Mansuh PPSMI muktamad – TPM
PUTRAJAYA 16 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lalu adalah muktamad.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.
Cuma, tegas beliau, yang penting selepas ini adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.
Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru.
‘‘Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman.
‘‘Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran kepada 396 kakitangan dan pegawai kumpulan pengurusan, profesional dan sokongan di sini hari ini.
Kabinet pada mesyuaratnya 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.
Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
MCA baru-baru ini menggesa supaya PPSMI dikekalkan di peringkat sekolah menengah walaupun bersetuju status quonya ditarik balik di sekolah rendah.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai pengurus pendidikan, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi sesuai dengan keperluan semasa.
Tegas beliau, mereka tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan dan strategi sedia ada.
‘‘Ini termasuklah kurikulum bahasa Inggeris yang perlu dimantapkan selaras dengan strategi pemantapan bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bermula 2012.
‘‘Murid di negara ini, baik di bandar mahupun di luar bandar, perlu dipastikan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan