media Barat
KEBEBASAN media jika disalahgunakan mampu memberi kesan buruk jika tidak dikawal. Perkara ini sering berlaku di kalangan pengamal media Barat yang menggunakan alasan kebebasan media untuk kepentingan mereka namun hakikatnya mereka sering memihak walaupun nampak bebas di atas kertas.
Oleh itu perkara yang sering dimainkan oleh media Barat pastinya tentang keburukan agama Islam sehingga menimbulkan tanggapan buruk terhadap agama suci itu. Propaganda media Barat sehingga berjaya menerbitkan perasaan Islamophobia di kalangan rakyat mereka adalah antara agenda jahat mereka bagi mendedahkan keburukan berbanding nilai sebenar yang diperjuangkan dalam Islam.
Apatah lagi dengan wujudnya pelbagai medium berita dan komunikasi melalui internet seperti blog, Facebook dan sebagainya pemalsuan berita dan maklumat semakin menjadi tidak terkawal.
Itulah yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang ketika ini media mereka sedang hangat membicarakan isu seorang gadis remaja Islam berusia 17 tahun yang lari meninggalkan keluarganya untuk menjadi murtad dengan memeluk agama Kristian.
Remaja berkenaan Rifqa Muhamed Bary, yang berasal dari Sri Lanka kini telah mencetuskan konflik perebutan hak penjagaan di antara keluarganya dengan mubaligh Kristian yang bertanggungjawab memurtadkan remaja berkenaan. Malah mahkamah Florida telah mengarahkan remaja berkenaan untuk terus tinggal di sini untuk tempoh sementara waktu kerana bimbang akan keselamatannya. Apa yang menyedihkan ialah cara media negara itu memaparkan isu tersebut lebih mirip kepada memberikan tanggapan negatif bagi memburukkan Islam.
Keluarga ini berhijrah ke AS pada tahun 2000 untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada Rifqa yang hampir kehilangan penglihatan sebelah kiri kerana terlibat dalam satu kemalangan di Sri Lanka.
Kisah ini bermula pada pertengahan Julai lepas apabila Rifqa melarikan diri dari rumah ibu bapanya di Ohio kerana dikatakan takut keluarganya membunuhnya kerana telah menukar agama pada awal tahun ini. Dia melarikan diri ke rumah seorang paderi, Blake Lorenz di Orlando, Florida yang mana mereka saling mengenali antara satu sama lain melalui rangkaian laman sosial, Facebook.
Seperti yang kita ketahui melalui Facebook memungkinkan kita berhubung dengan seseorang yang langsung tidak pernah ditemui sebelum itu. Dan itulah yang berlaku kepada Rifqa yang langsung tidak pernah menemui Lorenz yang telah menjadi paderi selama 25 tahun. Rifqa telah berhubung dengan Lorenz dan kenalan dari Kristian evangelikal sejak tahun lalu.
Namun pada satu malam dia telah menghubungi Lorenz dalam keadaan ketakutan kerana bapanya sangat marah kerana dia telah memeluk Kristian. Kemudian dilaporkan seseorang telah membeli tiket ke Orlando dan Rifqa sampai ke rumah Lorenz awal pagi 22 Julai. Hanya tiga minggu kemudian Lorenz melaporkan kepada keluarga Rifqa bahawa anak mereka berada bersamanya.
Namun masalah ini mula menjadi tidak terkawal setelah Rifqa membuat kenyataan di televisyen Orlando bahawa keluarganya begitu marah dengannya kerana menukar agama dan mengancam untuk membunuhnya.
Wawancara
Dalam wawancara dengan televisyen berkenaan Rifqa telah menyatakan bahawa bapanya yang juga peniaga barang kemas dan permata akan menghantarnya pulang ke Sri Lanka dan darahnya adalah halal untuk dibunuh mengikut Islam. Dia menambah bapanya berkata, "Jika benar engkau telah memeluk Kristian maka kau bukan anakku dan harus mati,". Rifqa mendakwa telah meraung sekuat hati dan berkata "Saya tetap mahu menukar agama secara bebas dan tidak mahu mati. "Dari 150 generasi keluarga saya tidak ada yang pernah memeluk Kristian dan saya adalah yang pertama, maka anda semua boleh membayangkan pembunuhan saya merupakan satu keperluan utama berasaskan kehendak Islam".
Namun bagi ibu bapa Rifqa mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilakukan oleh anak mereka dan segala tuduhan itu telah ditokok tambah bagi menunjukkan bahawa mereka bersalah.
Malah menurut bapanya anaknya tidak perlu bimbang untuk kembali tinggal di rumah kerana dia bebas untuk mengamalkan kepercayaan barunya itu. Mereka hanya mahu Rifqa kembali tinggal di rumah.
Ibunya Aysha turut menafikan segala tuduhan itu dan hakikat sebenar ialah mereka terlalu menyayanginya. Ibunya itu tidak kisah dengan agama barunya itu asalkan dia kembali pulang bersama keluarga.
Dalam memperkatakan tentang perkara ini, soal penukaran agama membabitkan Rifqa bukanlah soal pokok malah ia telah pun berlaku. Bagi negara seperti AS, perkara ini bukanlah isu yang sensitif untuk dibicarakan kerana terlalu ramai di kalangan rakyatnya sendiri yang tidak mempunyai sebarang pendirian dan komitmen terhadap mana-mana agama.
Namun apabila ia membabitkan Islam maka media mereka dengan pantas melaporkan berita dan pandangan bahawa agama ini adalah sangat kejam terhadap pengikutnya. Ini jelas apabila media mereka melaporkan pembunuhan adalah wajib terhadap mereka yang meninggalkan Islam dan memeluk agama lain.
Malah mereka turut menyatakan bahawa Rifqa beberapa kali di bawa berjumpa dengan kaunselor sekolah akibat dari penderaan yang dilakukan oleh ahli keluarganya. Mereka mendakwa telah melihat kesan lebam di tangan dan kaki akibat dipukul oleh bapa dan abangnya.
Semua ini didakwa dilakukan kerana Rifqa terlalu terpengaruh dengan kehidupan Barat. Satu lagi provokasi yang cuba dimanipulasikan ialah Rifqa telah dipaksa untuk memakai hijab sesuatu yang dikatakan sangat dibenci olehnya dan sekali lagi dinafikan oleh ahli keluarganya.
Malah Pusat Kebudayaan Islam Noor yang merupakan tempat yang sering dikunjungi keluarganya untuk aktiviti sosial dan keagamaan telah dicap sebagai mempunyai kaitan dengan keganasan dan masjid Salah Sultan yang dikunjungi mereka juga dikatakan mengajar ahlinya supaya membenci golongan Yahudi.
Namun apa yang berlaku adalah sangat berbeza dengan realiti sebenar. Menurut pegawai penyiasat dari unit orang hilang balai polis Columbus, Sarjan Jerry Cupp Rifqa berkata, bapanya merupakan seorang yang penyayang dan telah mengetahui penukaran agamanya sejak beberapa bulan yang lalu.
Namun semua ini telah berubah apabila dia diwawancara di dalam televisyen dan ketika hadapkan ke mahkamah.
Keras dan jumud
Satu lagi perkara yang menarik untuk diperkatakan walaupun mungkin media Barat terlepas pandang perkara ini ialah bahawa Rifqa yang bersekolah di New Albany High School merupakan ahli kumpulan pasukan sorak sekolahnya.
Maka menurut ibunya jika benar ahli keluarga mereka seorang yang keras dan jumud, adalah mustahil bagi mereka membenarkan anaknya untuk menyertai pasukan sorak sekolah.
Sememangnya bagi bapa Rifqa, apa yang berlaku memang menyedihkan kerana beliau masih berharap anaknya itu dapat kembali kepada ajaran Islam namun tetap menerima apa saja keputusan yang diputuskan anaknya tentang agama barunya itu.
Malangnya oleh kerana sifat tidak bertanggungjawab media Barat terhadap isu ini maka beliau telah dilihat sebagai tidak bertanggung jawab dan lebih malang Islam telah dikatakan sebagai agama yang menindas.
Sememangnya itulah peranan media mereka sejak dahulu lagi dan kita seharusnya lebih memahami bahawa peranan ini tidak akan berubah selagi media mereka terus memihak walaupun mengaku bebas hanya di luaran.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan