Jumaat, 23 Oktober 2009

Semangat 1Malaysia Perlu Diterap Dalam Segala Aspek Kehidupan

Oleh Khoo Hui Li

KUCHING, 21 Okt (Bernama) - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Datuk Abdul Malik Jangkat, 81, dari Kota Kinabalu, Sabah ketika menyaksikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini pada 10 Okt lalu.

Persembahan yang penuh warna-warni dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan di bawah konsep 1Malaysia serta kepelbagaian kaum di negara ini.

Abdul Malik yang berasal dari Kota Kinabalu, merupakan antara wakil yang dipilih untuk membawa rombongan 20 orang penghulu dan ketua kampung di Sabah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendengar penerangan tentang kemasukan negeri Sabah ke dalam Malaysia ketika itu.

"Ketika Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melahirkan hasratnya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1961, saya bersama Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha telah berusaha untuk memberi penerangan kepada penduduk di Sabah tentang pentingnya untuk mencapai kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan British.

"Walaupun usaha kami mendapat sedikit bantahan daripada segelintir rakyat Sabah yang merasakan mereka telah selesa dengan penjajahan British pada ketika itu, namun ia tidak mematahkan semangat kami.

"Akhirnya, usaha gigih kami membuahkan hasil apabila Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak menjadi satu pada 16 Sept 1963. Hari ini, saya berasa gembira melihat Malaysia maju dan disanjung tinggi," katanya kepada Bernama.

TOKOH 1MALAYSIA

Dengan sumbangan beliau ke arah pembentukan Malaysia, Abdul Malik dianugerahkan tokoh 1Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sijil dan cendera mata kepada Abdul Malik dan sembilan lagi tokoh 1Malaysia - empat penerima dari Semenanjung serta masing-masing tiga dari Sabah dan Sarawak.

Empat penerima dari Semenanjung Malaysia ialah tokoh sejarah terkemuka negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian dan Pengarah Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Zaiton Othman.

Tiga penerima dari Sarawak ialah bekas setiausaha kerajaan negeri Tan Sri Bujang Mohd Nor, pemimpin politik veteran Bidayuh Datuk Seri Dominic Dagok Raden dan pemimpin politik veteran yang juga pengasas Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Datuk Seri Tra Zehnder.

Selain Abdul Malik, dua lagi penerima dari Sabah ialah pemimpin politik veteran Tan Sri Datuk Ampung Payon dan bekas menteri Kabinet Sabah Datuk Pang Tet Tshung.

LUPA SEJARAH

Namun apa yang dibimbangkan generasi sebelum merdeka dan pembentukan Malaysia ini ialah sejarah negara bakal luput ditelan zaman jika generasi baru alpa dengan kemajuan dan kesenangan hidup hingga mereka memandang mudah nilai perpaduan dan semangat cintakan negara.

Dr Sivamurugan, 39, dari Tanjung Malim, Perak berkata tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda mudah leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini.

"Hampir mustahil bagi rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas negara mencapai kemerdekaan untuk membayangkan pahit getirnya hidup dijajah dan bagaimana jerihnya usaha generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan.

"Kerajaan melalui agensinya perlu merangka program untuk memahami erti sebuah kemerdekaan dan menanam semangat patriotik di kalangan generasi baru ini," katanya.

Pemimpin politik veteran Bidayuh, Dominic Dagok, 75, berkata gagasan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diilhamkan Perdana Menteri boleh menjadi pembakar semangat untuk memastikan rakyat Malaysia kekal bersatu padu dan Malaysia terus maju, berbekalkan semangat patriotik yang serupa di zaman sebelum dan selepas merdeka.

"Konsep 1Malaysia akan menjadi satu kesinambungan untuk kita terus menikmati hasil kemerdekaan yang diperjuangkan sebelum ini. Ia akan memupuk perpaduan dan membentuk bangsa Malaysia yang teguh dan bersepadu," katanya.

KERJASAMA

Dagok yang berasal dari Kampung Krusen, Serian, Sarawak berkata rakyat harus menghargai prisip 1Malaysia sebagai pembakar semangat untuk membina sebuah negara yang progresif dan berjaya.

"Dan semangat 1Malaysia harus diterapkan dalam segala aspek kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memastikan Malaysia terus melangkah maju ke hadapan," kata bekas presiden Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan itu.

Dr Khoo, 72, tokoh akademik yang aktif menulis artikel mengenai sukan, sejarah dan politik, menarik perhatian bahawa parti politik di negara ini turut memainkan peranan penting dalam usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Untuk memperkukuh perpaduan dan kestabilan politik di negara ini, beliau berkata parti-parti politik tidak harus memainkan api perkauman.

"Politik negara harus ke arah integrasi dan mengelakkan pemisahan kerana ia akan memecah-belahkan perpaduan yang kukuh terjalin selama ini.

"Ahli-ahli politik negara tidak harus lagi menggunakan pendekatan mementingkan hanya satu-satu kaum sahaja sebaliknya mereka harus mengalakkan integrasi untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.

NASIHAT KEPADA GENERASI MUDA

Dr Khoo yang berasal dari Kampar, Perak berkata generasi baru harus menerapkan semangat jati diri Malaysia, dalam usaha mencapai gagasan Malaysia.

Beliau berkata generasi baru kini lebih mementingkan kaum sendiri daripada sebagai rakyat Malaysia.

"Setiap kali mereka memperkenal diri, mereka mengatakan 'saya Cina atau Melayu atau India'. Apa salahnya kalau berkata saya rakyat Malaysia berketurunan Cina?

"Ini akan menjadi batu loncatan dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia. Pemikiran ini perlu diubah. Kita harus menerapkan semangkat jati diri Malaysia untuk mengangkat martabat bangsa dan seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia," katanya.

Dr Hassan, Duta dan Wakil Tetap Malaysia ke Unesco, 73, dari Muar, Johor berkata dasar negara harus diperbaik dan diperhalus untuk memainkan peranan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Beliau banyak berusaha memajukan bahasa dan sastera Melayu serta memainkan peranaan penting dalam usaha menyatukan ejaan dan istilah antara Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya, katanya, perlu diperhalusi agar ia lebih mesra rakyat dan sejajar dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Kita tidak harus menjadi mangsa globalisasi tetapi kita harus maju mengikut model, rentak dan kesesuaian diri bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia," katanya.

SUKAN LANDASAN TERBAIK

Pengarah Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Zaiton Othman, sementara itu berkata sukan merupakan satu daripada landasan terbaik untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Zaiton, 50, dari Paya Keladi, Seberang Perai, Pulau Pinang merupakan wakil negara dalam pelbagai kejohanan sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Asian Veteran's Meet.

"Dalam bidang sukan, semangat 1Malaysia dengan mudah boleh diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana kita tidak mengenal agama, kaum dan warna kulit apabila kita menyokong pasukan dan wakil negara yang bertanding.

"Sehubungan itu, program dan usaha dalam memajukan sukan negara harus menerapkan semangat 1Malaysia," katanya.

Sumber : httpp://www.bernama.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan