Ahad, 25 Oktober 2009

Cabaran sebenar ASEAN

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(Di Hua Hin, Thailand)

HARI ini Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mampu menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya maruah negara gajah putih yang tercalar akibat insiden di Pattaya April lalu dapat ditebus.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tiga hari pemimpin-pemimpin ASEAN dan enam rakan dialog mereka bertemu.

Baik mesyuarat di peringkat persediaan mahupun ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15, suasana di Cha-am, Hua Hin yang menempatkan Hotel Dusat Thani tenang. Kawalan ketat pasukan tentera dan polis serta langkah membuka laluan khas ASEAN ternyata berbaloi.

Lebih daripada itu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang mempertemukan rakan dialog dari New Zealand dan Australia akhirnya dapat diterjemahkan dalam pertemuan yang ringkas tetapi bermakna.

Namun di sebalik kelancaran persidangan, ada kocakan kecil yang mengalih perhatian dunia terhadap agenda penting yang ingin diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN.

Kocakan peristiwa itu juga menguji sejauh mana semangat ASEAN ke arah solidariti dan uniti mampu disepakati kalangan anggotanya.

Apatah lagi isu panas ketika 'musim panas' di Chaam, Hua Hin yang menyusutkan nilai berita sidang kemuncak melibatkan pemimpin dan jiran kontroversi - Thaksin Shinawatra serta Kemboja.

Isu yang mendapat liputan meluas media tempatan dan asing menyebabkan Abhisit terpaksa membatalkan sidang akhbar semalam kerana telah menjangkakan soalan-soalan pemberita.

Mereka tidak berminat tentang pencapaian persidangan sebaliknya kemelut terbaru Abhisit dan Perdana Menteri Kemboja Hun Seng menjadi tumpuan pemberita terutamanya media asing yang menyifatkan sidang kemuncak kali ini sebagai 'sejuk'.

Hakikat yang mesti diterima tentang ASEAN dan 'isu rumah tangga' yang terbentang luas ialah ia ditelan oleh isu panas terbaru ini.

Di situ semangat ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang berperanan memakmurkan setiap anggotanya boleh saja dipersoalkan. Seperti yang ditegaskan Abhisit, rakan sejawatannya Hun Seng memijak kaki ke Cha-am atas semangat ASEAN. Justeru mengeluarkan kenyataan yang boleh membunuh semangat itu bukanlah sesuatu yang bijak.

Ia bertentangan dengan kesepakatan ASEAN mahu membina komuniti sendiri yang saling berhubungan tanpa mengenal batas sempadan melalui pelbagai rangkaian kehidupan.

Sememangnya Hun Seng ada hak untuk membicarakan tentang rakan baiknya Thaksin. Begitu juga dengan Abhisit yang juga ada hak mempertahankan maruahnya sebagai tuan rumah sidang kemuncak apabila isu di luar agenda persidangan diperkatakan sedemikian rupa.

Namun menjadikan sidang kemuncak yang ditunggu-tunggu sejak April lalu sebagai platform adalah sangat tidak sesuai. Sememangnya diketahui juga ada isu yang belum selesai berkaitan pertikaian sempadan kawasan berhampiran Kuil Preah Vihear sejak abad ke-11, yang memanaskan 'iklim' hubungan Thailan-Kemboja.

Konflik seperti itu cukup untuk menggambarkan ada pertentangan antara perjuangan pertubuhan sepuluh negara anggota itu dengan 'kedegilan' segelintir anggotanya menyanggahi semangat ASEAN.

Apatah lagi dalam keadaan Thailand bertungkus lumus mahu membuktikan kemampuan mereka menjadi tuan rumah, isu Thaksin dan Kemboja mencacatkan tumpuan persidangan.

Pergolakan rumah tangga kedua-dua negara itu memberi gambaran seolah-olah ASEAN bukan keluarga bahagia yang bekerjasama menjaga kesejahteraan antara satu sama lain apatah lagi dalam satu majlis yang mempertemukan kesemua adik beradik bersama sepupu sepapat mereka.

Selepas 42 tahun ditubuhkan, itulah dilema ASEAN untuk bergerak sebagai badan yang dapat mewujudkan kemakmuran serantau dari pelbagai sudut - baik berupa menjaga perut penduduknya mahu pun memelihara kestabilan politik serantau.

ASEAN sememangnya telah berjaya dalam banyak hal. Kegawatan ekonomi serantau, bencana alam, pandemik, pendidikan, pelancongan, jaminan makanan dan perubahan iklim antara cabaran yang berjaya ditangani atas semangat ASEAN.

Namun di sebalik kejayaan itu, ada cabaran hebat lain menunggu badan itu.

Cabarannya adalah bagaimana badan itu dapat memainkan peranan menjernihkan kabut yang menyelubungi negara anggotanya. Ini kerana di samping mempunyai semangat ASEAN, ada satu lagi semangat yang mesti dijaga iaitu semangat tidak campur tangan hal ehwal dalam negara anggota.

Dalam kes 'Abhisit lwn Hun Seng' misalnya semangat ASEAN jelas tidak terpakai. Dalam hal ini Hun Seng menjaga semangat Kemboja mana Abhisit mempertahankan semangat tanah airnya.

Di mana kedudukan semangat ASEAN? Apa peranannya?

Sebab itu, apabila sidang kemuncak kali ini memuktamadkan penubuhan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), ada yang mencebik.

Kata mereka, apa guna ada suruhanjaya yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik jika ia tidak bertaring. Jika ia tidak boleh bertindak terhadap mana-mana negara anggota yang melanggar hak asasi manusia.

Di situ dilema ASEAN. Mahu ada semangatnya sendiri menuju kepada solidariti dan uniti tetapi dalam hal tertentu terikat dengan tali serta janji yang terpateri iaitu 'jangan campur urusan rumah tangga orang lain'.

Dan apabila induk atau ibu tidak ada peranan membetulkan kesalahan anak-anaknya maka akan tercetuslah rasa tidak puas hati. Akan terbentuk juga semangat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan semangat yang mahu dipupuk.

Untuk itu peranan ASEAN kini mahu diperluaskan. Kejayaan yang dicapai serta dokumen tebal pelbagai perjanjian kerjasama termasuk dengan tiga rakan dialognya yang disepakati tidak cukup untuk menjadikan ASEAN pertubuhan yang relevan.

ASEAN mesti lebih berani. Kesungguhan untuk membina komuniti ASEAN dengan semangat serta jiwa yang tersendiri sedang rancak diusahakan. Apabila ada komuniti tunggal ASEAN yang sasarannya enam tahun lagi, maka semangat, tanggungjawab dan keprihatinan akan menjadi lebih padu. Di situ akan ada rasa hormat sekurang-kurangnya untuk tidak membuat onar di peringkat dalaman sehingga boleh menjejaskan semangat ASEAN itu sendiri.

ASEAN mesti proaktif membuktikan bahawa badan itu dihormati atas semangat yang telah dipersetujui bersama. Isu rumah tangga, serantau mahu pun antarabangsa mesti ditangani dengan bijak. Ia mesti diselesaikan atas semangat ASEAN sebelum badan ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan malah dihormati dunia.

Pertikaian di peringkat negara sememangnya menuntut campur tangan semangat ASEAN. Dalam kes hubungan Malaysia-Indonesia misalnya, kontroversi tarian Pendet diselesaikan atas semangat ASEAN dalam masa yang sama kedua-dua negara berusaha menghormati urusan rumah tangga masing-masing.

Bagaimanapun untuk berjaya ke peringkat itu tidak mudah. Ia menuntut kekuatan untuk membataskan keterujaan. Lantaran apabila terlalu teruja manusia sering terlupa sehingga secara sengaja mengetepikan rasa hormat dan semangat yang dipersetujui.

Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, jika tersilap carik akan terlerai.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

# Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga bermaksud perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan