Jumaat, 7 Ogos 2009

ISU GAGASAN SATU MALAYSIA



PM ulangi 1Malaysia tidak ubah hak tetap semua kaum


KUALA LUMPUR 7 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan gagasan 1Malaysia tidak akan mengubah hak-hak tetap semua kaum mahupun mengetepikan hak bumiputera seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Perdana Menteri, 1Malaysia bertujuan mendidik rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini akan kepentingan bersatu kerana itulah kekuatan yang boleh membawa Malaysia lebih jauh di pentas dunia.

Katanya, ia juga bertujuan mewujudkan keadilan kepada semua berdasarkan realiti politik di negara ini dengan setiap kaum ada hak dan kedudukan yang tertentu.

"Sebenarnya, definisi 1Malaysia bukanlah terlalu keras tetapi sebenarnya satu konsep yang berkembang, lapan nilai yang digariskan di bawahnya bukan muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Wacana Patriotisme: Ke Arah Satu Malaysia dan Pelancaran 100 Wajah Wira Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Affin Bank Berhad, Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman.

Lapan nilai 1Malaysia adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan, dan integriti.

Kata Najib, antara nilai terpenting pada beliau adalah aspek penerimaan iaitu rakyat pelbagai kaum bukan sekadar bertoleransi antara satu sama lain, tetapi menerima kehadiran semua kaum secara bersatu.

Kata beliau, sejarah negara memperlihatkan bahawa semangat 1Malaysia sudah lama wujud terutama dalam kalangan pemimpin utama dahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun V.T. Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock.

"Kalau hanya Tunku pergi bertemu pemimpin British untuk memohon kemerdekaan mungkin ia tidak tercapai, begitu juga kalau Sambanthan atau Cheng Lock pergi sendiri.

"Bukan senang penjajah nak lepaskan negara yang dijajah tetapi bila rakyat negara ini datang dengan bersatu, pada masa itu tak ada 1Malaysia, mereka datang dengan satu suara, satu komitmen ke arah satu Malaysia atau satu Malaya, maka kita telah mencapai kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mubarak menyenaraikan 100 wajah wira Malaysia, sebagai menghargai sumbangan wira-wira negara itu dalam pelbagai bidang, termasuk enam perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Turut disenaraikan ialah ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Tan Sri Mohd. Noah sebagai Tokoh Istimewa.

Antara bidang lain yang turut diiktiraf adalah pejuang menentang penjajah Inggeris, pejuang kemerdekaan serta penulisan dan kewartawanan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan