Sabtu, 5 September 2009

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

Pasang surut hubungan negara serumpun unik

Oleh Zainul Arifin


DEMONSTRASI rakyat Indonesia di Jakarta mengecam Malaysia seakan sudah menjadi kebiasaan apabila setiap isu kecil dan remeh dijadikan sebab untuk mereka melepaskan kemarahan.

Malaysia, Indonesia perlu ikhlas ketepi sentimen jejas semangat setia kawan

SEORANG diplomat Malaysia di Indonesia pernah mengeluh kenapa rakyat Malaysia tidak ambil tahu mengenai perkara yang harus dilaluinya di Jakarta. Hampir setiap hari dia terpaksa melalui penunjuk perasaan yang berkumpul dengan sepanduk dan jeritan memarahi Malaysia.

Isunya pelbagai dan seakan-akan tiada apa yang kena mengenai Malaysia. Kalau tidak kisah kawasan yang sama-sama dituntut, seperti Sipadan, Ligitan dan Ambalat; ada protes konon rakyat Indonesia dianiaya, lagu mereka dicuri, dan kebelakangan ini pula dikatakan kita memberitahu dunia tarian mereka itu kita yang punya.

Maka bendera kita dibakar, laman web kita dicemar, dan telur tembelang dibaling ke kedutaan kita. Negara dan pemimpin kita dimaki hamun.

Kita dikenali sebagai lanun budaya, muka tidak malu mengaku hak orang hak kita.

Masih ada yang marahkan lagu kebangsaan kita, Negaraku. Kita tidak pernah menafikan melodinya diilhamkan oleh lagu Terang Bulan, dan jika sudah lebih 50 tahun diguna kenapa tiba-tiba banyak betul yang marah?

Saya amat bersimpati kepada diplomat berkenaan. Memang sedikit orang Malaysia yang tahu marah orang Indonesia yang berkumpul di luar kedutaan, kerana media kita jarang melaporkan perkara seperti itu.

Maka saya cadangkan beliau mengadu nasib kepada kementeriannya sendiri atau pun Kementerian Dalam Negeri, kerana pengamal media kerap diingati melalui teguran atau surat pekeliling supaya jangan melaporkan apa-apa yang negatif mengenai Indonesia, ataupun masalah hubungan Malaysia-Indonesia, kerana kita tidak mahu menjejas perhubungan dua hala.

Tetapi jelas tiada sebarang arahan wujud untuk media Indonesia, jika dilihat daripada laporan-laporan mereka.

Saya tidak tahu sudah berapa lama arahan kepada media kita supaya jangan buat Indonesia marah, tetapi setahu saya, sejak lebih dua dekad bekerja di surat khabar, arahan ini sudah wujud. Agaknya, sejak lepas tamat Konfrontasi pada 1960-an.

Apakah rakyat Malaysia tidak perlu tahu bagaimana negara dan mereka dilihat oleh jiran kita. Adakah mereka tidak perlu tahu Jalur Gemilang kita sengaja dijadikan abu? Perlukah hanya kita saja yang cuba menjaga hati orang lain?

Letih juga dibuatnya melihat tindakan sesetengah rakyat Indonesia menghentam negara kita, tidak habis-habis, rasanya. Sejak penubuhan Malaysia pada 1963 di mana hubungan diplomatik putus dan kedutaan kita dihujani batu, Presiden Sukarno dengan konfrontasinya, hingga ke sate dan batik, semuanya menjadi punca kemarahan.

Bukankah kita serumpun, maka banyaklah kesamaan antara kita? Bahasa kita pun hampir sama.

Seluruh Malaysia juga dimarahi bila ada pembantu rumah berbangsa Indonesia yang didera, atau pendatang tanpa izin dihukum, atau bila artis kesayangan mereka berkahwin rakyat negara ini.

Terdengar-dengar kata Sukarno 'Ganyang Malaysia' menyemarakkan kemarahan rakyat Indonesia.

Kita semua tahu tindakan dan kemarahan ini bukan dasar Jakarta, atau yang disokong seluruh rakyat Indonesia. Tetapi tindakan segelintir mampu menabur pasir yang boleh mempengaruhi kelancaran hubungan.

Di manakah mulanya kemarahan mereka kepada kita? Adakah sebab Malaysia ditubuhkan walaupun ditentang Indonesia? Adakah sebab kita lawan utama badminton Piala Thomas puluhan tahun dulu, walaupun kini kedua-dua negara tidak lagi sehandal dulu?

Adakah kerana kita yang sepatutnya menjadi adik kecil tiba-tiba menjadi lebih maju dan agaknya nampak seperti mengepak dan mendabik dada dengan kejayaan kita? Adakah kita yang sepatutnya merendah diri dan berjalan selangkah di belakang, tiba-tiba ingin menjadi penggerak utama suara dunia ketiga?

Atau adakah kerana Indonesia terkilan kerana lebih sejuta rakyatnya merantau mencari kerja di Malaysia, membuat kerja yang tidak mahu dibuat oleh orang tempatan?

Di tapak bangunan, ladang, kilang, restoran dan rumah-rumah, orang Indonesia tahu tiada banyak yang boleh berfungsi baik tanpa rakan senegaranya menjadi penggerak.

Adakah ini punca kemarahan mereka, yang mereka menganggap negara kita dibina dengan titik peluh rakan senegaranya, namun kita tidak menghargai pengorbanan ini?

Ataupun mereka marah kepada diri sendiri atau pemerintah mereka kerana keadaan yang memerlukan jutaan rakyat negara mereka merantau, termasuk ke Malaysia, secara haram atau halal, untuk mencari rezeki dan menyara keluarga di kampung.

Mereka harus faham bahawa datangnya rakyat Indonesia ke Malaysia ialah melalui perjanjian ekonomi berasaskan kelaziman permintaan dan penawaran. Mungkin gaji kecil tetapi ia dipersetujui, seperti juga keadaan rakyat Malaysia yang mencari makan di negara lain. Tiada paksaan dan tiada apa yang Malaysia boleh lakukan jika rakyat Indonesia hendak ke negara lain.

Apakah yang boleh kita buat, atau adakah perkara yang boleh kita lakukan kalau orang hendak marah dengan kita?

Rasanya tidak banyak yang boleh kita lakukan, kecuali cuba memahami punca kemarahan mereka dan terus sentiasa cuba menerangkan kedudukan sebenar kita. Namun kita tidak bolehlah berdiam jika simbol kedaulatan kita dicemar, atau kita sentiasa dicemuh dan dikecam.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan