Sabtu, 17 Oktober 2009

SELAMAT TINGGAL SYAWAL

Satu bilion manusia kelaparan

Esok berakhirlah Syawal. Maka tidak hairanlah banyak rumah terbuka diadakan pada hari ini. Oleh kerana semalam juga cuti umum, maka rumah terbuka memang banyak diadakan semalam apabila Deepavali bertemu dengan Hari Raya Aidilfitri yang dirayakan sebulan.

Bukan saja diadakan rumah terbuka tetapi juga pejabat terbuka. Syarikat, jabatan dan apa saja organisasi di negara ini mengadakan rumah terbuka. Hari Raya sudah menjadi Bulan Raya Aidilfitri.

Maka acaranya ialah makan, makan dan makan. Sememangnya Syawal dianggap sebagai bulan makan walaupun enam hari diperuntukkan untuk puasa enam.

Tetapi acara makan ini bukan sudah bermula sebelum Syawal lagi. Walaupun Ramadan adalah bulan puasa, tetapi majlis berbuka puasa juga diadakan secara meluas dan besar-besaran. Bukan saja rumah tetapi syarikat, jabatan dan organisasi turut menyambut puasa dengan majlis berbuka.

Tetapi sebenarnya acara makan-makan ini bermula awal lagi iaitu semasa Nisfu Syaaban. Iaitu dengan tujuan untuk doa selamat menyambut Ramadan. Acara makan-makan tetap ada.

Minat orang Melayu terhadap makan diimbangi dengan kegemaran mereka menjalankan ibadat puasa. Berbanding dengan ibadat lain, puasa amat digemari. Termasuk puasa sunat, bukan saja puasa enam tetapi juga Isnin dan Khamis sepanjang tahun.

Mungkin ini cara orang Melayu menyatakan kesyukuran kerana negara ini murah rezeki dari segi makanan. Namun hakikatnya, bukan saja orang Melayu, tetapi rakyat Malaysia umumnya juga suka makan. Pagi, tengah hari, petang dan malam, orang Malaysia makan, makan dan makan.

Hingga banyak yang sakit kerana lebih makan. Kegemukan, kencing manis dan kolesterol tinggi adalah kerana terlebih makan. Bukan saja gemar makan tetapi orang Malaysia juga suka bersembang tentang makanan. Terutama ketika bulan Ramadan. Sementara jenis buku yang paling laris di pasaran ialah juga tentang makanan dan resipi. Chef pun menjadi selebiriti. Pelakon pun menjadi chef.

Memanglah dalam sejarahnya, Malaysia tidak pernah menghadapi bencana kebuluran atau kekurangan makanan. Kalau ada pun ketika masa Perang Dunia Kedua di mana orang Malaya terpaksa makan ubi kayu kerana kekurangan beras.

Generasi

Bagi generasi yang hidup pada zaman Jepun, pasti mereka menghargai nilai makanan. Mereka akan menggeleng-geleng kepala melihat betapa generasi lepas perang, khususnya yang X, Y dan Z membazir makanan tanpa segan silu.

Harga makanan buat masa ini bukannya murah. Tetapi pembaziran berlaku lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan Syawal.

Lihatlah dalam peti ais masing-masing berapa banyak makanan yang dibazirkan. Belum lagi di restoran dan hotel-hotel.

Tetapi pembaziran makanan ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara maju di dunia dan dalam kalangan golongan kaya di negara-negara membangun dan miskin.

Sedangkan pada Rabu lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa manusia yang menghadapi kelaparan mencapai satu bilion pada tahun ini.

Dapat diandaikan bahawa bilangan yang begitu banyak menanggung kelaparan ini adalah tertinggi dalam sejarah manusia. Ini kerana bilangan manusia yang ada di bumi hari ini adalah jauh lebih tinggi pernah wujud berbanding pada masa-masa lalu.

Kalau dulu, kelaparan hanya berlaku di tempat-tempat yang terpencil dan bermusim. Kali ini kelaparan berlaku secara meluas, merata dan berpanjangan.

Apa yang mengharukan ialah kelaparan berlaku ketika dunia berada dalam zaman kemuncak tamadunnya dengan kemajuan sains, teknologi, demokrasi, sistem pasaran terbuka, globalisasi dan era maklumat yang paling canggih pernah dialami oleh manusia.

Jika manusia yang mencapai tamadun sebegini tinggi tidak dapat memenuhi keperluan asas iaitu makanan, maka tentunya sistem yang ada sekarang patut dipersoalkan.

Mengapakah sistem pasaran terbuka yang menguasai dunia hari ini di mana negara komunis iaitu China telah pun menjadi antara penyumbang penting kepada sistem ini telah akhirnya turut gagal memberi makanan yang secukupnya pada dunia?

Bukan saja makanan tetapi barangan keperluan lain juga tidak diagihkan dengan sewajarnya. Pembaziran besar-besaran berlaku di seluruh dunia dengan negara kaya menggunakan banyak sumber sementara sebahagian besar manusia terperangkap dengan sistem bagi menghasilkan barangan-barangan untuk terus hidup.

Kesemuanya ini berasaskan kepada pengejaran ke atas menggunakan barangan yang pelbagai tetapi keperluannya hanya diada-adakan untuk syarikat besar-besar meraih keuntungan. Sementara syarikat pula beroperasi dengan tumpuan untuk memberikan pulangan maksimum kepada pemegang saham yang mahu menjadi kaya sebanyak mungkin bagi membolehkan mereka hidup mewah tanpa had.

Untuk itu, mereka mencipta pelbagai barangan baru yang diada-adakan keperluannya melalui usaha pemasaran agresif melibatkan dunia pengiklanan canggih yang dapat mewujudkan keinginan dalam kalangan pengguna untuk membeli barangan berkenaan.

Pengejaran terhadap produk yang diada-adakan ini mengakibatkan banyak pembaziran yang akhirnya menjejaskan alam sekitar dan mengancam manusia sendiri. Perubahan iklim akibat perbuatan manusia pengguna dapat disaksikan melalui bencana alam seperti taufan dan banjir.

Apabila berlaku bencana alam, mereka yang teruk menanggung akibatnya adalah kalangan golongan miskin dan terpinggir.

Sementara yang kaya dan kelas menengah didapati masih tidak mendapat kepuasan hidup walaupun mereka sentiasa membeli-belah kerana minda dikuasai oleh iklan-iklan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan