PELAKSANAAN dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam sistem pendidikan mampu meletakkan status Bahasa Kebangsaan di tempat sewajarnya sejajar peruntukan perlembagaan. MBMMBI yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adalah strategi serampang dua mata kerajaan bagi memartabatkan bahasa Melayu tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris. Justeru, usaha kerajaan mempercepatkan MBMMBI yang sebelum ini disasarkan bermula pada 2012 kepada 2011, membabitkan murid Tahun Satu, mampu melerai kekusutan dalam usaha memperkukuh Bahasa Kebangsaan. Langkah memperluaskannya kepada murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat setahun kemudian pula membuka ruang untuk mengkaji kelemahan yang ada serta membuat penambahbaikan bagi memastikan matlamatnya dicapai. Sememangnya kaedah terbaik memperkukuh bahasa Melayu di kalangan masyarakat ialah menerusi penyediaan asas kukuh untuk generasi muda melalui asuhan bermula di bangku sekolah. Walaupun peringkat awal pelaksanaan MBMMBI mungkin memerlukan kos tinggi bagi penyediaan peralatan dan sebagainya, ia diyakini jauh lebih berkesan dalam melonjakkan penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu. Pelaksanaannya juga dapat meredakan kebimbangan beberapa pihak terhadap kedudukan bahasa Melayu yang seolah-olah semakin terpinggir kesan himpitan ledakan teknologi. Ia turut menjadi bukti komitmen kerajaan memperkukuh kedudukan bahasa itu, sekali gus menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat betapa ia harus didahulukan dalam segala hal.
Pada masa sama, pelaksanaan MBMMBI diharap dapat menghapuskan sebarang tekanan yang selama ini menghalang usaha kerajaan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Apabila ia sudah dididik dan diasuh secara sistematik melalui sistem pendidikan sejak di peringkat awal, masyarakat tiada alasan untuk mendakwa mereka tidak dapat menguasainya dengan baik. Ini sudah tentunya membuka pintu lebih luas untuk pelbagai langkah susulan mendaulatkan Bahasa Melayu dilaksanakan. Dalam konteks lebih besar, usaha itu juga pasti diterima baik kerana dilakukan tanpa mengabaikan hakikat bahawa bahasa Inggeris akan terus diperkukuhkan sejajar statusnya sebagai medium komunikasi utama antarabangsa. Ini tentunya memberi kelegaan kepada seluruh masyarakat kerana mereka mampu meraih faedah daripada kedua-duanya. Kecintaan terhadap bahasa Kebangsaan akan menyumbang ke arah pembentukan perpaduan dan jati diri masyarakat manakala keupayaan menguasai bahasa Inggeris meningkatkan daya saing di arena global. Atas dasar itu, kita harap kerajaan sedia mengambil apa juga langkah perlu bagi memastikan MBMMBI dapat dimulakan seawal 2011 kerana ia memang sesuatu yang amat wajar dipercepatkan demi manfaat semua pihak.
Sumber : http://www/bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan