Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
SEINGAT saya, hanya sekali saya bersemuka dengan Yasmin Ahmad dan berbual-bual dengannya.
Pertemuan kali pertama kira-kira empat tahun lepas itu merupakan kali pertama dan terakhir antara saya dengannya. Tiada lagi pertemuan secara empat mata dengannya selepas itu.
Namun, dari jauh, perkembangan kerjaya pengarah kelahiran Muar, Johor ini menarik perhatian saya. Dia bukan seperti pengarah filem arus perdana yang lain. Kerja Yasmin ialah menghasilkan naskhah-naskhah filem yang disukai oleh ibu dan ayahnya.
Pengarah yang meninggal dunia pada usia 51 tahun ini tidak pernah peduli, jauh sekali untuk berkecil hati kalau orang lain tidak suka dengan kerja-kerja seninya.
Apa yang paling utama buatnya ialah ibunya, Inom Yon dan bapanya, Ahmad Hashim gembira dengan hasilnya.
Itu sudah cukup membahagiakan karyawan berkelulusan ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom ini. Kerana itu, perasaan dan cita rasa orang lain bukan prioriti buat sutradara prolifik ini.
Bagaimanapun, Yasmin juga disifatkan sebagai seorang sutradara yang bertanggungjawab. Ini kerana dalam setiap karya seninya baik dalam filem mahupun iklan, Yasmin tidak pernah lupa menggabungkan elemen kasih sayang dan cinta selain sarat dengan latar masyarakat majmuk di negara ini.
Antara filem arahan beliau yang menggabungkan elemen-elemen itu ialah Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009).
Kalau itu belum cukup, Yasmin juga seorang yang tidak pernah berhenti daripada berfikir mengenai kerja.
Setiap hari dia bekerja memerah fikiran untuk menghasilkan hasil yang boleh dijadikan rujukan tidak kira sama ada ia dalam bentuk filem mahupun iklan-iklan komersial.
Lalu kerana itu, tidak hairanlah sehingga ke nafas yang terakhir, Yasmin masih bekerja, melakukan pembentangan kertas kerja mengenai kempen 1Malaysia yang mahu diusahakan secara kerjasama dengan TV3 serta penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Yasmin hanya sempat membentangkan idea kreatifnya untuk tempoh yang sangat singkat pada 23 Julai lalu sebelum dia pergi untuk selama-lamanya. Pemergian beliau menemui pencipta-Nya meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat kita.
Ketika kerajaan sedang giat memperhebatkan kempen 1Malaysia, Yasmin yang ditabal sebagai pengarah filem semua kaum pergi membawa bersama segala aspirasi yang sama dengan kerajaan yang selama ini menjadi pendiriannya dalam berkarya.
Lalu, pemergian pengarah itu selepas tiga hari koma akibat serangan strok sebetulnya kehilangan yang sangat besar buat negara.
Yasmin bukan calang-calang manusia yang pernah 'dilahirkan' oleh industri hiburan tanah air. Semalam, di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang, Selangor, kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir buatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Bukan saja kerabat seni daripada pelbagai kaum yang mengaguminya, bahkan yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandez dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar
"Saya sangat terharu melihat kehadiran rakan-rakan pelbagai kaum pada majlis pengkebumian beliau. Ini menandakan beliau sangat disayangi ramai," kata penyanyi dan pelakon Jaclyn Victor kepada Utusan Malaysia.
Kalau boleh, teringin benar saya untuk mengulangi sekali lagi waktu untuk membolehkan saya bertemu dan bercakap sendiri kepada Yasmin bahawa kreativitinya merentasi jauh pemikiran masyarakat.
Andai peluang itu ada, biarlah saya sendiri memberitahu Yasmin, industri hiburan masih memerlukan kehadirannya.
Pada masa yang sama, saya juga percaya, ada ramai lagi orang lain yang sedang berduka dengan pemergian Allahyarham mahu berbuat demikian.
Bahkan, mereka yang pernah tidak bersetuju dengan karya-karya seni Allahyarham ketika hayatnya juga pastinya akan berasa terkilan kerana tidak sempat untuk mengakui bahawa Yasmin adalah wajah sebenar industri sinema Malaysia.
Sayang sekali, semuanya sudah terlambat. Yasmin kini sudah berhijrah ke alam baru.
Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Nota hujung :
"Sejak kecil lagi, saya selalu mengambil berat tentang unsur kemanusiaan. Saya mendapati, dalam kita mengejar kejayaan, kadang-kadang kita terlupa tentang asas-asas kemanusiaan seperti baik hati dan kasih sayang. Saya sentiasa mencuba untuk memasukkan perasaan ini dalam kesemua filem yang saya hasilkan, baik filem iklan atau filem di layar perak. Bagi saya, filem adalah peluang untuk mengingatkan manusia agar menjadi manusia semula"
(Yasmin Ahmad dalam satu temu ramah dengan seorang wartawan Berlin, Jerman, Tilman Baumgartel tahun lalu)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan