Kandungan kitab Allah lengkap dengan penawar, petunjuk urus kehidupan
MALAM ini umat Islam secara rasmi kenegaraan mahu pun tidak akan meraikan tahun ke-1413 sempena diturunkan ayat pertama al-Quran yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Junjungan kita, Muhammad SAW di Gua Hirak.
Keraian ini sebagai bukti zahir kecintaan kita kepada kitab petunjuk, al-Quran. Dengan meraikannya diharapkan kita selalu ingat dan dekat dengannya, merujuk kepadanya jika menghadapi kesusahan hidup dan kekal menjadikannya panduan hidup sama ada sebagai individu atau masyarakat.
Antara kata hikmah yang disinarkan al-Quran daripada diri seseorang yang membaca, memahami dan mentadabburinya ialah ucapan khalifah Abu Bakar al-Siddiq seperti ditulis al-Mahasibi dalam kitabnya Risalah al-Mustarshidin: "Bertakwalah kepada Allah dengan cara mentaati-Nya, dan taatlah kepada Allah dengan bertakwa kepada-Nya. Tahanlah tanganmu daripada menumpahkan darah kaum Muslimin dan perutmu daripada memakan harta mereka, serta lisanmu daripada mencela kehormatan mereka."
Membaca al-Quran dan mentadabburinya, mendalami isinya dan merenungi kandungan ayatnya ialah perkara yang dapat dijadikan cara untuk meraih kebahagiaan dan kelapangan hati. Allah menyifatkan kitab-Nya itu sebagai petunjuk, cahaya dan penawar penyakit atas semua yang ada di dalam dada. Allah juga menyifatkannya sebagai rahmat.
Dengan penyebutan kata quran 71 kali oleh al-Quran dan 50 daripadanya ialah kata tunggal al-quran seperti dipaparkan mesin pencari Pocket Quran adalah satu bukti kebesaran nama al-Quran sendiri. Ini belum lagi sebutannya dalam bentuk kata dhamir seperti anzalnahu (Kami menurunkannya), atau nama lain seperti al-Kitab, al-Furqan dan al-Huda.
Al-Quran memperkenalkan diri dengan di dalamnya tidak ada keraguan seperti menerusi ayatnya bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah: 2)
Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai petunjuk dalam ayatnya bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. Dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Israk: 9)
Al-Quran bukan hanya petunjuk kepada sesuatu kaum tetapi kepada umat manusia seluruhnya ke jalan amat lurus.
Ia wajib dipegang dan ditaati dengan wajib meninggalkan kitab lain agar tidak tersesat. Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai pelajaran dan penawar semua penyakit di dalam dada menerusi ayatnya bermaksud: "Sesungguhnya sudah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada dalam dada)." (Surah Yunus: 57)
Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai ubat penawar dan rahmat dalam ayatnya bermaksud: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian." (Surah al-Israk: 82)
Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai sesuatu yang mempunyai keberkatan dalam ayatnya yang bermaksud: "(Al-Quran) ini kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) yang penuh dengan berkat supaya memperhatikan ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sad: 29). Berkat dalam ayat ini bermakna banyak faedah dan manfaat.
Demikianlah beberapa pengenalan yang disampaikan al-Quran mengenai dirinya yang tidak ada syak atas kebenarannya, petunjuk, pelajaran, penawar, rahmat dan berkat.
Ketika seseorang menerima pelawaan perkenalan diri al-Quran ini kemudian menjadikannya sebagai teman sepanjang hayat dalam apa juga keadaan, lahirlah peribadi dan masyarakat 'khaira ummah', atau sebaik-baik umat (Surah Ali Imran: 110) yang dibuktikan pada zaman Nabi SAW dan sahabat Baginda.
Al-Syahid Sayyid Qutb dalam pendahuluan Fi Zilal al-Quran menulis bahawa hanya al-Quran saja yang menjadi sumber panduan mereka, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukan kerana umat manusia pada zaman itu tidak punya tamadun, kebudayaan, pelajaran, buku atau kajian kerana sebenarnya pada zaman itu sudah ada tamadun dan kebudayaan Romawi, buku dan undang-undangnya, yang sudah dan masih dijadikan panduan orang Eropah sampai hari ini.
Di sana juga sudah wujud peninggalan tamadun Yunani (Greek), ilmu mantiknya, falsafah dan kesenian yang juga masih menjadi sumber pemikiran Barat hingga sekarang, malah di sana juga wujud tamadun dan peradaban Parsi, kesenian, sajak, syair dan dongeng, kepercayaan dan sistem perundangannya, serta tamadun lain, seperti India, China.
Romawi dan Parsi berada di sekeliling Semenanjung Arab, sama ada di utara atau selatan, ditambah agama Yahudi dan Nasrani yang sudah wujud di tengah semenanjung itu sejak berapa lama dulu.
Jadi bukan faktor kekurangan tamadun dan kebudayaan duniawi yang menyebabkan generasi pertama itu menceduk daripada Kitab Allah (al-Quran) saja pada peringkat pertumbuhan mereka, tetapi ialah planning yang ditentukan dan program yang diatur.
Dalil yang terang atas keadaan ini ialah kemurkaan Rasulullah SAW ketika beliau melihat Saidina Umar al-Khattab RA memegang sehelai kitab Taurat.
Melihat keadaan ini Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Allah jika Nabi Musa masih hidup bersama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku." (Hadis riwayat Abu Ya'la).
Oleh itu, kesimpulannya Rasulullah SAW bermaksud dan mengarahkan sumber panduan dan pengajaran generasi pertama itu pada peringkat pertumbuhan lagi, hanya terbatas kepada kitab Allah (al-Quran) supaya jiwanya melurus ke arah program-Nya yang tunggal itu. Baginda murka melihatkan Umar cuba mencari panduan daripada sumber selain al-Quran.
Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi bersih hati, pemikiran, pandangan hidup, perasaannya dan murni jalan hidupnya daripada unsur selain landasan Ilahi yang terkandung dalam al-Quran.
Pepatah mengatakan tak kenal maka tak cinta dan jika tidak ada kasih sayang hubungan akan hambar, kaku bahkan beku sehingga kita tidak menghiraukan keindahan dan manfaat teman. Al-Quran memperkenalkan dirinya, tidakkah anda mahu berkenalan dengannya? Ramadan karim.
Sumber : http : //www.bharian.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan