BULAN Bahasa Kebangsaan 2009 atau sebelum ini dikenali sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang menjadi wahana penting bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, tetapi sesetengah pihak melihat sebaliknya.
Kelompok itu berharap DBP tidak bersikap sepi dalam perjuangan bahasa Melayu seperti sekarang dan perlu segera keluar daripada kepompong bisu, sesuai dengan kedudukannya sebagai badan paling bertanggungjawab dalam hal memartabat dan memperkasakan bahasa.
“Malaysia ada pelbagai undang-undang berkaitan bahasa Melayu, tetapi daripada segi pelaksanaan ia mendukacitakan. Badan terbabit tampak tidak cergas dan semakin lesu dalam hal kebahasaan. Lebih menyedihkan seolah-olah mati ditelan peredaran zaman.
Ini sebahagian daripada isi hati seorang sarjana bahasa dalam melihat kemelut yang melanda bahasa Melayu pada masa kini, ketika berbincang mengenai kesesuaian gerakan bahasa sebagai acara tahunan badan terbabit, menyaksikan Kucing sebagai tuan rumah kali ini.
Tentunya ramai bersetuju bahawa dalam hal bahasa, DBP tidak lagi berbisa dan kini sepi sesepinya, seolah-olah fungsinya sudah dilupakan, baik kelompok borjuis mahupun proletariat negara ini - ada tidak menambah, tiada tidak mengurang - ditambah pula sikap sebahagian besar pegawainya sebagai ‘saya yang menurut perintah’.
Hakikat kebenaran ini dapat dilihat dalam beberapa isu semasa berkaitan bahasa, tetapi nyata DBP condong mengambil sikap berdiam diri, sedangkan hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan terkini perkara berhubung gagasan 1Malaysia yang boleh dimanfaatkan demi memanjangkan hayat bahasa Melayu...
“Mengapa tidak DBP tampil ke hadapan dalam menjelaskan hal kebahasaan di negara ini berhubung perkara terbabit? Mengapa tidak dijelaskan bahawa 1 Malaysia perlu meletakkan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pemersatu dan perpaduan negara serta semua tanpa mengira bangsa dan pangkat, mesti menerima hakikat ini.
“Bahasa lain di negara ini terletak sebagai bahasa nombor dua dan seterusnya tanpa menafikan penguasaan lebih daripada satu bahasa perlu, apalagi bahasa Inggeris turut perlu dikuasai sebagai pelengkap menaikkan nilai daya saing dalam pasaran guna tenaga,” ujarnya.
Hendaknya langkah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengisytiharkan Oktober sebagai bulan bahasa untuk peringkat kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan selari dengan BBK, tidak diterjemah secara harfiah iaitu dihayati untuk sebulan saja sepanjang tahun!
Jika ini yang ditafsir, maka bahasa Melayu di negara ini akan terus hilang punca memandangkan ia membabitkan badan yang sepatutnya memperkasanya dan jangan hendaknya pendekatan berhemah dijadikan pilihan seperti diakui sebuah kerajaan negeri, lalu lebih 30 tahun masih gagal merealisasikan hasrat negara berhubung bahasa!
Hendaknya DBP tidak terpengaruh dengan cadangan sesetengah pihak agar badan terbabit memberi tumpuan mewara-warakan hal kebahasaan melalui media aliran baru semata-mata dengan hujah bahawa ia trend terkini yang perlu dimanfaatkan untuk bergerak seiring dengan tuntutan zaman!.
Ini kerana hakikatnya, media cetak tetap ada fungsi istimewa dalam hal kebahasaan dengan kelompok sasaran berbeza, tanpa menafikan wahana elektronik mahupun internet yang menjadi kegilaan ramai pada masa ini, tetapi kelompok ini tidak akan pernah peduli hal berhubung bahasa dan kerana itu mereka yang perlu ditarbiahkan!
“Saya tidak menafikan kelompok muda menjadikan laman sesawang sebagai sasaran capaian mereka. Orang seperti saya menjadikan media elektronik sebagai sumber utama mendapatkan maklumat dalam banyak hal. Bagaimanapun jangan lupa, masih ada kelompok yang mengisi masa luwes mereka dengan membaca akhbar,” ujar seorang teman pula.
Teman ini mempertahankan pandangannya dengan mengemukakan hujah bahawa pendatang baru dunia hiburan tanah air, Yunalis Zarai atau Yuna, tidak akan dikenali dan mampu mengembangkan sayapnya sekiranya kekal di media internet.
Penilaian semula fungsi DBP dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan @pemersatu negara ini apalagi dengan konsep 1 Malaysia perlu direnung dan dibincangkan sejujur-jujurnya tanpa mengetepikan realiti bahasa Melayu hari ini dari segi layanan rakyat Malaysia terhadapnya selaku penuturnya.
Dengan cara ini, tentunya BBK tidak tampil sebagai sekadar pesta tahunan atau acara bermusim berhubung usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu serta program utama DBP dalam mengembangkan bahasa itu tidak menjadi sekadar projek gajah putih atau menjirus air di daun keladi!
Sumber : http: //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan