DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi kuasa dalam tempoh terdekat untuk menghukum badan dan agensi sektor awam yang berdegil dan tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 akan dipinda untuk mengadakan peruntukan ini.
Langkah ini diambil dalam usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara kerana masih ada pihak yang terus berdegil tidak mahu menghormatinya. Walaupun terlambat usaha ini amat dialu-alukan. Tetapi persoalannya kenapa dihadkan kepada sektor awam saja?
Yang berterusan memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, selain beberapa kerat individu yang bukan saja tidak pernah menggunakan bahasa Melayu kerana sememangnya tidak mengetahuinya, adalah sesetengah syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terus menerus tidak menghiraukan penggunaannya dalam sebarang urusan mereka.
Maka itu, sejak beberapa waktu kebelakangan ini sering dilihat syarikat tertentu dengan sengaja tidak menghiraukan penggunaan bahasa Melayu. Gambaran diberi mereka ini tidak sedikit pun mahu menghormati kedudukan bahasa itu.
Agak menyedihkan melihat kumpulan yang mengakui sebagai rakyat negara ini tetapi masih tidak boleh bertutur Melayu walaupun kita sudah 52 tahun merdeka. Anehnya warga lain, dari Bangladesh, Nepal atau Vietnam dan pelbagai bangsa asing yang berduyun ke mari mencari rezeki, sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik meskipun berada di sini hanya dalam masa singkat.
Bagi sesetengah individu rakyat pula penguasaan bahasa Melayu mereka amat cetek sekali. Walaupun sudah belajar di sekolah, ia hanyalah untuk lulus peperiksaan bukannya untuk digunakan setiap hari. Maka itulah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina misalnya tidak memberi tumpuan serius terhadap pengajaran bahasa Melayu. Ia seperti melepas batuk di tangga.
Saya sebelum ini pernah menulis bagaimana sebuah syarikat pembuat syampu mengiklan keluarannya hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina di tepi laluan eskalator di Pasaraya Tesco di Shah Alam. Lebih mendukacitakan lagi majoriti penduduk dan pengunjung pasar raya itu adalah Melayu.
Tentu mereka tahu yang menjadi sasaran iklan itu adalah orang Melayu tetapi kenapa mereka ini terus menerus memperlekehkan bahasa Melayu dan sebaliknya membanggakan bahasa Cina dan Inggeris pula? Apakah ini tidak memberi gambaran bahawa mereka itu sedar ada sekumpulan rakyat negara ini yang tidak tahu dan tidak faham bahasa Melayu?
Apa pun, iklan itu kini sudah digantikan dengan bahasa Melayu. Pertukaran itu dibuat tentunya berikutan rungutan orang Melayu yang lalu lalang di situ terhadap iklan yang tidak langsung menghormati mereka sebagai pengunjung majoriti pasar raya itu.
Usaha memperlekehkan bahasa Melayu ini memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hingga kini pun masih berterusan. Anasir tidak patriotik ini mengambil kesempatan mengabaikan penggunaan bahasa Melayu hanya kerana wujudnya usaha kerajaan untuk mempertingkatkan pengajaran dan penggunaan bahasa Inggeris.
Tindak tanduk mereka ini jugalah menyebabkan ramai pencinta bahasa berkeras untuk menolak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah. Terakhir dua pemaju perumahan mengedarkan risalah tempahan rumah binaan mereka hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina.
Lebih mendukacitakan risalah itu diedarkan ke rumah di Shah Alam di mana hampir 90 peratus penghuninya orang Melayu. Apa muslihat mereka itu sebenarnya? Apakah pemaju itu tidak mengharapkan orang Melayu membeli rumah mereka? Mungkin juga mereka menganggap orang Melayu tidak mampu membeli rumah yang mereka bina itu?
Tetapi kenapa pula risalah itu diedarkan di kawasan perumahan di mana kebanyakan penghuninya adalah orang Melayu? Dalam tempoh dua tiga minggu ini saja dua lagi risalah demikian diedarkan di rumah-rumah di Shah Alam, satu oleh Nippon Paint (boleh dikatakan keseluruhan risalah itu adalah dalam bahasa Cina dengan sedikit keterangan dalam bahasa Inggeris).
Tiada sepatah pun perkataan Melayu dalam risalah itu. Sekeping lagi risalah demikian ialah dari ‘Yes Optical’ yang membuat promosi syarikat cermin mata itu di Tesco Shah Alam. Tindakan mereka ini memberi gambaran betapa tidak hormatnya anasir itu terhadap bahasa Melayu yang semua rakyat sepatutnya sudah terima sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara ini.
Sebenarnya orang Melayu patut memboikot saja rumah atau barangan keluaran syarikat yang sedikit pun tidak mahu menghormati bahasa negara ini. Nama saja mereka ini beroperasi dan berdagang di sini tetapi sedikit pun tidak mahu menghormati Melayu.
Jadi elok sangatlah mereka ini yang sedikit pun tidak mahu berbangga dengan bahasa negara sendiri ini juga dikenakan hukuman. Harapnya akhbar akan mengumumkan nama mana-mana pihak yang disabitkan hukuman demikian supaya rakyat patriotik negara ini akan tahu siapa petualang itu dengan memboikot penggunaan barangan buatan atau keluaran mereka.
Usaha memartabatkan bahasa ini patut pula merangkumi penggunaan perkataan dan istilah Melayu. Kiranya sudah ada sesuatu perkataan Melayu kenapa perlu perkataan Inggeris dipinjam pula? Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak istilah Melayu yang sudah pun wujud tetapi tidak digunakan kerana ada pihak lebih selesa menggunakan perkataan Inggeris yang diMelayukan.
Maka itu timbullah perkataan ‘kudeta’ untuk ‘coup d’etat’ walhal sudah wujud istilah ‘rampasan kuasa’, ‘matematik’ menggantikan ‘ilmu hisab’, ‘informasi’ untuk penerangan dan keterangan, ‘lokaliti’, ‘bajet’, ‘imej’, ‘replika’ dan bercambah lagi perkataan Inggeris yang diMelayukan. Apakah ini saja cara untuk memperkayakan bahasa Melayu?
Dengan meminjam secara borong pelbagai perkataan Inggeris hingga perkataan Melayu yang sedia ada pun hendak diganti? Dalam hal ini media berbahasa Melayu juga harus dipertanggungjawabkan. DBP tentunya mempunyai peranan untuk memantau perkara ini supaya penggunaan istilah Inggeris ini tidak menjadi-jadi hingga perkataan Melayu yang sedia ada tidak digunakan lagi dan mungkin nantinya akan pupus pula.
Sumber : http://www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan