Kebimbangan, enggan campur urusan jiran punca kes berleluasa
SESIAPA pun yang siuman dan mempunyai perasaan, pasti sebak jika pun tidak mengeluarkan air mata melihat gambar wajah comel Syafia Humairah Sahari, berusia tiga tahun, apabila berita mengenai kematiannya dipercayai akibat didera, terpampang di kaca televisyen dan dada akhbar sejak Jumaat lalu. Bedah siasat ke atas mayatnya, mendapati punca kematian Syafia Humairah ialah kerosakan teruk buah pinggangnya dan pendarahan pada kulit kepala dan otak. Selain itu, ada kesan lama, termasuk bekas dicucuh puntung rokok pada badannya. Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru pada senja Khamis lalu, ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan. Laporan televisyen dan akhbar memetik beberapa saksi sebagai berkata, kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, sebelum dia dibawa ke hospital. Hanya manusia berhati haiwan sanggup berbuat demikian kepada manusia lain.
Kejadian sadis ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes penderaan yang hampir sama menimpa seorang lagi budak perempuan, juga berusia tiga tahun, kira-kira lima bulan lalu. Pada Oktober lalu, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, mati akibat didera teruk oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras. Mayat Aaliyah Aiman ditemui terbaring di rumahnya dengan cedera teruk di kepala dan badan oleh ibunya ketika pulang kerja pada 12 Oktober, yang kemudian membuat laporan polis kononnya kanak-kanak itu didera pembantu rumah. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati rumah itu memang tiada pembantu rumah. Seminggu selepas itu, ibu mangsa dan teman lelakinya ditahan polis untuk siasatan. Warga Sudan itu kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.
Sekurang-kurangnya ada dua persamaan dalam kes Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman, selain usia mereka tiga tahun. Pertama ialah mereka didera teman lelaki ibu masing-masing yang dipercayai tinggal bersama. Keduanya, penderaan ke atas mereka diketahui oleh jiran tetangga, tetapi ia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kerana takut, tidak mahu mencampuri urusan orang lain atau memang kerana sikap tidak peduli. Si ibu, walaupun tahu anaknya didera mungkin tidak melaporkan perkara itu kerana malu, takut ditinggalkan atau kerana sayangkan teman lelakinya.
Sekiranya, jiran tetangga mempunyai sedikit sikap peduli dengan melaporkan syak wasangka mereka mengenai penderaan itu pada peringkat awal sama ada kepada keluarga mangsa atau kepada pihak berkuasa, mungkin Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman tidak menjadi arwah. Begitu juga dengan beberapa kanak-kanak lain yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa masing-masing sebelum ini. Malangnya jiran tetangga hanya memberitahu bahawa mereka mengesyaki, mendengar atau melihat penderaan kanak-kanak apabila mangsa sudah meninggal dunia.
Dalam kes Syafia Humairah misalnya, kejadian yang membawa kematian itu berlaku di padang bola kampung di depan ramai orang. Malangnya tidak ada yang menghalang suspek ketika memijak dan menendang kanak-kanak malang itu, seolah-olah mereka tiada rasa belas kasihan. Apakah sikap tidak peduli yang selama ini lebih dikaitkan dengan warga kota sudah turut menjangkiti masyarakat Melayu di desa? Memang pepatah Melayu ada mengatakan 'jangan menjaga tepi kain orang', tetapi ia bukan bermaksud sehingga membiarkan kekejaman dan pembunuhan berlaku di depan mata. Malah membantu mangsa penganiayaan seperti itu dituntut oleh agama.
Walaupun kementerian berkaitan sudah merangka Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang memberi tumpuan terhadap aspek perlindungan, advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan bagi kanak-kanak serta penyelidikan mengenai isu kanak-kanak, penderaan dan keganasan tidak mungkin dapat dibanteras tanpa kerjasama semua pihak khususnya masyarakat sendiri. Pada masa sama, agensi yang ketika ini dilihat aktif untuk menangani masalah maksiat seperti Rela dan penguat kuasa jabatan agama perlu turut diberi tanggungjawab menangani masalah ini. Jika selama ini mereka terlalu cepat bertindak jika ada laporan mengenai khalwat, keutamaan sama perlu diberi kepada laporan atau desas desus mengenai penderaan kanak-kanak kerana ia juga adalah sebahagian daripada 'amal makruf'. Lagipun dosa mendera dan membunuh kanak-kanak lebih besar daripada berkhalwat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan