Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
LAPORAN Kanser Dunia 2008 menjangkakan menjelang tahun 2030, 26 juta kes kanser baru akan dikesan sementara jumlah kematian akibat penyakit berkenaan dianggarkan mencecah 17 juta. Peningkatan mendadak kes kanser berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Bagi Malaysia, pada masa ini seorang daripada setiap empat orang penduduk berisiko mendapat penyakit kanser sepanjang hidup mereka. Dalam masa 20 tahun, statistik berkenaan akan berubah menjadi seorang dari setiap tiga orang penduduk.
Kenapa kes kanser meningkat secara mendadak di peringkat global? Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) Dr. Saunthari Somasundaram berkata, masih belum ada jawapan jelas bagi persoalan berkenaan.
Punca penyakit kanser begitu kompleks dan ia disebabkan oleh banyak faktor yang mana para penyelidik masih lagi cuba untuk memahaminya.
‘‘Biarpun statistik yang dikeluarkan agak membimbangkan, kanser sebenarnya boleh dicegah. Pakar juga menganggarkan 40 peratus daripada kes kanser yang berlaku berpotensi untuk dicegah.
‘‘Antara risiko kanser yang boleh dikurangkan ialah kanser yang disebabkan oleh penggunaan tembakau, pengambilan alkohol yang berlebihan, pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari dan obesiti,” katanya.
Dr. Saunthari berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Kanser Sedunia di Kuala Lumpur City Center. Majlis yang berlangsung semalam dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertemakan Kanser Juga Boleh Dicegah. Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan hadir sama pada majlis itu.
Jelas beliau, pencegahan penyakit kanser adalah di tangan masyarakat itu sendiri khususnya golongan belia dan bukannya di tangan pembuat dasar dan pakar perubatan semata-mata.
Walaupun kanser tidak berjangkit, kata Dr. Saunthari, beberapa jenis jangkitan yang berlaku secara langsung atau tidak langsung boleh menyebabkan atau meningkatkan risiko penyakit kanser.
‘‘Hampir 22 peratus daripada kematian akibat kanser yang berlaku di negara-negara sedang membangun dan enam peratus kematian akibat kanser di negara-negara industri adalah disebabkan oleh jangkitan-jangkitan kronik. Ini termasuklah kanser pangkal rahim, kanser perut dan kanser hati.
‘‘Kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua paling tinggi di Malaysia dengan lebih 1,500 wanita dikesan setiap tahun. Secara keseluruhan di negara ini, kanser yang berkaitan dengan jangkitan hanya melibatkan 10 peratus kes kanser di kalangan lelaki dan 16 peratus kanser yang berlaku di kalangan wanita,” jelasnya.
Antara langkah pencegahan yang paling efektif ialah immunisasi, rawatan terhadap jangkitan, perubahan gaya hidup dan mengurangkan pendedahan terhadap risiko-risiko penyakit kanser.
Shahrizat dalam ucapannya berkata, berdasarkan maklumat yang beliau terima, golongan wanita di Malaysia tidak memperuntukkan masa yang secukupnya untuk kesihatan terutamanya menjalani pemeriksaan kesihatan.
‘‘Wanita di Malaysia lebih gemar memperuntukkan wang untuk makanan dan membeli-belah. Sudah tiba masanya mereka membuat perubahan dalam cara hidup mereka dengan menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Pengesanan awal adalah permulaan kepada rawatan penyakit kanser.
‘‘Saya juga ingin mencadangkan kepada semua wanita Malaysia supaya menjalani pemeriksaan kesihatan pada hari lahir mereka.
Suami dan keluarga mereka perlu menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai hadiah hari jadi yang utama kepada wanita di dalam keluarga masing-masing sebelum membelikan mereka hadiah lain seperti menikmati hidangan makan malam dan sebagainya,” katanya.
Zuraidah dalam ucapannya berkata, penyakit kanser tidak ada bezanya dengan penyakit-penyakit lain seperti diabetes dan penyakit jantung.
‘‘Penyakit kanser bukanlah satu isu kesihatan semata-mata tetapi isu ekonomi dan sosial kerana rawatannya melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh pihak majikan dan perkara-perkara lain,” jelas beliau.
Zuraidah menambah, apabila seseorang itu dikesan mendapat penyakit kanser mereka tidak perlu terburu-buru mengambil sebarang tindakan tetapi perlu mempelajari tentang penyakit kanser, menguruskan program rawatan, mendapatkan sokongan melalui rakan, keluarga dan pelbagai pertubuhan serta tidak perlu malu untuk mendapatkan bantuan.
Sebagai panduan, terdapat 10 tanda amaran penyakit kanser iaitu perubahan dalam corak pembuangan air besar dan kecil yang berterusan dalam tempoh dua hingga tiga bulan, pendarahan luar biasa atau lelehan dari mana-mana anggota badan, ketulan yang tumbuh secara tiba-tiba dan tidak hilang serta menyakitkan serta sakit dan rasa tidak selesa di bahagian abdomen.
Tanda-tanda lain ialah perubahan pada kulit, luka atau bisul yang tidak sembuh, pendarahan luar biasa dari hidung, menjadi pekak atau bunyi deringan dalam telinga, senak atau kesukaran menelan, perokok yang mengalami suara serak melebihi dua minggu dan rasa letih serta kehilangan berat badan secara mendadak.
Sambutan Hari Kanser Sedunia diketuai oleh Agensi Antarabangsa Menentang Kanser (UICC). Sambutannya berjaya menyatukan lebih 300 organisasi di lebih 100 negara untuk menentang penyakit kanser di peringkat global.
Zuraidah menjelaskan, NCSM yang merupakan anggota UICC menyeru warga Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat kerana ‘Kanser Boleh Dicegah’.
Sumber : http : //www.utusan . com.my/
BICARA ILMIAH – KANSER, ANDA DAN SOLUSI
BalasPadamMerujuk kepada perkara di atas, pihak kami dengan segala hormatnya menjemput ke majlis seperti di atas:
Tarikh: 1 Jun 2013
Masa: 2.30 petang
Tempat: Dewan Citra, No. 8-3A, Plaza Citra Kajang
(Di hadapan Masjid Jamek Kajang, bersebelahan
Hotel KK/Sen Heng Elektrik )
Penceramah Utama: Tuan Syed Abdul Jalil (Pengasas PrimaSeries)
2. Sebagai makluman ringkas, PrimaSeries merupakan produk daripada herba yang khusus untuk membunuh sel kanser dan juga berkesan merawat beberapa penyakit kritikal seperti buah pinggang dan masalah saraf. Sehingga sekarang sudah 7 tahun produk ini menjalani R&D.
3. Produk ini telah menjalani ujian pre-clinical dan yang terbaharu ia di sediakan di dalam bentuk suntikan (nano suspension) mula akan di berikan kepada pesakit di beberapa hospital kerajaan secara klinikal.
4. Melalui Bicara Ilmiah yang kami akan anjurkan ini kelak, ia akan dapat membantu anda untuk mendapatkan penerangan terperinci tentang penyelidikan dan perjalanan produk ini di pasaran.
5. Sayugia kiranya ahli tuan yang berminat, dapat sekiranya sahkan kehadiran mereka sebelum/ pada 29 Mei 2013 kepada En. Izzudin tel 019-2763273.
Terima kasih