadis) umat Islam hendaklah merujuk kepada hadis (al-Sunnah) yang merupakan sumber kedua syariat Islam.

Keberadaan hadis Rasulullah SAW amat penting dijadikan sandaran dan pegangan kepada umatnya baik melalui ucapan, perbuatan atau pengakuan baginda SAW. Sunnah diturunkan kepada baginda dengan wahyu, sebagai mana al-Quran diturunkan.

Hadis Rasulullah tidak dibaca dengan lafaznya, sebagaimana al-Quran. Justeru, Hadis dinamakan sebagai al-wahyu ghayr al-matluw (wahyu yang tidak dibaca dengan lafaznya).

Meskipun demikian, hadis mempunyai kedudukan yang amat penting dalam kehidupan umat dan menjadi rujukan utama setelah al-Quran bagi kemurnian ajaran-ajaran Islam dan dalam memberikan penjelasan serta pemahaman terhadap al-Quran.

Ini kerana tanpa hadis Rasulullah SAW, petunjuk yang terkandung di dalam al-Quran tidak akan difahami dan dipraktikkan di dalam kehidupan dengan jayanya.

Menjadi kewajipan umat Islam untuk mentaati dan mengikuti segala apa yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr: 7)

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). (al-Nisa': 80).

Fungsi hadis terhadap al-Quran

Kandungan al-Quran ada yang bersifat umum (ijmali) dan ada yang bersifat terperinci (tafsili). Hal-hal yang bersifat umum, sudah tentu memerlukan penjelasan-penjelasan yang lebih terang dalam penerapannya sebagai petunjuk dan kaedah hidup manusia.

Rasulullah SAW selaku penyampai wahyu Allah melalui lidah, perbuatan dan pengakuan telah diberi tugas dan autoriti untuk menjelaskan kandungan dan menentukan sesuatu hukum di luar al-Quran al-Karim.

Penjelasan baginda tidak hanya bersifat lisan, malah ia termasuk berbentuk amalan praktik melibatkan perihal pelaksanaan ibadah solat, puasa, haji dan sebagainya.

Antara fungsi hadis atau sunnah terhadap al-Quran, adalah sebagaimana berikut:

1. Mentaqyidkan yang mutlak, (membataskan hukum yang mutlak).

Firman Allah SWT: Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya... (al-Maidah: 38)

Ayat ini adalah contoh yang baik dalam masalah ini, kerana kata pencuri dalam ayat ini bersifat mutlak. Begitu juga dengan tangan.

Sunnah qawliyah menerangkan yang pertama (iaitu pencuri) dengan membatasi pencuri yang mencuri ¼ dinar dengan sabda baginda SAW iaitu: Tidak dipotong tangan kecuali mencapai ¼ dinar atau lebih. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2. Mentafsilkan yang mujmal (menjelaskan hukum yang datang tidak jelas maksudnya).

Contohnya sunnah qawliyyah menerangkan ayat tentang tayamum.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sapulah mukamu dan tanganmu... (al-Maidah: 6). Maksud tangan di sini adalah telapak tangan.

Hal ini berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: Tayamum itu ialah dengan mengusap wajah dan kedua telapak tangan. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain keduanya dari hadis 'Ammar ibn Yaasir.

Begitu juga dalam Firman Allah SWT: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang akan mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-An'am: 82).

Para sahabat Rasulullah memahami perkataan baginda, iaitu al-zulm secara umum yang mencakupi segala bentuk kezaliman walaupun kecil. Oleh yang demikian ayat ini menjadi berat bagi mereka, sehingga mereka berkata: "Wahai Rasulullah, siapakah di antara kami yang tidak mencampur-adukkan keimanannya dengan kezaliman?".

Rasulullah menjawab: "Bukan begitu yang dimaksudkan, tetapi yang dimaksudkan dengan al-zulm (kezaliman) di sini adalah syirik. Tidakkah kalian mengingati nasihat Luqman kepada anaknya: "Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar". (riwayat al-Bukhari, Muslim, dan lainnya).

3. Mentakhsiskan yang am. (Mengkhususkan yang umum).

Contohnya: Dalam pembahagian harta pusaka sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Nisa ayat 11. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Ayat ini menyatakan hukum secara umum iaitu semua usul (ibu, bapa, datuk, nenek) adalah pewaris, manakala semua furu' (anak, cucu dan ke bawah) adalah waris.

Bagaimanapun, sunnah mengkhususkan di mana anak para nabi tidak mewarisi harta peninggalan bapa mereka sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Kami para nabi tidak diwarisi, semua harta peninggalan kami adalah sedekah. (riwayat al-Bukhari)

Begitu juga sunnah mentakhsiskan anak-anak yang menerima pusaka hanya anak-anak yang tidak menjadi pembunuh pewarisnya sendiri seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Pembunuh tidak boleh mewarisi (menerima) pusaka". (riwayat al-Imam al-Darimi)

4. Menetapkan hukum yang tidak disebutkan oleh al-Quran.

Contohnya: Sebagaimana Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu Yang dilakukan secara fasiq, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama Yang lain dari Allah", kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka Sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-An'am: 145).

Berhubung firman Allah SWT di atas, sunnah menetapkan hukum bagi sesuatu perkara yang tidak disebut dalam ayat ini seperti sabda baginda SAW: Setiap binatang buas yang bertaring dan setiap burung yang berkuku tajam adalah haram.

Terdapat juga hadis lain yang melarang dari hal selain di atas seperti sabda Rasulullah SAW sewaktu peperangan Khaybar: Allah dan Rasul-Nya melarang kalian dari (memakan) himar yang jinak kerana rijs (kotor). (riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Selain itu, sunnah juga datang menetapkan hukum yang tidak dinyatakan dalam al-Quran. Ini termasuklah pengharaman mengahwini wanita bersama dengan ibu saudaranya sama ada sebelah bapa atau ibu.

Sebagai kesimpulan, huraian di atas menunjukkan betapa pentingnya sunnah dan fungsi-fungsinya dalam syariat Islam. Tidak ada jalan untuk memahami al-Quran dengan pemahaman yang sebenar kecuali dengan diiringi hadis dan Sunnah Rasulullah.

Allah SWT melindungi kita dengan keutamaan bimbingan dan Sunnah Nabi SAW. Tanpa hadis Rasulullah, tatacara pelaksanaan ibadah-ibadah dalam Islam akan terhenti.

Seterusnya mengakibatkan umat Islam tiada arah panduan dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan tidak akan dapat merealisasikan tujuan penciptaan mereka ke dunia iaitu melaksanakan segala perintah Allah.

Al-Imam Al-Suyuti mengatakan, "Sesiapa yang tidak mengakui sunnah atau hadis sahih maka dia akan dikumpulkan pada hari akhirat kelak bersama orang-orang Yahudi dan Nasrani".

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan