Apabila roh Islam wujud dalam diri masyarakat Islam, mereka akan mempertahankan hak dan identiti bangsa dan agama secara hikmah dan bijaksana
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Kekuatan sesuatu bangsa atau umat adalah bergantung kepada keperibadian dan keteguhan mereka mempertahankan identiti agama dan bangsa. Prinsip dan konsep perjuangan umat Islam perlu berteraskan kepada perundangan dan peraturan Allah dan Rasul dalam setiap aspek kehidupan.
Perjuangan yang tidak berasaskan kepada kepentingan agama dan bangsa sering menghumban umat Islam ke dalam kancah kehancuran. Kebijaksanaan seseorang pemimpin dalam mengendalikan urusan kenegaraan terserlah apabila beliau dapat mempertahankan hak dan maruah bangsa dan agamanya.
Islam adalah satu agama universal yang memberi hak dan kedudukan kepada umat bukan Islam menikmati kemakmuran hidup dalam dunia Islam. Berasaskan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan yang dilaungkan oleh Islam, bukan bererti umat Islam perlu mengorbankan hak dan identiti bangsa dan agama demi menegakkan keadilan dalam negara.
Hak dan wibawa bangsa dan agama merupakan perjuangan setiap bangsa di dunia. Ini merupakan fitrah ciptaan manusia. Jika umat Islam mengabaikan perjuangan hak dan kewibawaan dalam kehidupan mereka maka identiti dan kewibawaan mereka mudah terhakis dan terhapus.
Unsur-unsur penghapusan identiti bangsa dan agama semakin hari kian jelas kelihatan. Perkara begini berlaku hasil daripada sikap dan mentaliti umat Islam yang terlalu ghairah memperjuangkan kedudukan, pangkat dan kekayaan sehingga kabur penglihatan dan pemikiran dalam menentukan dasar, perancangan dan kegiatan kenegaraan.
Apakah erti kepimpinan para pemimpin Islam jika hak bangsa dan wibawa agama tergadai akibat terlalu ghairah untuk menegakkan keadilan?. Keadilan dalam negara boleh dilaksanakan tanpa mengorban hak bangsa dan agama jika setiap pemimpin Islam yang mentadbir negara memahami dan mengamalkan prinsip pemerintahan dan kepimpinan dalam Islam.
Sejarah menunjukkan banyak pemimpin Islam masa silam mampu menegakkan keadilan dan bertolak ansur dengan masyarakat bukan Islam tanpa mengorbankan identiti umat dan kewibawaan agama.
Jati diri mereka yang mantap dan matlamat perjuangan yang berteraskan keredaan Allah merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan mereka berjaya membentuk negara Islam yang adil terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam tanpa mengorbankan hak dan wibawa umat dan agama.
Matlamat hidup dan perjuangan jika tidak didasarkan kepada perjuangan Islam boleh menyebabkan para pemimpin Islam menggadai maruah bangsa dan agama demi memperkukuhkan kedudukan dan kekuasaan mereka. Suasana begini merupakan lumrah dunia Islam masa kini.
Sikap terlalu takut kehilangan kuasa menyebabkan mereka menjadi buntu dan hilang daya pemikiran yang pintar untuk membuat perancangan dan strategi bagi umat Islam dalam jangka masa yang panjang.
Hasil daripada kebuntuan pemikiran para pemimpin dalam mengendalikan urusan kenegaraan maka umat Islam menjadi lemah dan tidak terdaya untuk mempertahankan hak dan kewibawaan agama.
Apabila para pemimpin dan ahli politik Islam mengambil jalan yang mudah dan terlalu ghairah untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa maka mereka sanggup menghapuskan hak dan kewibawaan agama tanpa memikirkan masa depan masyarakat Islam dalam negara mereka.
Jika perkara begini berlaku dalam negara Islam maka penghapusan hak dan identiti umat Islam secara beransur-ansur akan terhakis dan terhapus. Ini adalah salah satu proses globalisasi yang melanda negara Islam masa kini.
Penghapusan identiti dan kewibawaan agama juga berlaku jika umat Islam keseluruhannya kurang prihatin terhadap pendidikan agama dan kesedaran terhadap kesan kehausan kerohanian.
Corak hidup yang tidak seimbang dengan kehendak kerohanian dan jasad menjadi pilihan hidup umat Islam masa kini. Kegiatan dan program yang berbentuk hedonisme dijadikan sebagai agenda utama dalam kehidupan seharian sehingga terlupa waktu malam yang sunyi dan sepi perlu diisi dengan kegiatan yang boleh menghampiri diri kepada Allah dan bermuhasabah diri.
Apabila minda dan hati nurani diselaputi oleh unsur-unsur yang melalaikan dan menyeronokkan maka umat Islam tidak lagi menghargai waktu atau masa. Gejala remaja Islam berkeliaran di tempat-tempat hiburan sehingga larut malam lantaran terlalu ghairah dengan keseronokan berbentuk hawa nafsu semakin hari kian bertambah.
Jika corak hidup begini dijadikan sebagai tradisi kehidupan masyarakat Islam, maka mereka tidak akan menjadi satu umat yang gigih dalam kehidupan.
Hati yang terlalu ghairah dengan hiburan dan keseronokan boleh menyebabkan umat Islam menjadi malas dan tidak berwibawa. Oleh itu tidak hairan kenapa umat Islam menghadapi krisis kehausan kerohanian dan kebendaan.
Ketika umat Islam berada dalam krisis kekosongan jiwa yang memerlukan kepada latihan kerohanian dan kesedaran mengenai tanggungjawab diri dan agama, rancangan-rancangan hiburan pula semakin bertambah sehingga ibu bapa tidak mampu untuk mengawal pergerakan anak-anak.
Persoalan yang sering berlegar dalam pemikiran ibu bapa di negara ini masa kini ialah kenapa dalam suasana ibu bapa sukar untuk mengawal pergerakan anak-anak, rancangan-rancangan hiburan semakin banyak dipertontonkan sehingga larut malam?
Adakah bentuk-bentuk hiburan itu melambangkan identiti bangsa dan agama? Pendedahan rancangan hiburan yang keterlaluan boleh menyebabkan umat Islam kurang memiliki daya pemikiran yang bernas kerana hiburan hanya merupakan satu unsur yang boleh merehatkan minda yang penat bukan bahan yang boleh melatih otak menjadi pintar dan kreatif.
Sepatutnya dalam era globalisasi umat Islam perlu didedahkan dengan aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan supaya mereka mampu menghadapi sebarang kegiatan yang boleh menghancurkan identiti agama dan umat Islam.
Kebanyakan umat Islam tidak prihatin terhadap pengukuhan identiti agama dan bangsa akibat kurang kesedaran terhadap implikasi proses globalisasi.
Berdasarkan kepada suasana yang wujud masa kini maka umat Islam keseluruhannya perlu menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anak dan membimbing mereka menjadi orang yang mempunyai jati diri yang kental supaya pemikiran dan jiwa mereka disemat dengan roh Islam.
Apabila roh Islam wujud dalam diri masyarakat Islam, mereka akan mempertahankan hak dan identiti bangsa dan agama secara hikmah dan bijaksana.
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan