Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@bharian.com.my
CUACA panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini  dilaporkan bakal menjadi lebih terik apabila kedudukan fenomena matahari  berada tegak di garisan Khatulistiwa dengan tempoh siang dan malam di  hemisfera selatan serta utara hampir sama berlaku pada 21 Mac ini.
Keadaan panas itu menyebabkan keadaan terik baik di utara  tanah air manakala di beberapa kawasan di Johor menyaksikan catuan air  akibat paras air sungai yang merosot.
Apapun, anda perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca panas  melampau ini yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan andai  tidak membuat persiapan menghadapinya.    
Bagi sesetengah orang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko  seperti warga tua, bayi dan kanak-kanak selain mereka yang berhadapan  dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi, cuaca panas melampau  boleh membawa kepada komplikasi kesihatan lain.
Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi  iaitu kehilangan air daripada tubuh juga  mineral lain dalam darah  seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu  ginjal, otak dan jantung.
Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau  dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan   pernafasan dan denyut nadi. 
  Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas  membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit.  Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan  sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.
Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan  melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.  
Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini? 
1) Minum banyak air 
Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu  menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki  berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu  berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan,  anda memerlukan 28.4ml air.
Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut  ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan  tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya  akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan.  Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan  kekejangan pada perut.
2) Ubahsuai diet anda 
Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk  terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang  tinggi.
3) Rasional dalam melakukan senaman
Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda  mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.
4) Pilih pakaian yang sesuai
Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar  dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.
5) Elakkan perangkap haba
Parkir kereta anda di kawasan yang tertutup. Kalau boleh berada  dalam kawasan berhawa dingin. Jika perlu keluar dari pejabat atau rumah,  pastikan anda sentiasa membawa air.
Fakta:
Kesan haba panas pada tubuh
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan