Khamis, 4 Februari 2010

Sekolah biasa lahirkan pelajar berprestasi tinggi

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

SEKOLAH berprestasi tinggi (SBT) merupakan satu penanda aras berbentuk kolektif yang mengambil kira prestasi keseluruhan komponen dalam sistem di sesebuah sekolah itu.

Justeru, berbekalkan prasarana yang baik beserta guru terlatih dan pelajar yang terpilih, sesebuah sekolah itu dilihat memiliki potensi tinggi untuk mencapai tahap SBT.

Namun bagaimana dengan sekolah-sekolah lain yang berada di hujung ceruk?

Lokasinya jauh di pedalaman, tiada komputer, tiada Internet dan para pelajarnya dalam kedaifan. Sejauh manakah kecemerlangan prestasi dapat diharapkan terhadap sesebuah sekolah sedemikian?

Juga beserta sistem sama yang diguna pakai, maka purata prestasi sekolah tidak menunjukkan banyak perubahan dari tahun ke tahun. Kelihatan faktor ekstrinsik meletakkan sempadan terhadap prestasi sekolah sedemikian. Benarkah begitu?

Dalam situasi ini, pemerkasaan faktor intrinsik menjadi fokus utama ke arah menghasilkan kecemerlangan mengatasi sempadan kejayaan yang didefinisikan oleh kekangan faktor ekstrinsik.

Keinginan, tekad, motivasi, azam atau apa sahaja ungkapannya merujuk kepada tumpuan ke arah matlamat yang ingin dicapai.

Umpamanya dengan menanam tekad kepada warga sekolah untuk berusaha mara ke hadapan waima tidak memiliki kelebihan seumpama sesebuah sekolah SBT. Dengan tekad yang tinggi untuk maju maka kecemerlangan prestasi sekolah dapat dicapai, insya-Allah.

Oleh yang demikian peranan dan kerjasama setiap warga sekolah adalah perlu dalam mencetuskan perubahan yang diimpikan.

Perubahan tersebut tidak semestinya membuahkan 'A' bagi setiap mata pelajaran untuk semua pelajar, tetapi sekurang-kurangnya terdapat peningkatan terhadap prestasi setiap pelajar.

Jika yang gagal menjadi lulus, yang memperoleh 'B' akhirnya mendapat 'A', maka hal ini juga merupakan satu kejayaan buat pelajar dan sekolah kerana usaha transformasi yang dijalankan telah membuahkan hasilnya. Proses penambahbaikan yang berterusan terhadap usaha tersebut mampu menjamin kelangsungan peningkatan prestasi sekolah.

Guru agen perubahan

Faktor latar belakang seseorang pelajar itu turut mempengaruhi keupayaan dan motivasinya untuk belajar. Pelajar daripada latar kemiskinan mungkin memiliki prestasi akademik yang rendah disebabkan oleh faktor kehidupannya itu.

Tambahan pula, rasa rendah diri akibat kemiskinan diri mungkin menyebabkan mereka lebih tercicir dalam pelajaran dan pergaulan dengan rakan.

Justeru, para pelajar sedemikian perlu diberi lebih perhatian oleh guru memandangkan mereka bukan sahaja kekurangan kemudahan atau peluang untuk cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memerlukan lebih rangsangan motivasi untuk menghadapi cabaran suasana kehidupan mereka.

Selain peranan kaunselor terlatih yang dapat menyediakan sesi kaunseling secara empat mata dengan pelajar, para guru lain juga boleh berperanan sebagai pakar motivasi kepada para pelajar mereka. Umpamanya, sebahagian kecil daripada masa mengajar mereka mungkin boleh digunakan untuk menyampaikan sedikit kisah motivasi untuk dikongsi bersama dengan para pelajar.

Para guru mungkin berhadapan dengan kerenah dan disiplin pelajar yang pelbagai di samping perbezaan dari segi keupayaan pelajar memahami pengajaran guru.

Maka di sini guru bukan sahaja berperanan sebagai mualim yang menyampaikan ilmu, tetapi juga perlu berperanan sebagai murabbi dalam membentuk sahsiah dan akhlak yang terpuji di kalangan anak didiknya.

Misi dan visi pengetua

Sebagai pemimpin tertinggi sesebuah sekolah itu, pengetua memiliki tanggungjawab dalam merencana hala tuju pencapaian sesebuah sekolah itu. Berdasarkan sumber kewangan dan modal insan yang ada, pengetua berusaha mengadunkan ramuan yang dimiliki untuk menghasilkan resipi kejayaan yang lebih bermakna.

Pengetua boleh menetapkan matlamat prestasi yang realistik untuk dicapai secara bersama dengan sokongan para guru dan warga sekolah yang lain. Seterusnya bersama-sama merangka sistem ke arah mencapai matlamat tersebut.

Pengetua seterusnya memantau pelaksanaan sistem yang dirangka bagi memastikan ia selari dengan matlamat yang ditetapkan.

Sebagai contoh, pengetua menetapkan supaya diadakan kelas tambahan pada waktu petang dan seterusnya memastikan program sedemikian berjalan seperti yang dirancangkan.

Bagi sekolah-sekolah biasa, mungkin bukan semua aspek SBT dapat dicapai secara sepenuhnya berdasarkan sumber yang ada.

Namun, modul-modul pengajaran yang terbukti berjaya oleh SBT sewajarnya dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain untuk dipraktikkan.

Ibu bapa dan pelajar

Sebagai ibu bapa, sokongan kita amat diperlukan dalam menggalakkan anak-anak melalui alam persekolahan sebaik mungkin. Sekolah perlu dilihat sebagai pelengkap kepada proses pendidikan anak-anak oleh ibu bapa, dan bukan sebaliknya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan dengan belajar daripada anak-anak tentang ilmu yang diperoleh di sekolah.

Pendidikan merupakan satu jalan bagi pelajar keluar daripada kepompong kemiskinan. Dengan pendidikan dapat menjadikan seseorang itu berilmu, dengan ilmu seseorang itu dapat menuju ke arah kejayaan di dunia juga di akhirat.

Walau sedaif mana sesebuah sekolah itu, walau sejauh mana pelajar mengembara menuju ke sekolah, mungkin ia adalah lebih baik daripada langsung tidak bersekolah.

Sekurang-kurangnya hal ini membolehkannya membaca, menulis dan mengira. Asas kemahiran sedemikian diperlukan oleh anak-anak pada zaman ini.

Kesimpulan

SBT merupakan satu usaha positif Kementerian Pelajaran dalam mewujudkan penarafan kepada sekolah-sekolah di Malaysia.

Melalui langkah ini diharap lebih banyak sekolah dapat berusaha ke arah mencapai tahap SBT dan seterusnya melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang untuk pembangunan modal insan negara.

Di samping itu, diharapkan agar aspek pembangunan rohani dan akhlak pelajar dapat ditekankan dalam program SBT bagi mewujudkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dari sudut keterampilan, keimanan dan akhlak.

Bagi para pelajar juga, walau di mana kita menuntut, apa yang lebih penting adalah semangat dan fokus kita untuk tekun belajar serta meletakkan pengharapan kepada Allah agar usaha kita diberkati dan dikurniakan kejayaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan