Isnin, 27 Julai 2009

ISU KERANCUAN BAHASA

DBP boleh hukum pesalah bahasa

Oleh Nazmi Yaakub bhnews@bharian.com.my

Kuasa diperuntukkan termasuk denda, penjara

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta DBP 1959 (Akta 213) yang di peringkat akhir pembetulan, difahamkan memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghukum pesalah bahasa, termasuk denda dan penjara.

Bagaimanapun, penguatkuasaannya dikatakan hanya dalam konteks rasmi dan tidak membabitkan urusan tidak rasmi kerana ia bukan bertujuan menafikan hak kebebasan berbahasa.
Sumber memberitahu Berita Harian, pindaan Akta DBP 1959 memberi kuasa menghukum pesalah bahasa tanpa mengehadkan kepada penggunaan bahasa Melayu di papan tanda dan iklan, tetapi turut membabitkan semua majlis rasmi yang memerlukan penggunaan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

"Kata kunci dalam memahami ruang lingkup menghukum pesalah bahasa dalam pindaan itu ialah rasmi dan kita juga memberi tumpuan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam atau mempunyai kepentingan awam," katanya kepada Berita Harian.

Pindaan juga akan melengkapkan tujuh kuasa kepada DBP dalam menggalakkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan di negara ini, iaitu memberi arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata pindaan berkenaan kini pada peringkat akhir pembetulan selepas draf cadangannya diteliti Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

"Dokumen pindaan Akta DBP 1959 yang dihantar kepada Kementerian Pelajaran sudah diserahkan untuk pembetulan.

"Saya tidak perlu memperincikan komen Kementerian Pelajaran, kerana ia masih menjadi rahsia," katanya ketika ditemui di DBP di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa proses pindaan Akta DBP 1959 mengambil masa terlalu lama, walaupun Kabinet bersetuju memberi kuasa menghukum pesalah bahasa termasuk kesalahan pada papan tanda dan iklan kepadanya pada 2006.

Ketika itu, Kabinet memutuskan untuk memberi kuasa menghukum pesalah bahasa kepada DBP dengan meminda akta berkenaan, hasil memorandum bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (ketika itu)

Sejak 10 tahun lalu, lebih 212 premis dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kesalahan bahasa dalam iklan daripada segi ejaan atau penterjemahan, saiz huruf bahasa Melayu lebih kecil, tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya di bahagian atas papan iklan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan