Jumaat, 17 Julai 2009

Satelit pemangkin sistem komunikasi

Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my




KALAU pengguna menonton filem Transformer: Revenge of the Fallen pasti boleh mengingati robot dari Decepticon yang cuba mengawal komunikasi bumi dengan menggodam satelit ketika awal babak filem terbabit.

Kenapa ia dilakukan?

Jelas, satelit memainkan peranan penting dalam sistem komunikasi dan boleh dikatakan nyawa penduduk di bumi yang bergantung kepada penggunaannya sama ada untuk tujuan komunikasi, keselamatan, hiburan dan sebagainya.

Secara umumnya, satelit adalah objek berputar di angkasa mengelilingi objek lain yang lebih besar seterusnya mengekalkan posisi dalam graviti objek tersebut.

Ia berdasarkan konsep astronomi dengan merujuk keadaan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi sebagai ‘satelit’ asli sedia ada.

Konsep astronomi terbabit yang mendatangkan idea penciptaan satelit buatan manusia yang mengelilingi bumi bagi tujuan komunikasi seterusnya menempa satu lagi pembaharuan dalam perkembangan ketamadunan manusia.

Satelit dengan capaian komunikasi serantau diperkenalkan pada 1960 dengan memantulkan transmisi sehala melalui ECHO 1 sementara pelopor generasi satelit baru dimulakan pada 1962 apabila TelStar yang mempunyai pemancar penerima serta penghantar isyarat diperkenalkan.

Bercakap soal penerimaan isyarat, satelit mampu menghantar isyarat pada gelombang rendah membolehkan penerimaannya di bumi melalui perkakasan penerima menjangkau liputan meluas ke pelusuk dunia.

Jadi, tidak hairanlah kalau dikatakan satelit sebagai jawapan kepada persoalan sambungan liputan di kawasan pedalaman terutama membabitkan perkampungan yang sukar dijangkau sistem komunikasi lain.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), satelit buatan manusia yang pertama mengorbit bumi ialah Sputnik 1, dibina oleh Soviet Union dan dilancarkan pada 4 Oktober 1957.

Sputnik mempunyai orbit yang berbentuk bujur dan bergerak pada altitud di antara 225 hingga 950 kilometer (km).

Sepanjang berada di orbit, ia menyiarkan isyarat bip selama 21 hari sebelum terbakar di atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.

Satelit memerlukan teknologi yang unik dan tahan lasak bagi membolehkannya bertahan semasa proses pelancaran dan menghadapi persekitaran angkasa yang ekstrim.

Satelit juga perlu membawa sumber tenaganya sendiri kerana ia tidak dapat menerimanya dari bumi.

Ia harus mengekalkan orientasinya atau menghadap pada arah yang tertentu bagi menjayakan misinya selain perlu mengekalkan suhu bersesuaian ketika berada dalam keadaan panas matahari dan cuaca sejuk ruang angkasa.

Malah, satelit perlu berupaya bertahan dengan tahap radiasi yang tinggi dan pelanggaran dengan mikrometeoroid.

Kebanyakan satelit dilengkapi dengan perkomputeran dipasang siap bagi mengawal operasi dan misinya.

Terdapat pelbagai jenis satelit yang dihantar ke angkasa seperti satelit komunikasi, satelit navigasi, satelit cuaca dan satelit pencerapan bumi.

Satelit yang mengorbit bumi boleh memberikan data untuk pemetaan bumi, menentukan bentuk dan saiz bumi serta mengkaji dinamik lautan dan atmosfera.

Saintis juga menggunakan satelit untuk mencerap matahari, bulan, planet dan bulan, komet, bintang dan galaksi seperti dilakukan Hubble Space Telescope yang dijadikana pencerap am dilancarkan pada 1990.

Bukan itu saja, sesetengah satelit saintifik turut mengorbit objek lain seperti dilakukan Mars Global Surveyor yang mengorbit planet Marikh.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah mendapatkan bantuan satelit milik Amerika Syarikat iaitu MODIS (Moderate Resolution Emerging Spectro Radiometer) dan National Oceanomic Atmosphere Administrator (NOAA) bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca di negara ini

Kelebihan itu digunakan apabila ia mempunyai keupayaan sederhana mendapatkan imej jelas keluasan kawasan yang terbakar dan pergerakan udara yang mengandungi jerebu bergerak dari pulau Sumatera terus ke Semenanjung.

Melalui Pusat Pencerapan Bumi (EOC), UKM menjalankan pemantauan dan penyelidikan berkaitan perubahan guna tanah di Asia Tenggara meliputi alam sekitar, geologi, kajian impak sesuatu kejadian dan kajian sumber air.

Kita juga mampu meningkat kekuatan tentera sekiranya memanfaatkan satelit pengintip seperti dilakukan India yang melancarkan satelit pengintip buatan ke ruang orbit bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan selepas serangan pengganas di Mumbai.

Satelit pengintip Risat-2 akan memantau terutama kawasan sempadan India bagi membantu operasi anti pengganas dan anti penyusupan.

Kemajuan teknologi satelit terbabit dijangka berada di ruang orbit selama tiga tahun yang boleh melihat menembusi awan dan memantau keadaan banjir, taufan dan pengurusan bencana.

Sektor pertanian pun mampu mendapat tempias manfaat apabila pemetaan menerusi satelit yang lebih jitu berupaya menetapkan sumber tanah secara bersepadu apabila ia diselaraskan dengan teknologi penderiaan jauh (RS) menggunakan teknik optik dan radar.

RS didefinisikan sebagai sains mendapatkan maklumat permukaan bumi tanpa menyentuh dengan menggunakan imej pemantulan objek di permukaan bumi melalui satelit.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah contoh organisasi yang menggunakan gabungan RS dan satelit Landsat 7 ETM bagi menyediakan peta guna tanah tanaman sawit di Malaysia.

Adanya informasi keluasan dan penyebaran tanaman sawit terkini dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber sawit berkekalan.

Seterusnya, tidak dilupakan fungsi satelit sebagai sumber hiburan seperti heboh dengan frasa kata TV Satelit sejak dekad ini yang mampu memberikan ratusan saluran seperti dilihat melalui Astro.

Selasa depan, kita akan dapat menyaksikan satelit RazakSAT seberat 180kg dilancarkan ke angkasa bersama kenderaan pelancarnya, Falcon 1 yang menjadi satelit penderiaan jauh pertama mengorbit khatulistiwa

Bersempena nama Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein, satelit itu akan mengorbit Near Equator Orbit (NEqO) pada altitud nominal 685km.

Lokasi orbit akan membolehkan peningkatan kekerapan pemerhatian imej permukaan bumi dan alam sekitar dengan membawa kamera resolusi tinggi yang akan merakam imej dari angkasa untuk pelbagai aplikasi seperti pertanian tepat, memeta landskap, pencegahan bencana, rancangan rangkaian jalan dan Bandar.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan