Ahad, 23 Ogos 2009

Buka puasa, sahur di hotel halal

KUANTAN – Umat Islam yang berhasrat membuka puasa atau bersahur digesa memilih hotel yang mempunyai Sijil Pengesahan Tanda Halal bagi membolehkan ibadat wajib itu sempurna dan mendapat keberkatan.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan Abdul Manan berkata, JAIP sebelum ini melancarkan Bufet Halal Ramadan Hotel-Hotel Negeri bagi menggalakkan orang ramai memilih hotel halal untuk menjamu selera.

Menurutnya, sebanyak 16 hotel di negeri ini yang disahkan mempunyai Sijil Pengesahan Tanda Halal dari Jaip dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita menggalakkan individu, jabatan kerajaan dan syarikat korporat yang menganjurkan majlis berbuka puasa prihatin dan sensitif dengan pemilihan tempat makan untuk sahur dan berbuka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut menyenaraikan hotel yang sudah disahkan halal di Rompin iaitu Hotel Seri Malaysia, Rompin Beach Resort dan Sommerset Beach Resort manakala satu di Temerloh iaitu Hotel Green Park.

Selain itu, katanya, hotel yang diiktiraf halal di Genting pula ialah Hotel Seri Malaysia, Kampung Resort Hotel dan Resort Cafe, Resort Hotel dan Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

“Di Kuantan pula, Classic Hotel, Western Suria Cherating, Hotel Seri Malaysia, De Rhu Beach Resort, Hotel MS Garden, Hotel Sri Malaysia, dan Hotel Grand Continental adalah hotel yang membolehkan pelanggan menikmati makanan di situ tanpa was-was,” katanya.

Noridzuan berkata, umat Islam wajib mengambil berat makanan yang halal terutama ketika Ramadan dan tahu mengenai status menu yang disediakan kepada tetamu.

Beliau berkata, status makanan halal bukan sahaja digalakkan kepada pengurusan hotel tetapi restoran dan kedai makan juga perlu peka dengan kehendak dan keperluan pelanggan Islam.

”Kini, kita sudah mempunyai banyak pilihan. Justeru, pilih hotel atau restoran yang mempunyai Sijil Pengesahan Tanda Halal untuk berbuka puasa sekali gus melengkapkan ibadah puasa yang dilaksanakan seharian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan restoran atau kedai makan mendapatkan sijil berkenaan bagi memberi keyakinan kepada umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Shafik Fauzan Syarif menggesa pengusaha hotel mendapatkan sijil halal walaupun tidak diwajibkan bagi menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan Muslim.

Sumber : http ://www.http://www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan