Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Kanak-kanak lingkungan usia dua hingga tiga tahun cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. |
'Temper tentrum' atau mudah marah dialami budak gagal berkomunikasi dengan baik
PERNAHKAH anda menjadi perhatian di pusat beli belah gara-gara kerenah si kecil yang tiba-tiba mengamuk? Dia menangis tanpa henti, menghentak-hentak kaki sehinggakan orang yang lalu lalang tersenyum sinis pada anda.
Salahkah kalau anda mencubitnya supaya dia diam? Atau menarik telinganya? Atau mungkin anda patut mendukungnya saja dan pulang terus ke rumah.
Pakar sebuah pusat perubatan Amerika Syarikat, Dr Jay Hoecker menyifatkan tantrum adalah satu proses tumbesaran yang normal. Ia juga bukan penyakit dan mulai hilang apabila usia kanak-kanak semakin meningkat.
“Apatah lagi jika anda dan dia sudah boleh berbual dan berkongsi pendapat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh. Sebenarnya, tantrum dilihat oleh kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak sebagai luahan rasa kekecewaan seseorang kanak-kanak tidak kiralah sama ada ia dari sudut fizikal, mental atau emosi.
Tantrum dianggap normal kerana sebahagiannya berpunca daripada kegagalan anak kecil itu menguasai kemahiran asas. Misalnya, gagal membuka atau menutup butang baju. Ini disebabkan ada segelintir kanak-kanak memiliki kecenderungan untuk mudah marah berbanding kanak-kanak lain dan lazimnya faktor seperti letih, lapar atau tertekan menyebabkan mereka mengamuk.
Apabila usianya semakin bertambah, dia akan belajar menangani emosi yang mencetus kemarahan. Dia juga selalunya sudah mampu menguasai pertuturan dengan baik serta semakin berdikari.
Namun, dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun, anak kecil ini cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. Membaling barang, menghentak-hentak kaki atau menjerit sekuat-kuat hati adalah cara meluahkan kekecewaan itu. Ada kala luahan kemarahan itu berlaku selama 20 saat atau mungkin hingga berjam-jam lamanya.
Dr Hoecker berkata, kanak-kanak mula memperlihatkan kemarahan (tantrum) pada usia dua atau tiga tahun. Namun, ada juga kanak-kanak yang mula mempamerkan sikap tantrum pada usia yang lebih muda daripada itu. Apabila dia berusia empat atau lima tahun, dia masih mudah marah tetapi apabila usia semakin meningkat, penguasaan bahasanya juga meningkat dan anda boleh mengajaknya berbual dan mudah bertolak ansur.
Tantrum ialah tingkah laku untuk menarik perhatian. Justeru, satu cara untuk meminimumkan tantrum si kecil anda adalah dengan tidak mempedulikannya. Selalunya, dia akan menjerit lebih kuat dan menarik perhatian. Jadi, ambil peluang itu untuk berbincang tentang sikapnya.
Apabila si kecil meradang, penting untuk anda bertenang dan mengawal kemarahan. Menjerit padanya atau memukul hanya akan memburukkan lagi keadaan. Selalunya, apa yang terbaik untuk anda dan si kecil yang mengamuk ialah suasana senyap tanpa anda mengalah dan tunduk padanya. Dia akan diam dengan sendiri apabila dia gagal menarik perhatian anda.
Jadi perlukah anda menghukumnya sebagai balasan ‘mengamuk’? Logiknya tentulah tidak. Walau sebesar mana pun kemarahan anda kepadanya, cara terbaik ialah mengingatkannya sikap itu tidak betul.
Justeru, mengelak kemarahan anak kecil itu adalah lebih baik. Mulakan dengan diri sendiri dengan memberi perhatian dan pujian padanya bagi membina keyakinan dirinya. Secara tidak langsung dia tahu anda menyayangi dan mengambil berat.
Perhatikan juga tanda-tanda yang boleh menyebabkannya marah dan cuba alihkan perhatiannya.
Beri sedikit kebebasan pada si kecil anda. Misalnya, jika memesan minuman tanya dia apakah air yang diinginkan, jus atau teh. Jika memintanya memberus gigi tanya padanya, hendak berus gigi sebelum atau selepas mandi?
Beri perhatian kepada permintaannya dan jika tidak boleh ditunaikan beritahu sebabnya. Sebagai ibu bapa anda lebih memahaminya, jadi jangan bawa dia membeli belah pada waktu tidur semata-mata hendak mengejar jualan murah.
Bagaimana jika dia tiba-tiba mengamuk walaupun anda sudah cuba sedaya upaya mengelak berlaku tantrum?
Info
Tip tangani anak mengamuk
Tiada cara atau kaedah mengelak anak mengamuk tetapi masalah ini boleh ditangani dengan menggalakkan sikap positif kepada anak.
Sumber : http :// www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan